Insan & Komuniti 07 Jul, 2022

Pahang Prihatin! Tambah bantuan mangsa banjir! Bantuan segera, baiki rumah, pulihkan perniagaan!

@nur ain darwishah
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan.

Share this

Rumah penduduk yang terjejas teruk kerana banjir yang melanda di Pahang. - Kredit foto: Bernama


FENOMENA banjir setiap hujung tahun menjangkau ke awal tahun berikutnya sudah sinonim dengan negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang. 

Sepertimana biasa, kerajaan negeri di negeri-negri terbabit akan membuat persiapan awal bagi menangani masalah bencana terutama dalam membantu mengurangkan beban yang dihadapi mangsa selepas banjir berakhir. 

Ketika rakyat Malaysia masih dalam keadaan terkejut dengan fenomena banjir lumpur luar jangka yang menimpa penduduk Baling, Kedah sejak beberapa hari lalu, kerajaan negeri Pahang  telah bersetuju menambah bantuan segera kepada RM3,000 berbanding RM1,000 pada tahun 2022 ini kepada rakyatnya yang terlibat banjir! 

Syukur Alhamdulillah.

Ia pasti menjadi satu perkhabaran gembira bagi seluruh rakyat Pahang yang terjejas dengan bencana banjir. Bukti bahawa Pahang Prihatin!


Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan mangsa-mangsa banjir

Wan Rosdy Wan Ismail ketika mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP) di Wisma Sri Pahang, di Kuantan.


Malah bukan itu sahaja, Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, selain bantuan segera bencana kepada mangsa banjir, kerajaan negeri juga turut menaikkan jumlah bantuan membaiki rumah yang rosak akibat banjir dari RM2,500 kepada RM5,000 dan bantuan pemulihan perniagaan kecil dari RM3,000 kepada RM5,000.

“Kita juga sudah bersetuju untuk menaikkan bantuan segera, sebelum ini RM1,000 sahaja tetapi hari ini kita  membuat keputusan untuk menaikkan kepada RM3,000 bantuan segera. Maknanya apabila berlaku bencana kita sudah ada peruntukan.

“Begitu juga dengan bantuan membaiki rumah yang rosak (akibat banjir), kita akan naikkan juga, dulu kita bagi RM2,500 sekarang kita naikkan sehingga RM5,000 untuk rumah-rumah yang rosak dan begitu juga bagi mereka yang terjejas akibat banjir bantuan untuk pemulihan perniagaan kecil, sebelum ini RM3,000 sekarang kita naikkan sehingga RM5,000.


Kerajaan negeri Pahang bersetuju menaikkan jumlah bantuan membaiki rumah yang rosak akibat banjir daripada RM2,500 kepada RM5,000. - Kredit foto: Utusan Malaysia


“Dan ini adalah satu usaha yang kita buat, kita tambah baik daripada sebelum ini,“ katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP) di Wisma Sri Pahang, Kuantan pada Isnin, 5 Julai 2022 lalu.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.

Wan Rosdy juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM20 juta bagi menambah baik persiapan menghadapi bencana banjir yang melanda negeri ini pada setiap tahun.

Beliau berkata, peruntukan itu merangkumi persiapan pangkalan hadapan berjumlah RM4.8 juta, Tabung Malapetaka Daerah (RM1 juta), perolehan darurat (RM8.5 juta) dan perolehan bencana (RM3.5 juta).


Wan Rosdy Wan Ismail menunjukkan pek makanan 'Ready to Eat' yang akan diberikan kepada mangsa banjir ketika mempengerusikan Mesyuarat Kumpulan Wang Amanah Jawatankuasa Malapetaka Negeri Pahang (KWAMP) di Wisma Sri Pahang, di Kuantan.


“Kerajaan juga bersetuju menambah baik bekalan makanan awal kepada mangsa-mangsa banjir dengan menyediakan 50,000 makanan ‘Ready To Eat” dengan jumlah peruntukan RM600,000,” katanya.

Wan Rosdy juga berkata, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM47 juta bagi projek-projek persediaan banjir.

“Kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan RM47 juta untuk projek-projek bantuan atau persediaan untuk kita menghadapi banjir ini kerana kita tahu banjir ni kadang-kadang berlaku dua kali setahun.

“Justeru, kerajaan negeri mengambil keputusan mungkin ada beberapa perkara yang kita ambil tindakan awalan,“ katanya.

Keprihatinan kerajaan negeri Pahang sudah pasti memberi sejuta rahmat kepada mangsa banjir yang terbabit tetapi kejujuran mangsa juga amat diperlukan. 

Kepada yang tidak terbabit diharap tidak mengangguk di air keruh. Sama-sama kita bantu untuk melegakan kesengsaraan orang lain dan bukan fikirkan kepentingan sendiri. - KitaReporters 


Kerajaan juga bersetuju menambahbaik bekalan makanan awal kepada mangsa-mangsa banjir dengan menyediakan 50,000 makanan ‘Ready To Eat” dengan jumlah peruntukan RM600,000. 

Kredit foto: Bernama

21
13
0
12
0
You will be interested