Insan & Komuniti 12 Mar, 2020

APA DAH JADI? IBU, ANAK TIRI SAMA-SAMA LALOK!

@asliza musa
Bekas wartawan Utusan Malaysia yang pernah berkhidmat di Kuala Lumpur sebelum dipindahkan ke cawangannya di Perak selama 10 tahun.

Share this

IBU bapa sepatutnya menjadi suri teladan atau role model untuk anak-anak bagi memastikan mereka tidak tersasar sehingga memilih jalan yang salah dalam hidup. Lebih parah, jika si ibu, si ayah dan si anak, sama-sama memilih jalan yang salah dalam kehidupan mereka. : KitaReporters

Nur Huwaina Ahmad (berdiri) menyoal sebahagian penagih dadah yang ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar daerah Perak Tengah pada 11 Mac 2020.

Meskipun hanya bergelar ibu tiri, peranan golongan itu tetap sama dan dituntut menjalankan kewajipan yang sepatutnya dan bukan pula 'sama naik' dengan si anak apabila memilih untuk terlibat dalam gejala dadah.

Demikian yang berlaku di Felcra Changkat Lada di Seberang Perak, Perak apabila dua beranak yang masing-masing berusia 47 dan 17 tahun itu ditangkap dalam operasi yang dijalankan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak Tengah pada Rabu, 11 Mac 2020.

Lebih mengejutkan lagi apabila 'kegilaan' wanita dan anak tiri lelakinya itu turut dikongsi bersama oleh bapa remaja terbabit, yang bagaimanapun bernasib baik kerana tiada di rumah ketika serbuan dijalankan.
Ketua Pegawai AADK Perak Tengah, Nur Huwaina Ahmad berkata, wanita terbabit dan anak tirinya itu dipercayai menjadikan rumah mereka sebagai 'port' melepaskan gian.
Katanya, siasatan mendapati wanita terbabit telah terjebak dengan dadah sejak 15 tahun lalu, manakala remaja yang tidak bersekolah itu mula menjadi penagih dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
"Dua beranak tersebut ditahan bersama empat lagi rakan lelaki termasuk dua remaja berusia 16 dan 17 tahun, di mana mereka mengaku baharu saja mengambil barang terlarang itu. 
"Dipercayai suami wanita itu juga terbabit dengan dadah, namun ketika serbuan dijalankan dia tiada di rumah kerana keluar menangkap ikan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat AADK Perak Tengah di Seri Iskandar dekat Ipoh pada Rabu, 11 Mac 2020. 


Menurut Nur Huwaina, operasi sama turut dijalankan di beberapa lokasi lain iaitu di Titi Gantong, Bota dan Seri Iskandar. 

Katanya, dalam operasi berkenaan, seramai 19 individu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (APD) 1983, manakala dua lagi melanggar syarat pengawasan mengikut Subseksyen 6(2) APD.
"Dua beranak terbabit antara 11 individu yang didapati positif syabu, manakala 10 lagi positif dadah jenis opiat," ujar beliau. - KitaReporters
0
0
0
0
2
You will be interested