Insan & Komuniti 13 Mar, 2020

PEMERGIAN 'SPRINTER' OLIMPIK MUNICH 1972

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ALLAHYARHAM Salleh Ibrahim terkenal dengan larian derasnya dan berkemahiran tinggi, malah kedua-dua belah kakinya ‘hidup’ apabila mengawal bola. Ciri-ciri itulah yang membantunya menjaringkan gol kedua Malaysia ketika mengalahkan Amerika Syarikat 3-0 dalam perlawanan Kumpulan A Sukan Olimpik Munich di Stadium ESV, Ingolstadt pada 29 Ogos 1972. : KitaReporters

ALLAHYARHAM Salleh Ibrahim (berdiri, kanan) dalam skuad Sukan Olimpik Munich 1972. Abd. Rahim Abdullah (depan, tiga dari kanan).


Minit ke-67 aksi di Ingolstadt itu merakamkan larian pantasnya dari sebelah kanan sehingga tidak mampu dikejar oleh empat pemain Amerika Syarikat sebelum meledakkan rembatan yang menewaskan penjaga gol Michael Ivanov. 

Dua lagi gol Malaysia dijaringkan menerusi sepakan bebas Shaharudin Abdullah pada minit ke-17 dan rembatan Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusoff, minit ke-77. 

“Allahyarham Salleh seperti seorang pelari pecut dan sangat sesuai bermain di posisi sayap sama ada kiri atau kanan. 

“Arwah juga seorang pemain mahir menggelecek dan mengawal bola sebab dia memang berminat bermain sepak takraw. 

“Saya biasanya bermain sayap kanan dan dia akan ke sayap kiri, tetapi menentang Amerika Syarikat, saya direhatkan kerana kecederaan,” imbas Abd. Rahim Abdullah, rakan sepasukannya dalam penampilan sulung skuad negara di arena bola sepak Olimpik.

LAMAN sesawang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan salam takziah atas kembalinya Allahyarham Salleh Ibrahim ke rahmatullah.


Salleh kembali ke rahmatullah pada usia 72 tahun, kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada Ahad, 8 Mac 2020 dipercayai akibat penyakit bengkak hati

Allahyarham juga merupakan antara tonggak Malaysia layak ke Sukan Olimpik selepas pasukan negara bimbingan Dave McLaren menjuarai pusingan kelayakan di Seoul pada 1971.

Lima lagi daripada 19 wira Olimpik Munich, sudah meninggal dunia termasuk Allahyarham Ali Bakar (2003), mendiang Wong Choon Wah (2014), Allahyarham Othman Abdullah (2015), Zawawi (2017) dan mendiang Datuk M. Chandran (2019). 

Tiga pegawai pasukan ini yang juga telah meninggal ialah jurulatih, Allahyarham Jalil Che Din (1992), pengurus pasukan, Allahyarham Datuk Seri Harun Idris (2003) dan penolong pengurus, mendiang Datuk Peter Velappan (2018).

ABD RAHIM ABDULLAH


“Saya dapat tahu berita pemergian Allahyarham Salleh daripada laman sosial Facebook rakan bekas pemain negara dan kumpulan WhatsApp, Ahad lalu. 

“Saya ucapkan takziah kepada keluarga arwah,” kata Rahim yang menyarung jersi Malaysia dari 1971 hingga 1974 dan pernah menjulang Piala Malaysia dengan Perak dan Selangor selain memulakan karier amaturnya dengan Pulau Pinang. 

Allahyarham Salleh dikatakan mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu, seminggu sebelum pemergiannya. 

Jenazahnya disembahyangkan selepas solat asar di Masjid Pengkalan Chepa dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Landak, Pengkalan Chepa, Kelantan.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Zainon Abdullah dan enam anak yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan.

SALLEH Ibrahim (baju merah, berkopiah) ketika menerima kunjungan para pegawai Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb). - Foto ihsan Yakeb.


Dilahirkan pada 15 Oktober 1947, dia merupakan anak sulung daripada tujuh beradik kepada pasangan Ibrahim Mahat dan Munah Ismail.

Digelar ‘Salleh Te’re’, dia turut mewakili Kelantan yang tewas 2-0 kepada pasukan Rahim, Perak dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1970.

Dalam Olimpik Munich 1972, dia menyarung jersi bernombor 11 malah membarisi kesebelasan utama negara dalam ketiga-tiga perlawanan Kumpulan A sepanjang 270 minit.

WAN Zawawi Wan Yusoff (9) turut membolosi gawang Amerika Syarikat dalam Olimpik 1972 selepas Shaharudin Abdullah dan Salleh Ibrahim.


Malaysia membuka kempen Olimpik dengan kecundang 3-0 Jerman Barat, tetapi tetap mendapat tepukan pujian dan hormat majoriti daripada 60,000 hadirin Stadium Olimpik, Munich pada 27 Ogos 1972 kerana sengit menyaingi dan tidak dibolosi selama 55 minit oleh tuan rumah yang turut dilabel ‘gergasi’ bola sepak dunia.

Namun harapan yang menyala untuk mara ke pusingan kedua sekurang-kurangnya sebagai naib juara Kumpulan A selepas menewaskan Amerika Syarikat, langsung dileburkan oleh Maghribi yang membelasah skuad Allahyarham Jalil Che Din itu 6-0 di Stadium ESV, Ingolstadt pada 31 Ogos 1972.

SALLEH Ibrahim (dua dari kiri) bersama-sama rakan sepasukan negara yang diberikan sambutan wira di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Selangor sekembalinya daripada Kelayakan Olimpik di Seoul pada 1971.


Salleh yang juga ialah Pegawai Penjara Pengkalan Chepa ini gemar bermain di posisi sayap atau hadapan ketika menyarung jersi Kelantan dari 1963 hingga 1972 selain Perak, dari 1973 hingga 1980.

Turut pernah berkhidmat sebagai anggota tentera British di Pangkalan Jalan Alexander, Singapura dan ketika berusia 18 tahun, dia mulai mencipta nama dengan ramai jagoan bola sepak Malaya dan Singapura seperti Majid Arif, Allahyarham Rahim Omar dan Mahat Ambu.

Dia menikmati penampilan sulung antarabangsa pada Kejohanan Ulang Tahun Kemerdekaan Vietnam Selatan 1971 dan kariernya dengan skuad negara selama tujuh tahun itu meliputi Sukan SEAP, Sukan Asia, Piala Presiden Park, Piala Raja Thailand dan Pestabola Merdeka.

Innalillahi wainna illaihi rojiun.... Semoga rohnya ditempatkan Allah dalam kalangan orang yang salih dan beriman. Al-Fatihah. - KitaReporters

1
0
4
0
0
You will be interested