Insan & Komuniti 17 May, 2021

Perginya juara kuak lentang, kupu-kupu Sukan SEAP! Lim Heng Chek antara Olimpian ulung Malaya!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

EVOLUSI Lim Heng Chek sebagai perenang kemudian selaku pentadbir badan induk sukan itu peringkat negeri dan kebangsaan. - Kredit foto: MOM


MENJADI perenang terulung Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya yang merangkul dua pingat emas Sukan SEAP (Semenanjung Asia Tenggara) berturut-turut.

Menjadi antara 33 atlet kontinjen yang membuat penampilan sulung Malaya dalam Sukan Olimpik di Melbourne, Australia pada 1956.

Malah merupakan segelintir atlet negara yang menyertai keempat-empat temasya pelbagai sukan termasuk Sukan Empayar Britain dan Komanwel serta Sukan Asia selain Olimpik dan SEAP.

Dialah mendiang Lim Heng Chek yang telah meninggal dunia pada Sabtu, 15 Mei 2021 lalu pada usia 85 tahun.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan renang

LIM Heng Chek (kiri) bersama Setiausaha Kehormat FMOC, Thong Poh Nyen (tengah) dan seorang lagi Olimpian renang Malaya 1956, Fong Seow Hor. - Kredit foto: MOM


Khabar duka pemergiannya dilaporkan laman Facebook rasmi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada 16 Mei 2021 yang turut menyampaikan salam takziah kepada keluarga mendiang.

“Salam takziah daripada Presiden (Tan Sri Mohamad Norza Zakaria), Lembaga Eksekutif dan pengurusan MOM kepada keluarga mendiang Lim Heng Chek.

“Mendiang seorang atlet handal yang bertanding di bawah naungan Majlis Olimpik Persekutuan Tanah Melayu (FMOC) dalam Sukan Olimpik, Sukan Empayar Britain dan Komanwel, Sukan Asia dan Sukan SEAP,” lapor laman itu.



Olimpik Melbourne menyaksikan Heng Chek mencatat 1 minit 12.4 saat dalam acara 100 meter kuak lentang dengan menduduki tempat ketujuh dalam saringan keempat pusingan pertama.

Pengalaman tahap tertinggi renang dunia itu dimanfaatkannya pula dalam dua Sukan Asia berturut-turut - edisi ketiga di Tokyo, Jepun pada 1958 dan keempat Jakarta, Indonesia 1962 serta Sukan Empayar Britain dan Komanwel di Perth, Australia pada 1962.

Namun kederasan renangannya di kolam renang Sukan SEAP tampak lebih menyerlah. Di Bangkok, Thailand tanggal 1959, Heng Chek menakluki podium emas dua kali dengan catatan 1:13.5s bagi 100m kuak kupu-kupu dan 1:11.5s bagi 100m kuak lentang.

Dalam kuak kupu-kupu, dia menewaskan perenang Singapura, Siah Pong Pin dengan kelebihan 0.2s sahaja dan Tin Maung Ni dari Burma manakala lawan kuak lentang yang ditewaskannya ialah Tat Thang (Vietnam) dan Tan Gek Khee (Singapura).


LIM Heng Chek (berdiri, kiri) bersama kontinjen Malaya pertama pada Sukan Olimpik di Melbourne, 1956. - Kredit foto: MOM


Dua tahun kemudian di Rangoon, Burma, Heng Chek masih tidak pulang dengan tangan kosong apabila sebutir pingat perak dihadiahkannya buat Malaya.

Juga dalam 100m kuak lentang, dia mencatat 1:13.5s setelah kalah kepada perenang tuan rumah, Chit Sein yang merakamkan 1:13.0s.


SEBAGAI Ahli Jawatankuasa PRAM dan atlet Sukan Asia Jakarta 1962. - Kredit foto: MOM


Sebaik sahaja bersara daripada renang selepas Sukan Asia Jakarta dan Sukan Empayar Britain dan Komanwel Perth 1962, dia mengasaskan Persatuan Renang Amatur Selangor (SAAA) dengan bermula sebagai Setiausaha Kehormat sehingga 1964.

Heng Chek kemudian dipilih sebagai Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (PRAM/ASUM) yang kini Persekutuan Renang Malaysia (Renang Malaysia) dari 1963 hingga1964 dan 1982-1985 kemudiannya Naib Presiden, 1985-1987.

Dia juga merupakan jurulatih renang bertauliah Selangor dan kebangsaan selama 15 tahun dari 1964 hingga 1979 selain terbabit sebagai pegawai teknikal renang tempatan dan Sukan SEAP/SEA.

Dia dimasukkan sebagai Ahli Dewan Terbilang MOM pada 2013 atas sumbangannya dalam pembangunan sukan renang sebagai perenang mahupun pentadbir.

Pemergian Heng Chek merupakan satu kehilangan yang besar kepada masyarakat sukan renang di Malaysia. - KitaReporters


LIM Heng Chek (berdiri, dua dari kanan) bersama kontinjen Persekutuan Tanah Melayu ketika majlis menyambut negara-negara peserta Sukan Olimpik Melbourne Ke-16 pada 1956. - Kredit foto: MOM

0
0
0
0
0
You will be interested