Dalam keadaan hujan lebat dan ribut petir, remaja ini terus setia menunggu pelanggan membeli kuih jongkong jualannya sekalipun hampir waktu berbuka puasa di Kampung Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor. - Kredit foto: Video TikTok@muhamadzamri2020.
RAMAI antara kita mungkin tidak kenal atau mengetahui kuih jongkong? Ia sejenis kuih tradisonal yang jarang ditemui sekarang.
Di Selangor kuih ini popular dan mudah ditemui semasa bulan puasa terutama di daerah Hulu Langat terutama sekitar beberapa buah kampung berhampiran Pekan Batu 14 antaranya di Sungai Telaki, Sungai Serai, Kampung Kelubi dan beberapa kampung lainnya.
Di Kampung Sungai Tekali, Hulu Langat terdapat sebuah gerai menjual kuih jongkong atau ada yang memanggilnya kuih kapal kerana bentuk bungkusannya tak ubah seperti sebuah kapal, yang dikendalikan oleh seorang remaja belasan tahun.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan penjual-penjual
Remaja berkenaan menyiapkan bungkusan kuih jongkong yang dibeli semuanya oleh Cikgu Muhamad Zamri kerana ketika itu sudah hampir waktu berbuka dan dalam keadaan hujan lebat serta angin kencang.
Remaja yang masih bersekolah menengah ini gigih berniaga kuih jongkong hasil air tangan ibunya sendiri setiap hari hanya menggunakan payung, meja dan kerusi tidak jauh daripada rumahnya.
Biasanya dia akan menunggu pelanggan membeli jualannya sehingga habis sekalipun menjelang waktu berbuka.
Dalam keadaan setiap petang hari hujan, dan biasanyta ada angin kencang disertai guruh petir, remaja ini terus setia berniaga kuih tersebut yang diakui sedap oleh beberapa orang pelanggannya.
Seorang guru dari Gombak, Selangor, Muhamad Zamri sewaktu pergi ke rumah seorang kawannya di Kampung Sungai Tekali dan perasaan ada sebuah gerai menjual kuih jongkong yang dikendalikan oleh remaja berkenaan.
Melalui aplikasi akaun TikTok @muhamadzamri2020, beliau yang merupakan seorang guru muzik dalam perjalanan balik ke rumahnya di Gombak, sekali lagi melalui gerai jualan kuih jongkong berkenaan,
Dia melihat remaja tersebut masih gigih dan setia menunggu di gerai jualannya kerana kuih masih belum habis terjual sedangkan waktu itu sudah hampir waktu berbuka dan dalam keadaan hujan lebat berserta guruh petir.
Kuih jongkong jualan remaja berkenaan di Kampung Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor yang merupakan hasil air tangan ibunya diakui pelanggan yang pernah membelinya antara yang sedap dihasilkan.
Melihatkan keadaan tersebut, terdetik di hati Cikgu Muhamad untuk membeli kuih jongkong yang merupakan antara kegemarannya dan dia memberhentikan keretanya di hadapan gerai remaja berkenaan,
Sebaik sahaja menjengah ke tempat bekas kuih terdapat masih berbaki enam bungkus kuih jongkong masih belum terjual, sedangkan pada awalnya dia hanya mahu membeli dua bungkus sahaja.
Setelah memikirkan jika dua bungkus sahaja yang dibeli masih ada empat bungkus lagi bakinya dan remaja itu perlu menunggu pelanggan membelinya. Ini sudah tentulah remaja berkenaan terpaksa berbuka di gerai untuk menunggu pelanggan membeli kuih jualannya.
Akhirnya Cikgu Muhamad mengambil keputusan membeli semua enam bungkus kuih tersebut di samping memberi sedikit duit lebih sebagai belanja kepada remaja tersebut.
Sebaik sahaja selesai remaja berkenaan terus berkemas menutup payung gerainya dan berlari meredah hujan lebat menuju ke rumahnya. Hari itu dapatlah dia berbuka puasa bersama ibu dan keluarganya di rumah.
Tahniah buat Cikgu Muhamad yang meringankan tugas remaja berkenaan menjual kuih tradisonal itu hingga membolehkannya pulang ke rumah lebih cepat untuk berbuka dengan keluarga.
Inilah keberkatan Ramadan yang mempunyai berbagai hikmah dan manfaatnya kepada umat Islam. Selamat meneruskan puasa Ramadan 1442 Hijrah dengan semangat taqwa dan keimanan. - KitaReporters
Kuih jongkong atau dikenali juga sebagai kuih kapal sejenis kuih tradisonal sepanjang Ramadan mudah di dapati di sekitar Hulu Langat terutama di Pekan Batu 14.