Insan & Komuniti 16 Dec, 2025

Akal sihat pada badan sihat! Karnival Sihat Komuniti! Pejabat kesihatan sambut Hari Diabetes Sedunia!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

AKAL sihat terletak pada badan sihat. Kerana itu kesihatan sangat penting dan mesti sentiasa dijaga. Ia lebih bernilai daripada harta kekayaan. Jika berharta tetapi badan tidak sihat hidup dirasa tidak sempurna.


Sebahagian peserta yang menghadiri 'Karnival Sihat Komuniti' sempena Hari Diabetes Sedunia 2025 di Pejabat Kesihatan Daerah Bagan Datuk pada Sabtu 13 Disember 2025.


Dalam usaha memastikan warga setempat sentiasa sihat ceria, dan sempena Hari Kencing Manis (Diabetes) Sedunia 2025, Pejabat Kesihatan daerah Bagan Datuk menganjurkan ‘Karnival Sihat Komuniti’ pada Sabtu 13 Disember 2025. 

Karnival bertema ‘Diabetes dan Kesejahteraan’ itu dianjurkan oleh Klinik Kesihatan Bagan Datuk dengan kerjasama Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bagan Datuk. Mereka saling berganding bahu memastikan program berjalan lancar dan teratur.


Anak kecil ini pun bagai memahami pentingnya penjagaan kesihatan dan sama-sama menghadiri Karnival Sihat Komuniti bersama ibu.


Program didakan di Pejabat Kesihatan Bagan Datuk di Sungai Sumun, dirasmikan oleh Shaimi Taib, Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya. DUN Rungkup terletak dalam Parlimen Bagan Datuk selain Hutan Melintang.

Lebih 500 orang warga setempat Bagan Datuk hadir menjayakan karnival berkenaan yang berlangsung dalam suasana ceria dan meriah. 

Mereka terdiri daripada pelbagai lapisan umur, daripada kanak-kanak, remaja, dewasa hingga warga emas.

Ini membuktikan sokongan padu daripada semua peringkat anggota komuniti terhadap usaha pemerkasaan kesihatan awam. Ia juga melambangkan kesedaran kesihatan yang tinggi di kalangan mereka.


Bukan ibu bapa sahaja, anak yang masih dikendung pun mahu turut serta menyertai 'Funwalk Diabetes' pada Karnival Sihat Komuniti!


Sudah sampai! Warga emas sampai ke garis penamat 'Funwalk Diabetes'. Walau sudah berusia kesihatan tetap terjaga dan masih bertenaga.


Program bermula seawal pukul 7.30 pagi dengan acara ‘Funwalk Diabetes’ sejauh tiga kilometer sebagai pembuka tirai. Acara ini disertai peserta pelbagai kategori daripada kanak-kanak hingga warga emas.

Bagi memastikan acara berjalan di jalan raya utama Hutan Melintang-Bagan Datuk ini lancar, anggota Ibu Pejabat Polis (IPD) Bagan Datuk, khususnya Unit Trafik, memberi  kerjasama penuh mengawal perserta dan lalu lintas.


Pelbagai peringkat usia peserta hadir bersama-sama meraikan 'Karnival Sihat Komuniti' Pejabat Kesihatan Bagan Datuk.


Selain jalan kaki, pelbagai acara lain diadakan sempena Karnival Sihat Komuniti tersebut.  Antaranya ceramah kesihatan berkaitan kencing manis serta saringan dan pameran kesihatan. 

Ceramah dan pameran ini sangat bermanfaat mendidik pengunjung mengenai penyakit dan aspek penjagaan kesihatan.


Saringan kesihatan turut diadakan pada Karnival Sihat Komuniti sempena Hari Diabetes Sedunia 2025 anjuran Pejabat Kesihatan Bagan Datuk.


Juga diadakan ‘aerodance’, permainan interaktif bersama pengunjung, Jualan Rahmah, kios jualan penjaja tempatan, pertandingan sukan ‘indoor’ dan ‘outdoor’ serta cabutan bertuah.

Walau pun dalam suasana musim hujan sekarang, dan Bagan Datuk antara daerah teruk terjejas oleh banjir, program karnival dijalankan penuh jaya berkat semangat kerjasama penganjur dan sokongan padu peserta. 


'Aerodance' antara acara ditampilkan pada Karnival Sihat Komuniti, Pejabat Kesihatan Daerah Bagan Datuk.


Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh pasukan Klinik Kesihatan Bagan Datuk dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Bagan Datuk atas komitmen yang tinggi, dedikasi dan kerjasama dalam menjayakan karnival.

Yang penting karnival kesihatan ini  memberi kesan positif meningkatkan kesedaran masyarakat setempat khususnya dalam pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit, khususnya kencing manis. - KitaReporters


Pameran dan informasi kesihatan oleh kakitangan kesihatan berpengalaman pada Karnival Sihat Komuniti di Bagan Datuk.

 

 

 

 

16
10
0
11
0
You will be interested