Gambar hiasan. - Kredit foto: Irish Mirror
TAHUKAH anda cara mengelak menjalani hukuman penjara yang dijatuhi mahkamah? Mudah, iaitu dengan mengandung. Jadi, ini tentunya tidak terpakai kepada kaum lelaki.
Begitu juga bukan bermakna hukuman gugur tetapi pesalah kena menjalani hukuman di luar penjara, seperti rumah sendiri, dengan pengawasan pihak berkuasa. Apabila sudah melahirkan dan menyusui bayi sehingga usia setahun, dia perlu menjalani baki hukuman di penjara jika ada.
Juga peraturan ini bukan terdapat di seluruh dunia. Namun di China, ada peruntukan undang-undang menetapkan pengecualian daripada menjalani hukuman di penjara untuk wanita mengandung dan menyusukan anak.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan ibu mengandung
WANITA yang gagal mengandung disoal siasat oleh polis apabila ditangkap selepas melarikan diri bagi mengelak menjalani hukuman di penjara. - Kredit foto: South China Morning Post.
Berdasarkan undang-undang Kanun Cara Jenayah China, seorang pesalah wanita boleh dikenakan hukuman penjara di rumah sendiri jika wanita itu mengandung, menyusu dan membesarkan anak. Tempoh menyusu dan membesarkan anak yang dibenarkan di bawah undang-undang itu ialah 12 bulan.
Kerana itulah seorang wanita di wilayah Jiangsu, di timur China, menggunakan alasan mengandung untuk mengelakkan daripada meringkuk di dalam penjara kerana kesalahan yang dilakukan.
Memetik laporan
South China Morning Post, wanita ini berjaya mengelakkan penjara
sembilan tahun yang dikenakan ke atasnya selama tempoh 10 tahun kerana
sepanjang tempoh itu dia mengandung dan membesarkan anak. Laporan tersebut
bagaimana pun tidak menyebut nama wanita itu atau suaminya.
Hukuman sembilan tahun penjara dikenakan ke atasnya pada 2011 atas kesalahan mencuri. Namun dia terlepas daripada dipenjara kerana mengandung. Dia berjaya mengelakkan menjalani hukuman selama 10 tahun kerana mengandung lima kali.
Kredit foto: China Highlights
Sememangnya itu pun matlamat wanita tersebut, iaitu mengandung setiap kali anaknya mencapai usia setahun. Dengan cara itu dia dibenarkan menjalani hukuman di luar penjara.
Bagaimanapun
nasib tidak menyebelahinya tahun ini. Muslihatnya tidak menjadi. Dia gagal mengandung
dan kerana itu perlu menjalani hukuman penjaranya. Namun dia menghilangkan diri
dengan meninggalkan nota kepada pihak berkuasa dia akan kembali dalam tempoh
sebulan apabila mengandung lagi.
Tetapi pihak berkuasa tempatan berjaya mencari dan menangkapnya awal bulan April 2021 di bandar Lianyunggang dengan kerjasama polis dan pihak pendakwa serta Biro Keadilan tempatan. Dia kemudian disumbat ke dalam penjara untuk menjalani hukumannya.
Wanita yang gagal mengandung lagi itu diberkas semula selepas cuba melarikan diri. - Kredit foto: South Morning China Post
Menurut
pendakwa di bandar Donghai, wanita berkenaan menggunakan sepenuhnya kesempatan
untuk tidak dipenjara dengan mengandung setiap kali tempoh menyusu dan
membesarkan anak tamat.
Dengan cara itu
wanita berkenaan tidak perlu masuk penjara. Sebaliknya dia menjalani hukuman di
rumah di bawah program pemulihan masyarakat, sekalipun dalam tempoh itu dia
melakukan pelbagai lagi kesalahan.
Setelah
kegagalannya mengandung untuk kali keenam dan ditangkap pihak berkuasa, wanita
itu memberitahu, dia menyesal kerana melakukan kesalahan jenayah. Dia juga
menyesal melahirkan ramai anak sebagai muslihat tidak mahu ke penjara. Dia mengakui
dirinya tidak bertanggungjawab.
Wanita
tersebut, yang sentiasa melakukan kesalahan berulang, pertama kali ditangkap
mencuri dan dihukum penjara enam bulan pada 2009 dengan tempoh dua tahun dalam
pemerhatian.
Bagaimana pun
dalam tempoh pemerhatian itu, dia melakukan lagi pelbagai kesalahan mencuri. Akibatnya
dia dijatuhi hukuman penjara sembilan setengah tahun pada 2011.
Kerana pelbagai kesalahan yang dilakukan dalam tempoh sedekad lalu, wanita berkenaan kini berhadapan dengan hukuman penjara lebih 10 tahun. - KitaReporters.com
Wanita di penjara China. - Kredit foto: Weird Asia News