SEBAIK sahaja menerima perkhabaran isteri mengandung, pasti isu nama anak akan menjadi fokus utama yang akan difikirkan bagi pasangan suami isteri. Ada sahaja nama-nama indah yang mahu diletakkan kepada si kecil. Namun berbeza dengan pasangan suami isteri yang mengambil kesempatan dengan situasi melanda dunia dan menamakan pasangan kembarnya dengan nama Corona dan Covid. : KitaReporters
PREETI VERMA memegang pasangan kembar Covid dan Corona yang dilahirkan pada 27 Mac 2020 di Hospital Dr BR Ambedkar Memorial, Raipur di India. - Foto DailyMail.
Peletakan nama berkenaan dibuat sempena suasana ‘lockdown’ sedang dikuatkuasakan di India berikutan penularan pandemik COVID-19.
Memetik laporan Today.com, pasangan kembar lelaki (Covid) dan perempuan (Corona) itu dilahirkan pada 27 Mac 2020 di Hospital Dr BR Ambedkar Memorial di Bandar Raipur, India.
Ibu kembar berkenaan Preeti Verma berkata, dia membuat
keputusan meletak nama berkenaan sebagai lambang di atas kejayaan dirinya
selepas melalui pelbagai kesulitan yang dihadapi sebelum proses kelahiran.
“Pasangan kembar ini berjaya dilahirkan selepas pelbagai
dugaan berjaya diharungi menyebabkan saya dan suami memilih untuk menamakan
anak itu dengan nama Corona dan Covid.
“Ia juga sebagai tanda kenangan yang tidak akan dilupakan berikutan kemunculan pandemik yang telah mengorbankan ribuan manusia di dunia,” katanya.
Kongsi ibu
muda yang berusia 27 tahun itu, pada malam kelahirannya dia terpaksa berdepan
dengan beberapa sekatan jalan raya untuk sampai ke hospital dalam keadaan sakit
bersalin.
Malah suaminya terpaksa menggunakan perkhidmatan
ambulans bagi mengelak mereka berpatah balik berikutan perintah berkurung di
India.
Malah kakitangan hospital yang menyambut kehadiran bayi
itu turut menggelarkan pasangan kembar dengan nama Corona dan Covid.
Terdahulu, bayi kembar berkenaan dilahirkan secara pembedahan
selepas ibunya mengalami beberapa komplikasi.
Pada 25 Mac 2020, India mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung (lockdown) seluruh negara selama 21 hari dalam usaha membendung wabak COVID-19.
INDIA melaksanakan perintah berkurung bagi mengekang penularan pandemik COVID-19. - Kredit foto: Gulf News
Perdana Menteri Narendra Modi berkata, perintah
berkurung itu bermula pada jam 12 tengah malam itu dan sekatan itu akan
dilaksanakan untuk tempoh tiga minggu.
Sehingga Ahad, 5 April 2020, India mengesahkan 86 kematian dengan keseluruhan kes positif COVID-19 sebanyak 3,082. - KitaReporters