Insan & Komuniti 11 Sep, 2021

Zaman dah tiada! Pemimpin ragbi berjasa, berjaya! CDM Sukan SEA 1985! Pengerusi Tatatertib FAM!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ZAMAN Khan Rahim Khan (kiri) ketika menghadiri perlawanan Malaysia-Hong Kong dalam Kejohanan Ragbi Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil. - Kredit foto: FB Azley Kassim


MARA ke separuh akhir kategori Plate Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 ialah antara pencapaian terbaik pasukan negara ketika Allahyarham Tan Sri Mohd. Zaman Khan Rahim Khan menerajui Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM).

Skuad negara disekat oleh Papua New Guinea 35-5 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Selangor apabila ragbi tujuh sebelah membuat penampilan sulung dalam temasya empat tahun sekali untuk negara-negara jajahan Great Britain itu. 


Bekas Setiausaha Agung KRM, M. Suhaimi Zainuddin yang mengimbas kenangan manis sepanjang khidmat mantan Presiden itu berkata, "arwah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memajukan sukan ragbi Malaysia secara menyeluruh.

"Di bawah kepemimpinannya, pasukan negara juga pernah muncul keempat terbaik Kejohanan Asia 1994 yang disaingi lapan pasukan iaitu Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan, Sri Lanka, Singapura dan Thailand," katanya.


M. Suhaimi Zainuddin atau lebih dikenali sebagai Yonz. - Kredit foto Ragbi.my


Suhaimi ketika itu baru bergelar Penolong Setiausaha dan pengurus pasukan negara dalam beberapa kejohanan dari 1994 hingga 1998 dan Zaman pula menerajui KRM dari 1985 hingga 1998 dengan menggantikan Tan Sri Mansor Mohd. Noor.

Zaman kembali ke rahmatullah pada usia 79 tahun, kira-kira pukul 10.15 pagi Sabtu, 11 September 2021 di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Beliau dilahirkan pada 21 Disember 1941 di Pasir Mas, Kelantan.

Jenazah Allahyarham dimandikan dan disolatkan di Masjid Bukit Aman sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.


FACEBOOK MOM mengutuskan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Mohd. Zaman Khan Rahim Khan. - Kredit foto: MOM


Bekas Ketua Pengarah Jabatan Penjara dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia ini, turut pernah dilantik menjadi Ketua Kontinjen atau Chef de Mission (CDM) negara pada Sukan SEA Bangkok 1985.

Kontinjen pimpinan Zaman menduduki tempat keempat dalam senarai pungutan pingat Sukan SEA Bangkok 1985 antara lapan negara peserta setelah meraih 26 pingat emas, 26 pingat perak dan 33 pingat gangsa.

Tujuh emas daripadanya merupakan sumbangan ratu renang, Nurul Huda Abdullah manakala lapan lagi oleh atlet-atlet olahraga selain satu daripada beregu bersaudara badminton, Datuk Razif Sidek dan Datuk Seri Jalani Sidek.

"Pasukan negara juga memenangi dua pingat perak ragbi tujuh sebelah dan 15 sebelah Sukan SEA Chiang Mai 1995.

"Turut menjadi antara jasa dan sumbangan lain beliau ialah mempelbagaikan dan menggalakkan penganjuran kejohanan 15, tujuh dan 10 sebelah," kata Suhaimi.


ZAMAN Khan (duduk, tengah) dan Suhaimi (berdiri, dua dari kanan) menganggotai Majlis KRM 1994-1996. - Kredit foto: Yonz.


“Bagi pihak Majlis Olimpik Malaysia (MOM), saya ingin mengucapkan takziah dan rasa dukacita kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Zaman.

“Pemergiannya merupakan kehilangan besar kepada sukan negara dan jasa beliau akan senantiasa dikenang. Al-Fatihah,” kata Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” lapor laman Twitter rasmi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Zaman juga pernah bergelar Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mulai 1990 hingga awal 2000-an. 

“Semoga Allah SWT merahmati dan mengampuni segala dosa roh Allahyarham dan memuliakan kematiannya dengan menjadikan syurga sebagai ganti tempat tinggal yang abadi. Amin,” lapor laman Facebook rasmi FAM. - KitaReporters


UCAPAN takziah daripada FB FAM. - Kredit foto: FAM

7
13
1
15
0
You will be interested