Insan & Komuniti 24 Nov, 2021

Selepas 73 tahun! Buku dipinjam dari pustaka akhirnya dipulangkan semula! Jumlah denda RM16K!

@mohamed sa'ari
Berpengalaman sebagai jurufoto media dan still filem selama lebih 30 tahun. Pernah menjadi videographer untuk industri filem tanah air dalam tahun 90an. Terakhir sebagai stringger akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo.

Share this


KELEWATAN memulangkan buku dipinjam dari perpustakaan bukan sesuatu yang menghairankan kerana perkara tersebut biasanya terjadi namun pastinya ia tidak mengambil masa begitu lama. 

Namun lain ceritanya di Perpustakaan Awam Dunfermline, Scotland apabila sebuah buku berjudul Statley Timber hanya dipulangkan kembali selepas 73 tahun dipinjamkan. 

Buku hasil karya Rupert Hughes yang mengisahkan pengembaraan berlatarbelakang bandar Boston, Amerika Syarikat dipinjam oleh seorang lelaki dan sepatutnya dipulangkan kembali ke perpustakaan tersebut pada 6 November 1948 namun hanya dikembalikan selepas lebih tujuh dekad. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan buku


Donna Dewar menunjukkan buku bersama nota yang dipulangkan oleh anak perempuan peminjam selepas 73 tahun. - Kredit foto: Facebook Dunfermline Library


Pembantu pustakawan, Donna Dewar berkata buku tersebut dihantar oleh anak perempuan peminjam melalui kiriman pos yang turut menyertakan sekeping nota menerangkan beberapa perkara mengenai keberadaan buku tersebut sebelum dipulangkan.

“Saya hanya mampu ketawa ketika membuka bungkusan yang dikirim setelah mendapati sebuah buku milik perpustakaan ini bersama sekeping nota.

“Dalam surat itu, beliau menjelaskan mendiang bapanya pernah tinggal berdekatan perpustakaan ini sekitar tahun 1948, namun beliau kurang pasti sama ada bapanya terlupa untuk memulangkan semula atau memang berhasrat untuk menyimpan buku tersebut,” katanya memetik laporan  Irish Examiner.

Menurutnya, wanita yang tidak didedahkan namanya itu turut menyatakan keterujaanya melihat tarikh-tarikh pinjaman serta pemulangan yang tercatat di dalam buku tersebut kerana semuanya merupakan era pasca-Perang Dunia Kedua.


Buku berjudul Stately Timber yang 'hilang' selama 73 tahun dari Perpustakaan Awam Dunfermline. - Kredit foto :  Facebook Dunfermline Library


Tambah Dewar, dia kemudiannya secara suka-suka telah membuat semakan bayaran denda lewat dan mendapati jumlah denda dikenakan kepada peminjam kerana kelewatan memulangkan buku tersebut adalah berjumlah £2,847 atau kira-kira RM16,000.

“Di dalam buku itu juga terdapat peringatan mengenai tarikh pemulangan buku milik perpustakaan dalam tempoh hanya 14 hari. Namun, buku tersebut hanya kembali semula ke perpustakaan ini selepas 73 tahun,” katanya.

Namun tidak pula dijelaskan apakah jumlah denda tersebut dituntut daripada wanita tersebut yang merupakan anak perempuan dan waris kepada lelaki yang telah meminjam buku tersebut pada tahun 1948 atau sebaliknya.

Kejujuran wanita tersebut yang mengambil keputusan untuk memulangkan buku milik perpustakaan yang dipinjam oleh bapanya patut dipuji kerana berkemungkinan besar tiada buku judul sama yang lain berada di dalam koleksi perpustakaan itu ketika ini. -KitaReporters


Nota yang disertakan oleh anak perempuan peminjam yang menerangkan keberadaan buku yang dipinjam oleh bapanya 73 tahun lalu sebelum dipulangkan melalui pos. - Kredit foto: Facebook Dunfermline Library


Suasana di dalam Perpustakaan Awam Dunfermline. - Kredit foto: Alamy.com


Bangunan Perpustakaan Dunfermline katika ini.- Kredit foto : Onfife.com.

14
19
0
14
0
You will be interested