Insan & Komuniti 30 Jul, 2021

Penumbang jaguh badminton Punch Gunalan! Naib juara Thomas 1970! Rahman pergi selama-lamanya!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

ABDUL Rahman Mohamad melakukan smash pada era 70-an kegemilangannya. - Kredit foto: Jabatan Penerangan Malaysia 


TANGGAL 10 April 1970 dan venuenya Kelab Hiburan Cina, Seremban, Negeri Sembilan dengan 1,000 penonton menjadi saksinya.

Di sinilah (mendiang Datuk) Punch Gunalan ditewaskan seorang pemuda kelahiran Kedah yang juga anggota Polis Diraja Malaysia.

Berbanding Gunalan, perseorangan utama malah pakar beregu badminton Malaysia, pemuda itu hanya terkenal sebagai jaguh Kejohanan Melayu Malaysia merebut Piala Tunku Abdul Rahman.

Perlawanan itu merupakan ujian pemilihan skuad Piala Thomas 1970 yang menyaksikan pemuda tersebut mengejutkan Gunalan 15-11, 17-16 selepas 40 minit.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan badminton

ABDUL Rahman Mohamad terpaksa berkerusi roda untuk bergerak akibat diserang strok. - Kredit foto: FB Shukhairy Kamaruzaman


Gerangannya ialah Allahyarham Abdul Rahman Mohamad, 75, yang telah kembali ke rahmatullah di Hospital Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 3.55 petang 29 Julai 2021

Anggota skuad naib juara Piala Thomas 1970 itu menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 75 tahun, lapor laman Facebook rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Allahyarham turun selaku perseorangan kedua selepas mendiang Gunalan pada perlawanan akhir edisi kelapan (Piala Thomas di Stadium Negara, Kuala Lumpur) menentang Indonesia.

“Jasa serta sumbangan Allahyarham dalam arena badminton kebangsaan pasti akan terus dikenang. Semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Al-Fatihah,” lapor laman itu.

Malaysia tewas 7-2 dalam perebutan trofi kejohanan berpasukan dunia itu tanggal 5 dan 6 Jun 1970 dengan Rahman yang bermain pada perlawanan kedua dan keenam, dikalahkan Rudy Hartono 12-15, 2-15 dan Muljadi 5-15, 5-15.

Namun tuan rumah yang mendapat laluan percuma sehingga play-off antara zon menjinakkan Denmark 5-4 pada separuh akhir dengan lawan diperkuatkan oleh Elo Hansen dan Henning Borch setelah memenangi dua perlawanan perseorangan dan tiga beregu.

Rakan sepasukan Rahman ketika itu ialah Gunalan, Tan Aik Huang, Ng Tat Wai, (Datuk) Ng Boon Bee, Tan Aik Mong, Lee Kok Peng, Tan Soon Hooi dan Teh Kew San. 


ABDUL Rahman Mohamad turut membantu Malaysia meraih sebutir pingat gangsa berpasukan lelaki badminton Sukan Asia Bangkok 1970. - Kredit foto: Majlis Olimpik Malaysia (MOM)


Akhbar Sinar Harian pada Jun 2021 lalu melaporkan, Rahman yang diserang strok sejak beberapa tahun lalu, perlu bergerak dalam menguruskan diri dengan menggunakan kerusi roda.

Dia banyak menghabiskan masa bersama isteri dan anak bongsunya, Azlan Abdul Rahman di Seksyen 18, Shah Alam.

“Abah selalu bercerita dan mengenang semula perlawanan akhir Piala Thomas 1970 itu ketika menentang Rudy dan Muljadi. Kata abah, detik itu antara kenangan terindah dalam karier badmintonnya,” kata Azlan dalam laporan akhbar itu.


ABDUL Rahman Mohamad (empat dari kanan), anggota skuad naib juara Piala Thomas 1970. - Kredit foto: FB Badminton Negara


Rahman yang lahir pada 9 Mei 1946, mula diserapkan ke skuad kebangsaan bagi menyertai Kejohanan Seluruh England di Arena Wembley, London pada 1968 malah dalam senarai simpanan ketika Malaysia merampas Piala Thomas 1967 dari Jakarta, Indonesia dengan kemenangan 6-3. 

Turut berada dalam koleksi kejayaannya ialah sebutir pingat gangsa berpasukan lelaki Sukan Asia Bangkok 1970 setelah Malaysia dan Jepun disekat Indonesia dan Thailand dalam separuh akhir.

Anggota lain skuad itu termasuk Gunalan, Kok Peng, Boon Bee, Tat Wai (gandingannya jika beralih kepada beregu) dan Soon Hooi.

Kejohanan Asia di Manila, Filipina merupakan antara siri pertandingan antarabangsa yang turut disertainya.

Di arena Kejohanan Melayu Malaysia dalam era 60-an hingga 70-an, nama Rahman sering sebaris dan sehandal dengan dengan jaguh perseorangan seperti Omar Manaf dan Ya’akob Haron. - KitaReporters


 

ABDUL Rahman Mohamad, bekas juara Kejohanan Melayu Malaysia. - Kredit foto: FB Shukhairy Kamaruzaman

0
0
2
0
0
You will be interested