Insan & Komuniti 03 Jul, 2021

Nurul Syamimi reda jadi pasangan jarak jauh (PJJ)! Jangan murung! Guna peluang untuk berniaga!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

NUR Syamimi Mohd Asri bersama suaminya, Fadhliy Aliy dan dua anak mereka, Desya Adreena dan Hayden Yusuf. - Kredit Foto: Koleksi Peribadi Nurul Syamimi Mohd. Asri


MENITI kehidupan berumah tangga pastinya menjadi impian setiap lelaki dan wanita yang mahu mengikut sunnah Nabi SAW. Hidup bersama antara pasangan di bawah satu bumbung dan dikurniakan cahaya mata seterusnya menjalani fasa indah dalam perkahwinan.

Namun, hakikatnya bukan semua suami isteri mendapat peluang tersebut lantaran tuntutan tugas yang menyebabkan mereka terpaksa berjauhan.

Perkara ini dikongsi seorang wanita, Nurul Syamimi Mohd. Asri, 28, yang telah menjalani kehidupan sebagai Pasangan Jarak Jauh (PJJ) bersama suaminya, Fadhliy Aliy, 29, selama hampir tiga tahun.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pasangan jarak jauh (PJJ)

FADHLIY dihantar bertugas di sektor perladangan milik Sime Darby di Kalimantan, Indonesia sejak tahun 2018.


Menurut wanita yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu, suaminya kini dihantar bertugas di Kalimantan, Indonesia dalam bidang perladangan bermula tahun 2018.

“Pada awalnya memang saya rasa sedih kerana tidak dapat hidup normal seperti pasangan yang telah berkahwin. Bayangkan saya dan anak-anak hidup sendirian di Seremban, suami pula di Indonesia. Kami hanya dapat berjumpa enam bulan sekali.

“Tetapi pada era pandemik Covid-19 ini, cabaran itu lebih lagi disebabkan larangan merentas negeri dan negara yang dikuatkuasakan kerajaan. Namun, saya bersyukur kerana ada ayah dan ibu serta keluarga yang tinggal berhampiran. Jadi, bila saya perlukan bantuan mereka sentiasa ada,” jelas Syamimi yang dikurniakan sepasang anak, Desya Adreena, 4, dan Hayden Yusuf, 3.

Menjalani kehidupan sendirian bersama anak-anak, rutin harian wanita ini sama seperti ibu-ibu yang lain. Bangun awal pagi dan menguruskan anak-anak serta rumah, memasak, membasuh baju, mengemas dan sebagainya. Paling mencabar, sudah tentulah berhadapan dengan ragam anak-anak yang sedang membesar.


WANITA ini perlu menguruskan kehidupan keluarga dan anak-anak sendirian tanpa suami di sisi.


“Biasalah bila anak-anak tantrum, adakala saya hilang sabar. Emosi dan mental sejujurnya sangat penat. Dalam memujuk hati, saya sering mengatakan saya bertuah kerana mempunyai suami yang bertanggungjawab dan sentiasa menyokong apa yang ingin saya lakukan.

“Walaupun duduk berjauhan, namun kami berhubung setiap hari. Alhamdulillah, teknologi yang ada membolehkan anak-anak melepaskan rindu pada Daddy mereka melalui panggilan video,” ujarnya lagi.

Antara cabaran besar yang dihadapi apabila anak bongsunya sering jatuh sakit kerana mudah dijangkiti selesema dan batuk berpanjangan hingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

Sebagai seorang suri rumah, Syamimi mengakui kepenatan yang dialami membuatkan dia cuba menyibukkan diri dengan apa yang boleh digelar sebagai ‘Me Time’.


DIFFUSER ultrasonic YL paling digemari anak-anak disebabkan kecomelan bentuk burung hantu ini.


Ketika itulah, dia mula berminat untuk menggunakan rangkaian produk Young Living (YL) terutama minyak pati (essential oil) untuk membantu mengurangkan risiko dijangkiti batuk dan selesema.

Siapa sangka bermula dengan minyak pati yang diasaskan daripada tumbuh-tumbuhan semula jadi itu, ia dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan anak-anak selain menstabilkan emosi dirinya.

“Sebagai manusia, kita perlu berikhtiar selebihnya kita harus bergantung pada Allah agar diri terus kuat demi keluarga. Melalui penggunaan minyak pati YL ini, ia menjadi terapeutik yang sedikit-sebanyak membantu kita mengawal emosi.

“Yang penting, terus mohon dan berdoa pada Allah supaya kita diberi kekuatan dan ketabahan dari segala aspek. Kemudian bolehlah kita berusaha untuk menjadi surirumah yang bahagia,” tuturnya yang kemudian memilih untuk menjadi ejen produk tersebut.


AKAUN Instagram Syamimi yang dijadikan platform mempromosikan kebaikan produk YL.


Bergelar siswazah Pengajian Perniagaan membolehkan ilmu yang dipelajari ketika zaman belajar dahulu dapat dipraktikkan. Usaha dan kesungguhan yang dilakukan oleh Syamimi dalam mempromosikan kebaikan produk tersebut dalam laman Instagram ternyata memberi pulangan lumayan buat dirinya. 

“Siapa yang tidak gembira apabila berjaya mencari pendapatan sendiri meskipun bergelar suri rumah. Apatah lagi, suami pula sentiasa memberi sokongan agar masa yang ada dapat diisi dengan perkara yang bermanfaat.

“Dahulu selepas berkahwin saya terus berhenti kerja. Jadi, adalah juga suara-suara yang mengatakan penat belajar tinggi-tinggi, tapi setakat duduk di ceruk dapur sahaja.


SURI RUMAH juga ada 'workstation'. Sambil bekerja, Syamimi tetap boleh menguruskan anak-anak di depan mata. 


“Kini, saya gembira walaupun hanya duduk di rumah dan menjaga anak, tapi masih mampu meraih pendapatan sehingga empat angka. Buat semua wanita atau suri rumah yang berdepan situasi PJJ ini, ‘don’t let yourself down’. Cari dan buatlah sesuatu yang menggembirakan hari anda.

“Find your happiness and be happy’. Bersyukur sahaja dengan apa jua takdir yang Allah tetapkan. Tak mengapa jika terpaksa PJJ demi masa depan keluarga. Sampai masa jika diizinkan Allah, pasti kami akan hidup bersama semula di bawah satu bumbung. Insya-Allah,” ungkap Syamimi penuh harapan.

Sungguh, apabila kita berdamai dengan takdir, pasti Allah ganjari dengan 1001 kebaikan yang kita tidak langsung terfikir. - KitaReporters


MEMORI Syamimi dan Fahdliy bersama keluarganya ketika pasangan ini melangsungkan perkahwinan pada 25 September 2016.

57
3
0
0
1
You will be interested