Insan & Komuniti 26 Jan, 2021

Terima kasih sukarelawan madrasah Taman Bukit Anggerik! Misi bantuan banjir ke Temerloh, Maran

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Mangsa banjir di Kampung Paya Jauh, Temerloh gembira menerima sumbangan daripada Misi Kemanusiaan Kami Prihatin Metba.


KEKANGAN mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sebab pandemik Covid-19 tidak mematahkan semangat 21 sukarelawan Madrasah Ehsaniah Taman Bukit Anggerik (Metba), Cheras, Kuala Lumpur untuk meneruskan Misi Kemanusiaan Kami Prihatin membantu 500 mangsa banjir di Pahang.

Sebagai mematuhi SOP yang ditetapkan itu serta arahan daripada pihak berkuasa tempatan semua sukarelawan terbabit terpaksa menjalani ujian swab (calitan) bagi pemeriksaan kesihatan terhadap Covid-19 seminggu sebelum bergerak ke Temerloh dan Maran dalam misi fasa dua dan tiga pada 19 Januari 2021 lalu.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan sukarelawan:

https://kitareporters.com/search?search=sukarelawan



Penasihat program misi berkenaan, Datuk Hazreeq Putra Datuk Hasman, berkata selepas mendapati semua sukarelawan terbabit negatif daripada Covid-19 barulah kerja-kerja menyusun, membungkus dan mengangkut barangan keperluan asas dilakukan di ruang luar Metba sehari sebelum bergerak.

Menurut beliau, dalam fasa dua misi itu adalah untuk mengagihkan 250 bungkusan yang mengandungi 22 jenis makanan keperluaan asas seperti beras, bihun, susu, teh, roti, air mineral, sabun cucian dan sebagainya kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Paya Jauh, Temerloh.


Datuk Hazreeq Putra Datuk Hasman (kiri) menyerahkan sumbangan kepada sebuah keluarga mangsa banjir di Kampung Paya Jauh.


Katanya, manakala dalam fasa ketiga pula misi itu akan menyerahkan 150 kelengkapan dengan setiap satu seperti tilam, bantal, selimut, cadar, sarung bantal, ubat-ubatan serta beberapa barangan lain dan 20 kabinet untuk pelajar tahfiz serta warga tua di Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamailiah di kampung berkenaan yang terjejas teruk dilanda banjir kerana berada berdekatan Sungai Pahang.

“Kami hanya diberikan kebenaran untuk mengagihkan barangan kepada mangsa terbabit seberapa segera dan dilarang sama sekali terbabit dalam kerja pembersihan dan sebagainya bagi mengelak bergaul rapat dengan penduduk setempat berikutan pandemik Covid-19,” katanya.



Tilam, bantal, selimut, cadar, sarung bantal dan 20 kabinet disumbangkan kepada pelajar tahfiz serta warga tua di Madrasah Ad-Dinniah Al-Islamailiah.


Pengelola program itu, Osman Ahmad, pula berkata ketika mengagihkan bantuan di kampung berkenaan mereka menerima maklumat daripada penduduk sekitar iaitu kira-kira 100 mangsa banjir di Kampung Chenor dan Kampung Sekara, Maran turut memerlukan bantuan.

Beliau berkata, beberapa sukarelawan yang bergerak ke kampung berkenaan untuk membuat tinjauan terkejut melihat keadaan dua kampung itu yang masih digenangi air bertakung serta banyak rumah penduduk yang rosak.



Keadaan rumah penduduk di Kampung Chenor dan Sekara yang masih digenangi banjir dan mengalami kerosakan teruk.


Menurutnya, selepas mengadakan perbincangan misi itu yang mendapat kerjasama Syarikat Cordova Holding (M) Sdn Bhd bersetuju untuk segera mendapatkan barangan keperluan asas tambahan di sekitar bandar Temerloh bagi diagihkan kepada mangsa banjir di kampung berkenaan.

Katanya, dengan menggunakan lima kenderaan pacuan empat roda tiada masalah bagi sukarelawan Metba untuk mengangkut barang melalui jalan yang berlumpur tebal untuk ke kampung berkenaan yang terletak di pedalaman.


Hanya kenderaan pacuan empat roda boleh memasuki kawasan Kampung Chenor dan Sekara.


Datuk Hazreeq Putra (kanan) dan Sukarelawan Metba, Jalius Khalid (kiri) mendengar cerita mangsa banjir di Kampung Chenor.


“Misi bantuan mangsa banjir itu akan diteruskan kepada fasa empat yang terakhir sebelum hujung bulan ini dengan mengenal pasti terdahulu kampung terbabit serta mendapatkan maklumat berkaitan bantuan yang sesuai untuk diagihkan.

“Dalam misi fasa satu sebelum ini sukarelawan Metba sudah mengagihkan 100 bungkusan barangan keperluan asas kepada mangsa banjir di sekitar Kampung Kerambit, Kuala Lipis, Pahang pada 12 Januari 2021 lalu,” katanya.


Sukarelawan Metba berasa bangga dapat membantu mangsa banjir di Temerloh dan Maran, Pahang.


Orang ramai yang ingin memberi sumbangan selain wang ringgit seperti berupa barangan makanan, pakaian dan sebagainya boleh menyerahkannya di Madrasah Ehsaniah Taman Bukit Anggerik (Metba) atau menghubungi Imam Hizrian Hadi (010-7736522), Werr Budin (019-9655335), Imam Jalius Khalid (019-2818952) dan Osman Ahmad (012-2893742). - KitaReporters

21
6
0
0
0
You will be interested