Insan & Komuniti 01 Aug, 2021

Terima kasih kerajaan Pahang! Segera beri bantuan rumah rakyat kepada 8 yatim piatu COVID-19!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

TIADA ungkapan yang terucap oleh seorang warga emas, Ibrahim Ali, 68, selain tangisan kesyukuran dan ucapan terima kasih terhadap keprihatinan Kerajaan Pahang dalam membantu lapan cucunya yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 iaitu dengan meluluskan segera bantuan Rumah Rakyat Pahang (RRP), baru-baru ini.

Kisah lapan beradik itu tular selepas kematian kedua-dua ayah, Benyajeed Bernie, 48, dan ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, selepas dijangkiti COVID-19, pada 16 dan 18 Julai 2021 lalu.


Ibrahim yang menetap di FELDA Kota Gelanggi 2, Jerantut, tidak menyangka kerajaan negeri sangat prihatin terhadap nasib yang menimpa cucu-cucunya apabila segera meluluskan bantuan RRP bagi memberikan kediaman yang selesa kepada lapan cucunya.

“Saya beryukur sangat kepada Allah SWT, kerana kerajaan negeri begitu prihatin dengan anak cucu saya. Saya sangat-sangat terharu, maklumlah anak-anak saya pun tak dapat nak bagi benda-benda (rumah) ini kepada mereka.
“Terima kasih banyak-banyak kerana membantu anak cucu saya mendapatkan sebuah rumah, kami bagi pihak keluarga bersyukur sangat dengan bantuan ini. Tak tahu apa saya nak cakap cuma Allah SWT sahaja yang membalas segala bantuan diberikan kepada anak cucu saya,” katanya.  

Ibrahim berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) seperti di petik Pahang Media di Kuantan pada Sabtu, 31 Julai 2021.


Ibrahim Ali dan isterinya. - Kredit foto: Pahang Media


Dalam pada itu, Ibrahim berkata, dia bersama isteri akan membawa pulang kelapan-lapan cucunya itu yang kini menetap di Bukit Beruntung, Selangor menjelang penghujung 2020 Ogos ini selepas dia dan isteri melengkapkan kedua-dua dos vaksin COVID-19.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Datuk Nazri Ngah sempat bertemu  Ibrahim dan isteri untuk berbincang berhubung pembinaan RRP supaya dapat disegerakan urusannya.
“Saya ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail kerana mempercepatkan dan memudahkan urusan kepada lapan beradik dan keluarga mereka,” katanya. - KitaReporters

0
0
0
0
0
You will be interested