Insan & Komuniti 11 Aug, 2021

Siti Sarah magnet rezeki! Saya tumpang tuah dia - Shuib! Dia anak yang baik, taat - Raissuddin!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this


"SARAH adalah tuah saya. Saya tiada apa-apa pun dan menumpang tuah dia saja. Dia sangat taat, setia dan tidak pernah mengeluh. Paling istimewa, dia tidak malu bersuamikan saya," kata Shuib Sepahtu mengingatkan isterinya, arwah Siti Sarah Raissuddin, 36, yang meninggal dunia pada Isnin, 9 Ogos 2021.

Dalam rakaman videonya sehari selepas sehari kematian isterinya, Shuib Sepahtu atau Shahmira Muhammad sangat bertuah ada seorang isteri penyayang dan mengajarnya tidak berkira dengan rezeki terutama ketika bersedekah

"Saya dapat rezeki yang melimpah ruah, rumah tangga bahagia, anak-anak yang baik kerana kuasa seorang isteri. Itulah dahsyatnya Siti Sarah Raissuddin," katanya. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Siti Sarah



Menurutnya, arwah sentiasa menemaninya bermula dari masa dia menjual ayam bakar lagi pada kala arwah sudah terkenal sebagai penyanyi

Malah masa baru berkahwin pun, mereka tiada rumah dan pernah berbuka puasa dengan makanan yang dibeli dari pasar malam, beralaskan helaian akhbar.

Ada ketikanya Shuib hampir mengalah tetapi arwah sentiasa memberinya semangat dan yakin dia akan berjaya

Shuib menyifatkan kini ketika mereka ada berpuluh-puluh rangkaian perniagaan Bubblebee, semua itu adalah daripada tuah dan berkat doa arwah isterinya yang tidak pernah putus-putus.

"Mulanya, saya pelik bagaimana BubbleBee kami dapat sambutan luar biasa. Orang ramai beratur di kedai dan saya pula jarang membuat promosi `gila-gila` pun. 

"Akhirnya baru saya dapat tahu duit belanja saya bagi pada arwah, dia sedekahkan. Dan Allah balikkan rezeki itu  dengan membuka pintu hati pelanggan menyokong perniagaan." katanya.



Shuib berkata, arwah tidak pernah berkira fasal duit dan mengajarnya bersedekah dengan apa yang ada pada tangan

"Arwah cakap kalau berkira-kira bila bersedekah, Allah akan berkira-kira dengan kita dan rezeki pun tersekat.

"Arwah tidak pernah tanya akaun bank saya. Cuma dia mahu segala keperluan rumah, pinjaman kereta dan tanggungan Shuib daripada ibu bapa mereka, adik beradik dan infak kepada pihak berhak disempurna sepenuhnya." katanya.

Paling menarik kata Shuib, dia tidak pernah berasa suami isteri `berperang` balik beraya kerana arwah ikut saja asalkan Shuib gembira.

Sementara itu, Agensi berita BBC News yang berpangkalan di London turut melaporkan berita pemergian Siti Sarah yang kemudian tersebar ke seluruh dunia dengan berpusu-pusu orang mengucapkan takziah.

Utusan Malaysia memetik portal berita itu, ramai yang memberikan komen bersimpati dengan apa yang berlaku kerana arwah dijangkiti Covid-19 dan dalam masa sama mengandung serta melahirkan bayi dalam keadaan ‘ditidurkan’.


Keratan laporan kematian Siti Sarah. - Kredit foto: Utusan Online


Sementara itu ayah arwah, Raissuddin Hamzah berkata: “Dunia ini sesepi-sepinya, itulah yang boleh jelaskan perasaan saya. 

"Tiada kata-kata lain yang boleh menjelaskan kedudukan saya selain sepi,” katanya ketika menjawab soalan media sebaik selesai majlis bacaan Yasin 

Ini kali pertama Raissuddin yang juga seorang penyanyi terkenal di era 1980-an berkongsi perasaanya dengan wartawan selepas 24 jam anak tercintanya kembali ke rahmahtullah.

Kembali mengingati detik memilukan itu, Raissuddin berkata, "Masih jelas di mata, Shuib datang ke bilik saya dengan senyum. Shuib duduk berlutut depan saya dan beritahu dia mahu ke hospital sambil berkata… Siti (Sarah) dah tak ada abah,” cerita Raissuddin.

"Seorang anak yang cukup baik, tak pernah bantah, tak pernah lawan cakap saya, ikut apa sahaja saya cakap… dia juga anak yang sangat manja,” kata Raissuddin (gambar bawah) dalam nada tersekat-sekat.




Sementara itu, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) berkata dia akan meneruskan hasrat arwah datang menemuinya empat bulan lalu untuk berbincang satu usaha sama perniagaan bagi dihadiahkan kepada ibu tiri yang sangat akrab dengan arwah.

"Kami ada buat dua tiga kali perjumpaan tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa ditangguhkan dan arwah memang sangat pemurah, cantik dan kaya. Setiap kali berjumpa, arwah akan bayar bil makanan kami yang kadangkala banyak dan mahal," katanya yang malu dan cemburu dengan pemergian arwah yang memang menjadi idaman setiap orang Islam.

"Dia sudah dapat syahid dunia dan akhirat. Ketika bersalin dan akibat wabak. Semoga Shuib bertabah dan awak sudah berjaya membimbing arwah menjadi wanita syurga dan sudah menunggu awak di sana," kata DSV.


DSV sedikit terkilan kerana projek usaha sama dengan arwah Siti Sarah tertangguh akibat PKP. Dan dia berjanji akan memenuhi amanah arwah untuk menggerakkan semua projek berkenaan.



Dalam pada itu, pendakwah terkenal, Ustazah Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dalam catatan dalam Facebooknya menulis: "Alangkah indahnya baktimu Duhai Siti Sarah sehinggakan pergimu kami tangisi dan doa tanpa henti. Dan betapa hati kami tersentuh dengan amalan solehmu."

Katanya, arwah seorang isteri dan ibu yang sangat solehah dan amalan indah arwah sangat memberi menginspirasikan wanita dan syahidnya adalah anugerah terindah daripada Allah.

"Ada kalanya sebagai Isteri dan Ibu kita rasa cukup penat namun kisahmu memberi semangat buat kami untuk menjadi yang lebih baik. 

"Di bahu mereka tergalas kewajipan yang sangat besar dan memerlukan mujahadah serta pengorbanan demi membahagiakan suami tercinta & anak-anak tersayang.Patutlah ganjaran dari Allah sungguh hebat buat Isteri solehah.

“Ya Allah, jadikanlah kubur Almarhumah Siti Sarah sebagai taman-taman Syurga. Kurniakanlah kekuatan dan kesabaran kepada Shuib Sepahtu dan jadikanlah anak-anak mereka Qurrata A’yun serta berjaya dunia dan akhirat “….آمِيْنُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن."

Sementara itu, 300 jamaah bersolat ghaib jenazah yang diadakan di Masjidil Haram di Mekah selepas solat zuhur pada 9 Ogos 2021. - KitaReporters


0
0
1
0
0
You will be interested