TAK ramai suka menyimpan duit syiling. Puncanya sebab ia akan memberatkan lagi dompet.
Namun bagi Idris Manap atau lebih dikenali sebagai Pak Deris, 77, dari Jalan Mata Ayer, Perlis pula, dia masih lagi menyimpan 'sekole' (sebekas) duit syiling yang dikeluarkan puluhan tahun dahulu.
Warga emas ini gembira apabila berpeluang menunjukkan pelbagai koleksi duit syilingnya yang kini sudah dianggapnya sebagai bahan sejarah.
Pak Deris memberitahu, syiling itu dikumpul semasa dia berniaga ikan di Kampung Pokok Petai, Mata Ayer sejak usia mudanya.
Katanya, daripada urusan perniagaan itu dia berkesempatan menyimpan duit syiling yang digunakan sebagai bayaran oleh para pelanggan.
Bagaimanapun Pak Deris hanya menyimpan syiling yang dilihatnya sebagai unik dan bakal menjadi sejarah. Atas sebab itu beliau tidak menukarnya di bank, sebaiknya disimpan sebagai koleksi peribadinya.
Antaranya, Pak Deris juga mempunyai syiling keluaran khas Bank Negara Malaysia (BNM) seperti Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Tuanku Ismail Nasiruddin Shah sebagai Yang Di Pertuan Agong Ke-4, Perdana Menteri Ke-3, Tun
Hussein Onn dan juga Rancangan Malaysia Ketiga 1976-1980.
Beliau mengakui tidak pernah membeli syiling khas keluaran BNM ini sebaliknya ia disimpan apabila ditemui semasa berurus
niaga dengan pelanggan.
Apa yang menarik ada syiling 50 sen Pak Deris yang bertarikh 1967 dan 1968. Bermakna syiling 50 sen yang dimilikinya ini sudahpun berusia 57 dan 58 tahun. Sekali gus syiling ini adalah yang paling lama yang masih ada dalam simpanan Pak Idris.
Tidak cukup itu, terdapat juga dalam simpanan syiling RM1 bertarikh 1971 dan 1980. Penulis difahamkan BNM telah
mengeluarkan syiling RM1 yang pertama pada tahun 1971.
Jadi ini bermakna Pak Deris masih menyimpan syiling RM1 keluaran pertama BNM pada tahun 1971 yang mana kini telah berusia 52 tahun.
Sekalipun syiling koleksi Pak Deris kini sudah bernilai tinggi dalam pasaran, beliau kekal enggan menjual sebaliknya akan terus disimpan untuk tatapan anak cucunya pada masa hadapan. - KitaReporters