Insan & Komuniti 16 Jul, 2024

Syabas Masjid Al-Hasanah, Siti Khadijah! Masak bubur Asyura! Agihkan kepada jemaah secara pandu lalu!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

AJK Masjid Al-Hasanah bergambar kenangan selepas memasak bubur Asyura.


BUBUR Asyura ialah makanan yang dibuat daripada pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharam iaitu pada Hari Asyura. 

Bubur ini mempunyai 10 jenis ramuan, dan setiap negeri, terutama di Semenanjung Malaysia, mempunyai bubur Asyura yang berlainan rasa dan ramuan. Hal ini disebabkan cara penyediaan dan ramuan memasak bubur Asyura itu berbeza.

Pembuatan bubur ini juga ada kaitan dengan cerita popular mengenai peristiwa Nabi Nuh diselamatkan daripada banjir besar, maka dibuatlah makanan daripada apa yang ada. Makanan yang dimasak itu ialah bubur. Lalu terbitlah satu makanan namanya bubur Asyura. 

Selebriti jemputan daripada pengeluar tudung, Siti Khadijah bergambar bersama AJK Masjid Al-Hasanah sempena program memasak bubur Asyura.


Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor tidak mahu melepaskan peluang memasak bubur Asyura apatah lagi dengan ketibaan bulan Muharam, selain mahu menghidupkan tradisi yang sudah diamalkan sejak turun temurun masyarakat Islam di negara ini.

Ketua Muslimah Masjid Al-Hasanah, Dr Norshidah Mohamad Ismail, berkata pihaknya memang ada perancangan untuk aktiviti memasak bubur Asyura dan kebetulan syarikat pengeluar tudung, Siti Khadijah datang untuk menawarkan diri bagi mengadakan kerjasama.

Beliau berkata, selepas beberapa perbincangan, Siti Khadijah bersetuju untuk menaja program memasak bubur Asyura termasuk menyediakan bahan-bahan untuk memasak selain sukarelawan mereka yang akan membantu AJK dan geng rewang Masjid Al-Hasanah. 

Dr Norshidah Mohamad Ismail


"Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada syarikat pengeluar tudung, Siti Khadijah yang sudi bekerjasama dan menaja keseluruhan kos memasak bubur Asyura selain sukarelawan mereka untuk membantu memasak dan mengagih-agihkan kepada jemaah.

"Kami memasak secara bergotong royong dengan bantuan 65 sukarelawan dari Masjid Hasanah dan Siti Khadijah. Kerja-kerja memotong bawang, ubi dan merebus kacang sudah bermula sehari lebih awal bagi memastikan bubur ini dapat disiapkan untuk diagihkan mengikut jadual. 

Geng rewang Masjid Al-Hasanah bergotong royong menyiapkan bahan mentah untuk memasak bubur Asyura.


"Kami bersetuju untuk memasak empat periuk bubur Asyura, setiap periuk boleh menghasilkan 200 pek dan keseluruhan sebanyak 800 pek untuk diagih-agihkan kepada jemaah yang datang bersolat secara pandu lalu," katanya pada Program Memasak Bubur Asyura, "Berkah Asyura" di Masjid Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Turut hadir, Setiausaha Masjid Al-Hasanah, Khalil Abd Jabar dan Penolong Setiausaha, Ustaz Mohd Helmy Salahuddin selain jemputan Siti Khadijah, antaranya Imam Muda Asyraf, Shamsul Ghau Ghau dan Dai Izhar bagi memeriahkan program itu. 

Gabungan sukarelawan Masjid Al-Hasanah dan Siti Khadijah menjadikan kerja-kerja menyiapkan bahan mentah untuk memasak bubur Asyura siap mengikut jadual.


"Saya anggap program memasak bubur Asyura ini istimewa kerana kami dapat menghidupkan tradisi turun temurun masyarakat Islam di negara ini, amalan bergotong royong atau rewang selain terharu dengan kesanggupan syarikat tudung, Siti Khadijah memberi kepercayaan kepada Masjid Hasanah.

"Masjid Al-Hasanah sentiasa mengalu-alu kerjasama dengan pihak luar terutama berkaitan aktiviti komuniti kerana kami mahu menjadikan masjid sebagai "one stop centre", bukan sahaja untuk aktiviti fardhu ain seperti kuliah agama tapi juga program kemasyarakatan termasuk memasak bubur Asyura.

"Untuk program kali ini, kami hanya dapat menyediakan 800 pek bubur Asyura kepada jemaah yang hadir ke Masjid Hasanah, jika ada yang tidak dapat, saya memohon kemaafan dan insya-Allah kami akan berusaha mengadakan aktiviti yang sama dan memasak lebih banyak bubur," katanya lagi.

Sukarelawan Masjid Al-Hasanah dan Siti Khadijah dalam proses terakhir memasak bubur Asyura untuk diagih-agihkan kepada jemaah.


Sementara itu, Pengarah Komersial Siti Khadijah, Mohammad Muhaimin Aminuddin, berkata ini adalah kali pertama pihaknya bekerjasama dengan Masjid Hasanah untuk aktiviti berkaitan komuniti dan ia juga bersempena ulang tahun ke-15 penubuhan syarikat pengeluar tudung terkenal itu.

Beliau berkata, "syarikat Siti Khadijah ditubuhkan di Bandar Baru Bangi, dan sewajarnya lokasi pemilihan juga dari kawasan di sini. Selepas beberapa perbincangan, kami bersetuju mengadakan kerjasama ini dan saya sangat berpuas hati kerana usaha kami untuk menyantuni masyarakat di sini berhasil." 

Mohammad Muhaimin Aminuddin.


Sukarelawan Siti Khadijah mengagih-agihkan bubur Asyura kepada jemaah Masjid Al-Hasanah secara pandu lalu.


"Selain menyambut kehadiran Maal Hijrah, pemilihan Masjid Al-Hasanah kerana kami mendapati ia antara rumah ibadat yang aktif mengadakan pelbagai aktiviti untuk faedah umat Islam selain memang popular dalam kalangan masyarakat tempatan dan jemaah dari luar.

"Kerjasama ini juga memberi peluang kepada kakitangan Siti Khadijah bergotong royong bersama sukarelawan Masjid Hasanah menyiapkan bahan-bahan mentah dan memasak bubur Asyura selain mengagih-agihkan kepada jemaah yang hadir secara pandu lalu.

"Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa kerana ia memberi banyak faedah terutama peluang menyantuni komuniti tempatan, gotong royong dan mewujudkan imej yang baik untuk produk kami selain menghargai sokongan pelanggan terhadap tudung Siti Khadijah sendiri," katanya lagi.  - KitaReporters

Penunggang motosikal turut mendapat agihan bubur Asyura yang diagih-agihkan secara pandu lalu.

10
9
0
8
0
You will be interested