Antara bekas pelajar SUNY yang turun padang menyahut cabaran daripada rakan-rakan dari pasukan universiti lain.
WALAUPUN berjaya dalam kehidupan selepas menceburi pelbagai bidang kerjaya profesional bukan sesuatu yang hendak dibanggakan sebaliknya rasa bersyukur dizahirkan oleh 60 bekas pelajar Kolej Pengajian Persediaan/Institut Teknologi MARA (KPP/ITM) Kumpulan SPM 1985 apabila dapat mengekalkan ukhuwah persahabatan terjalin lebih 38 tahun.
Kesibukan dengan tugas yang dipikul bukan alasan bagi bekas pelajar terbabit untuk berkumpul dua kali setahun menerusi pertandingan Golf Inter Program KPP/ITM SPM ’85 yang memasuki kali ke-13 diadakan bagi merebut Piala KPP.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pertandingan golf
60 bekas pelajar enam universiti luar negara merakamkan kenangan sebelum memulakan pertandingan golf merebut Piala KPP, pada 11 Februari 2023.
Ahli Jawatankuasa pertandingan itu, Nazarudin Che Salleh, berkata kemenangan bukanlah yang ditagih dalam pertandingan berkenaan sebaliknya lebih kepada untuk bertemu serta bertanya khabar di samping berkongsi maklumat terkini mengenai bidang kerjaya diceburi.
Menurutnya, hampir sebahagian besar daripada mereka sudah
berusia melebihi 55 tahun dan ada antaranya sudah berhenti kerja dengan agensi
kerajaan atau syarikat swasta apabila menumpukan perhatian kepada perniagaan
sendiri selepas menimba banyak pengalaman.
“Sambil bersantai bermain golf kami akan mengimbau kembali kenangan susah senang apabila menjadi antara kumpulan pelajar Malaysia dapat melanjutkan pengajian ke luar negara pada tahun akhir 80an yang jauh berbeza dengan keadaan sekarang.
“Walaupun berada bertahun-tahun lamanya meneruskan pengajian di negara asing kami saling bantu membantu dalam menyelesaikan masalah dan mengamalkan disiplin tinggi bagi menjaga nama baik negara khusus pihak penaja,” katanya yang ditemui pada program berkenaan di Kota Seriemas Golf & Country Club, Nilai Negeri Sembilan, pada 11 Februari 2023.
Aksi bekas pelajar apabila bertemu kawan lama tetap mesra walaupun jarang berjumpa.
Nazarudin berkata, dalam pertandingan ke-13 itu ia
membabitkan rakan pelajar yang mengikuti program pengajian di Universiti Indiana
(IU), University Texas (TEXAS), State University of New York (SUNY), Australian
Matriculation (AUSMAT, A-Level) dan University Perancis (FRENCH).
Jelasnya, pertandingan itu mendapat sambutan amat baik dan ahli jawatankuasa terbabit bercadang untuk menawarkan hadiah lebih menarik pada masa akan datang dengan berusaha mencari penaja di samping menjadi daya penarik kepada lebih ramai bekas pelajar menyertainya.
“Kami sentiasa berusaha menjadikan pertandingan ini sebagai
program terbaik mengukuhkan tali persahabatan walaupun berada di mana sekalipun
tetapi boleh mengambil cuti atau sebagainya untuk hadir bagi memeriahkan
program berkenaan.
“Ia juga secara tidak langsung menjadi contoh terbaik kepada anak-anak kami apabila ada antara mereka mendapat peluang sama meneruskan pengajian ke luar negara dan boleh mewujudkan jalinan persahabatan seperti ini pada masa akan datang,” katanya.
Pasukan bekas pelajar SUNY bersorak gembira meraih kejuaraan.
Seorang bekas pelajar SUNY yang ditemui, Alias Ahmad, berkata pertandingan berkenaan amat bermanfaat serta memberikan infak terbaik dalam mengukuhkan ukhuwah persaudaraan mereka selepas menempuhi pelbagai liku kehidupan di luar negara ketika menimba ilmu.
“Kejayaan kami hari ini adalah daripada usaha bersama yang saling bantu membantu ketika menuntut di SUNY dan kejayaan itu kini dikongsikan dengan sesiapa sahaja khusus dalam melakukan kerja amal kebajikan,” katanya.
Dalam pertandingan kali ke-13 itu pasukan bekas pelajar SUNY meraih tempat pertama dengan membawa pulang piala pusingan Piala KPP dan kedua dirangkul pasukan bekas pelajar TEXAS. - KitaReporters
Pasukan bekas pelajar TEXAS tetap berbangga berada di tempat kedua.