
Ketabahan dan kelangsungan kehidupan warga emas Mohd Che Hussin Che Rus, 63, menyentuh KitaReporters untuk memaparkan lakaran ceritanya apabila melihat ketabahan beliau menolak kerusi roda untuk makan di kedai berdekatan rumahnya itu.
Tidak semua perjuangan dilaung dengan kata-kata kerana ada yang memilih untuk terus melangkah dan melangkah dalam diam, dengan tabah dan sabar sebagai teman setia.
Itulah yang tercermin dalam kehidupan seorang warga emas dari Kampung Nyior Chabang, Langkawi ini yang menghidap penyakit buah pinggan dan menerima rawatan dialisis.
Bapa tunggal berusia 63 tahun ini saban pagi menolak sendiri kerusi roda manual sejauh hampir satu kilometer ke sebuah kedai makan berhampiran rumahnya semata-mata untuk menikmati sarapan dan meneruskan rutin harian.

Beliau turut menjalani rawatan dialisis secara berkala akibat masalah buah pinggang yang dihidapi.
Walaupun kesihatan semakin menyusut dan kudrat semakin terbatas beliau tetap gigih untuk berdikari tanpa menyusahkan sesiapa dengan meminta bantuan apatah lagi mengeluh tentang nasib yang menimpa.
Namun, ketabahan itu tidak terlepas daripada perhatian masyarakat sekeliling dan ada menyapa dengan berkata kenapa tidak naik kerusi roda dan hanya menolak.
Dengan senyuman dia menjawab, "siapa yang nak menolak kalau saya naik?"
Namun begitu beberapa penduduk dan rakan komuniti tersentuh melihat usaha beliau, lalu terpanggil suara untuk membantu dengan menyiarkannya tanpa pengetahuan dia dalam Facebook.
Ketabahan dan keprihatinannya turut mendapat perhatian daripada KitaReporters dengan menyiarkan berita ini dengan harapan ada pihak yang sudi menghadiahkannya sebuah kerusi roda elektrik nanti.
Bukanlah dia yang meminta tetapi ibarat cubit paha kiri, pahat kanan terasa sakit atau tanggungjawab kita untuk membantu menyebabkan berita ini disiarkan.
Moga dengan kerusi elektrik itu nanti memberi kelegaan besar dalam menjalani rutin harian, terutamanya ke pusat rawatan dan tempat makan nanti.

Sumbangan ini bukan semata-mata alat bantuan, tetapi simbol kasih sayang masyarakat terhadap seorang insan yang tidak pernah meminta, namun sangat layak dibantu.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan atau mengetahui lebih lanjut mengenai keperluan ini, anda boleh menghubungi Che Hussin secara terus melalui talian berikut 011-5360-6255.
Bersama kita ringankan beban, bersama kita hadiahkan harapan.
Moga usaha kecil yang disuarakan melalui KitaReporters ini dapat membuka ruang keprihatinan masyarakat dan menggerakkan lebih banyak hati untuk peduli. - KitaReporters