
TUNAS Kelana Tari dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kelana Jaya 1 muncul juara pertandingan tarian Pesona Tari sempena program Teroka Linkar 52 di Galeria SA Sentral, Shah Alam.

AKSI tersendiri Tunas Kelana Tari SK Kelana Jaya 1 yang berjaya menambat hati panel juri untuk memilihnya sebagai juara bahkan anugerah Busana Terbaik Pertandingan Tarian Pesona Tari.
BUKAN sekadar pameran promosi dan jualan hartanah bahkan Teroka Linkar 52 menjadi sebuah program interaktif yang cukup menarik seisi keluarga pada 24 Mei 2025 lalu di Galeria SA Sentral, Seksyen 14, Shah Alam, Selangor.
Majlis Pelancaran Teroka Linkar 52 diisi dengan acara-acara seperti Mendaki Tembok, Pesta Makanan Bertema Piknik, Jualan But Kereta, Trak Saji, aktiviti rekreasi, Eksplorasi SA Sentral, Zumba dan pertandingan tarian Pesona Tari.
Kumpulan Tunas Kelana Tari dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kelana Jaya 1 muncul juaranya sambil mengaut hadiah wang tunai RM500 setelah menewaskan enam lagi kumpulan peserta.
Kumpulan ini juga meraih bonus apabila dinobatkan sebagai pemenang Busana Terbaik yang merupakan anugerah tambahan berupa hamper atas budi bicara dan persetujuan pihak penganjur dan barisan juri.

NISKALA Tari dari SK Sri Kelana menerima hadiah naib juara daripada Adnan Mohd. Haron.

GAYA tarian menarik Niskala Tari dari SK Sri Kelana yang membolehkan mereka muncul naib juara.
Naib juara menjadi milik Niskala Tari dari SK Sri Kelana dengan RM350 manakala tempat ketiga dimenangi Ratna Andika dari SK Damansara Jaya (1) yang meraih sagu hati RM200.
Tiga lagi kumpulan iaitu Nazam Tari (Sekolah Menengah Kebangsaan Kelana Jaya), Tunas Niskala (SK Sri Kelana) dan Sahmura Jiwa (SK Serendah) pula diberikan sijil penyertaan digital.
Pemarkahan kemenangan oleh panel juri dibuat berdasarkan persembahan dan gaya persembahan serta mimik senyuman selain kesepakatan ahli kumpulan.
Kategori tarian yang dipertanding terdiri daripada zapin, inang, asli dan joget. Hadiah-hadiah kepada para pemenang disampaikan Timbalan Pengurus Besar Pembangunan SA Sentral, Tan Sri Adnan Mohd. Haron.

KUMPULAN

MAHMUD Abbas (tengah) memberikan isyarat bagus pada Majlis Pelancaran Linkar 52 pada 24 Mei 2025 di Galeria SA Sentral, Shah Alam.
Linkar 52 diperkenalkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam Teroka Linkar dengan majlis pelancarannya disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas.
Projek perumahan pangsapuri servis Linkar 52 terletak di lokasi strategik yang menggabungkan semua aspek hab komersial moden selari dengan kemudahan awam sekeliling seperti sekolah, institusi pengajian tinggi, pusat beli-belah dan hospital mahupun sistem pengangkutan dan perhubungan lebuh raya. - KitaReporters

SEBUAH lagi kumpulan peserta Pertandingan Tarian Pesona Tari yang tidak kurang menariknya dengan gaya tarian mereka.

KUMPULAN pelajar sebuah sekolah di Kelana Jaya tidak ketinggalan memperagakan bakat tarian tradisional mereka.