
Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa berlepas ke Nepal, membawa misi pendakian ke puncak tertinggi dunia, Gunung Everest menerusi Projek Pendakian Amal Bomba de Everest "Mencari Hati Emas” 2025.
Anggota Pasukan Khas Udara Bomba (PASKUB) di Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu menaiki penerbangan Malaysia Airlines (MAS) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 8.00 malam pada Isnin, 7 April 2025.
Mohd Fakhrul Munir kini dalam keadaan fizikal dan mental yang optimum setelah menjalani sesi latihan intensif selama 3 tahun di luar negara termasuk pendakian di Gunung Kinabalu.
Pada bulan Februari 2025 lepas, beliau berjaya menawan Gunung Kilimanjaro di Tanzania yang berketinggian 5,895 meter dari aras laut.
Pengalaman di Kilimanjaro juga telah membantu beliau menyesuaikan diri dengan ketinggian, terutama dari segi pernafasan, selera makan dan pola tidur.

“Setibanya di Kathmandu, Nepal, saya akan melakukan beberapa pendakian terlebih dahulu untuk membiasakan diri bagi mengelak Penyakit Ketinggian Akut atau Acute Mountain Sickness (AMS).
“Saya dijangka berada di Nepal selama dua bulan sebelum memulakan pendakian ke Gunung Everest dan akan menunggu cuaca terbaik serta kebenaran daripada Sherpa sebelum meneruskan pendakian ke puncak.
"Saya bersyukur kerana semua persiapan berjalan lancar. Latihan di Gunung Kinabalu dan pengalaman di luar negara banyak membantu saya menyesuaikan diri dengan pendakian altitud tinggi.
“Saya sudah bersedia dari segi fizikal dan mental untuk mendaki Gunung Everest. Ini masa terbaik untuk saya," kata Mohd Fakhrul Munir.
Projek Pendakian Amal Bomba de Everest ini bukan sekadar satu pencapaian peribadi tetapi juga bertujuan mengumpul dana bagi membantu anggota bomba yang tercedera atau terkorban sewaktu menjalankan tugas serta mereka yang masih dalam perkhidmatan.
Selain itu, projek pendakian amal ini juga bertujuan mengumpul dana untuk pembedahan dan rawatan transplantasi (buah pinggang) serta memberi kesedaran kepada masyarakat awam untuk menjadi penderma buah pinggang ,
Pendakian itu juga bertujuan mengumpul dana pendidikan untuk Yayasan Al Baghdadi.

Projek ini turut mendapat sokongan penuh daripada pengurusan tertinggi JBPM dan dianjurkan bersama Kelab Kembara Kosmopolitan, Gedung Penawar Sdn. Bhd., serta Kumpulan Al Baghdadi Group Sdn. Bhd.
Untuk mengumpul dana, Mohd Fakhrul Munir juga telah melancarkan jualan amal alat pemadam api (keluaran khas) satu kilogram berserta barangan kombo eksklusif seperti baju-T dan topi tahan lasak.
"Saya berharap rakyat Malaysia akan terus menyokong usaha ini. Setiap sumbangan akan memberi manfaat kepada anggota bomba yang berkorbandemi keselamatan negara. Bersama-sama, kita boleh membawa perubahan," katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media