Insan & Komuniti 09 Jun, 2025

Video| Cuti sekolah bermanfaat! 37 murid sertai bengkel jahitan, kraf! Masa terisi, ilmu pun dapat!

@rodly fadly
Memulakan kerjaya kewartawanan bersama Mingguan Perdana dan Harian Nasional pada 1983. Pada 1984-1991 menyertai Kumpulan Karangkraf sebagai Pengarang Arena Bolasepak dan Mingguan Sukan sebelum ke Berita Harian (1991-1997). Pemenang Anugerah Penulis Sukan Terbaik Malaysia 1986. Kini penulis bebas.

Share this

.



AGAK melucukan melihat gelagat anak-anak yang terkial-kial hendak memasukkan benang ke dalam lubang jarum jahitan. Jenuh ditenung dan dicuba berkali-kali. Tapi ternyata mereka tidak berputus asa, mencuba dan terus mencuba. Bila berjaya jelas terpancar kegembiraan pada wajah mereka.

Ternyata ia merupakan pengalaman baharu kepada kebanyakan anak itu kerana sebelum ini tidak pernah mendapat pendedahan sedemikian.

Itu adalah antara senario yang dapat disaksikan pada program Bengkel Jahitan dan Kraf Remaja yang berlangsung di Surau Jabal Nur, Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor pada Khamis, 5 Jun,2025.


ZAAIRAH AMALUDIN


Bengkel yang berlangsung dari 9 pagi sehingga 12 tengah hari itu dikendalikan oleh Zaairah Amaludin, dibantu oleh beberapa orang pembantu dan Muslimah surau.

Seramai 37 orang peserta terdiri daripada budak semuda 7 tahun sehingga remaja berusia 19 tahun mengambil bahagian Sambutan itu ternyata di luar jangkaan kerana sasaran sebenar penganjur adalah 30 orang sahaja.

“Ada yang datang secara ‘walk in’ pada saat akhir, tak sampai hati untuk menolak kerana mereka datang dengan harapan dan siap membawa alatan.

“Begitu juga soal had umur, sebenarnya ia terbuka kepada peserta berumur 7 hingga 15 tahun sahaja tapi bila ada remaja berumur 19 tahun turut berminat mengambil bahagian, kami terbuka menerimanya,” ujar Zaairah.


MASING-masing teruja semasa hendak memasukkan benang ke lubang jarum.


Ia adalah program yang disusun untuk mengisi ruang cuti sekolah penggal satu yang bermula 29 Mei, 2025 hingga 9 Jun, 2025, terutama kepada kanak-kanak yang tidak terbabit dengan aktiviti lain.

“Saya menganjurkan bengkel ini sebagai salah satu aktiviti cuti sekolah kepada anak-anak kita terutama yang tidak terbabit dengan apa-apa program. Daripada mereka leka dengan gajet, lebih baik kita dedahkan mereka dengan aktiviti sebegini.

“Selain masa mereka terisi, mereka juga akan mendapat pengetahuan dan kemahiran baharu yang boleh diaplikasi dalam kehidupan mereka.

“Contohnya, menerusi bengkel menjahit, mereka didedahkan dengan perkara asas seperti bagaimana cara memasukkan benang ke lubang jarum.


SEMUA tekun menyiapkan tugasan.


“Nampak ada yang kekok kerana ia adalah perkara baharu kepada mereka. Sebelum ini bukan saja mereka tidak pernah melakukannya malah pegang jarum dan benang pun tak pernah.

“Nampak keterujaan mereka bila berjaya memasukkan benang itu ke lubang jarum. Ia juga satu bentuk cabaran yang secara tidak langsung menguji serta membentuk kesabaran mereka,” ujar Zaairah.

Peserta juga diajar teknik menjahit butang baju dengan dibimbing oleh beberapa orang tenaga pengajar.

“Apa yang diajar adalah perkara asas tapi boleh dimanfaatkan oleh anak-anak itu di rumah. Contohnya, jika butang baju mereka tertanggal, mereka tidak perlu lagi meminta ibu mereka untuk menjahit sebaliknya boleh melakukan sendiri,” katanya.

Setiap peserta dikenakan yuran penyertaan RM20 dengan hanya perlu membawa gunting dan jarum sementara barangan lain disediakan penganjur.


AKTIVITI membuat kad meningkatkan kreativiti peserta.


Selain asas jahitan, peserta juga dibimbing untuk membuat kad ucapan dengan menggunakan bahan lebihan kain. Ia secara tidak langsung menguji daya kreativiti mereka.

“Aktiviti sebegini boleh menajamkan daya pemikiran serta kreativiti mereka. Pada masa sama, ia boleh dijadikan ruang untuk mereka meluahkan rasa sayang mereka kepada keluarga,” katanya.

Menurut Zaairah, kekangan masa menyebabkan mereka hanya sempat menjalankan dua aktiviti pada bengkel kali ini.

“Selalunya, kami turut membimbing peserta mengubah bunga daripada kain perca tapi tidak sempat kerana banyak masa digunakan semasa sesi menjahit terutama memasukkan benang ke lubang jarum,” katanya.


ZAAIRAH bersama sukarelawan yang membantunya pada Bengkel Jahitan Dan Kraf Remaja.


Zaairah yang mempunyai pengalaman dalam bidang jahitan berharap bengkel sebegini boleh turut dianjurkan oleh pihak sekolah sebagai salah satu aktiviti cuti sekolah.

“Ia aktiviti yang mudah tapi memberi manfaat kepada pelajar terutama dalam membina keyakinan diri, membentuk sifat berdikari dan menajamkan kreativiti mereka.

“Lebih penting, masa mereka tidak terbuang begitu saja sepanjang cuti sekolah.,” ujar Zaairah.


ZAKARIA ABDUL KARIM


Sementara  itu Setiausaha Surau Jabal Nur, Zakaria Abdul Karim memuji penganjuran bengkel itu. Beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menggunakan surau berkenaan bagi menganjurkan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. 

Menurutnya selain dapat mengimarahkan surau, ia juga secara tidak langsung  dapat menarik masyarakat setempat terutama golongan muda untuk ke rumah Allah itu. - KitaReporters


PESERTA Bengkel Jahitan dan Kraf Remaja gembira menunjukkan hasil kerja tangan mereka.

14
16
0
10
0
You will be interested