
IMPIAN penduduk Bandar Cassia, Batu Kawan, Pulau Pinang untuk memiliki sebuah masjid bagi memudahkan umat Islam beribadah akhirnya jadi kenyataan dengan berdirinya Masjid Ar-Rayyan.
Masjid yang sudah siap pembinaannya menerima
kunci daripada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, merangkap Exco Pembangunan
Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat, Dato’ Dr
Mohamad Abdul Hamid, pada satu acara ‘serah masjid’ pada Khamis, 20 Mac,
2025.
Rumah Allah yang dibina di atas sebidang tanah seluas empat ekar milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dan menelan belanja sebanyak RM10 juta itu dibuka untuk solat fardhu bermula solat subuh pada Sabtu, 22 Mac, 2025. Ia akan dibuka secara rasmi pada Jumaat, 28 Mac, 2025.

DR Mohamad Abdul Hamid menyerahkan replika kunci kepada Rosli Othman sebagai simbolik penyerahan Masjid Ar-Rayyan.
Menurut Pengerusi Masjid Ar-Rayyan, Rosli Othman, pembinaan masjid berkenaan sangat bertepatan masanya dengan kepesatan pembangunan di sekitar Batu Kawan serta pertambahan penduduk terutama di Bandar Cassia.
“Sebelum ini, kami terpaksa menumpang solat terutama untuk bersolat Jumaat di Surau Al-Falah di Halaman Seroja, salah satu surau yang dibenarkan untuk solat Jumaat. Satu lagi adalah Surau Al-Mustaqeem.
“Dengan kepadatan penduduk sedia ada serta pertambahan penduduk setiap tahun ekoran pembangunan pesat di kawasan ini, kedua-dua surau itu tidak mampu lagi menampung kehadiran jemaah.
“Dari situ, kami penduduk Cassia berasakan sudah sampai masanya sebuah masjid dibina di sini bagi mengatasi masalah berkenaan,” kata Rosli.

ROSLI OTHMAN
Pada 2018, Rosli menyiapkan kertas kerja cadangan pembinaan masjid dan bersyukur mendapat sokongan kerajaan pusat yang menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.5 juta sementara kerajaan negeri memperuntukan RM1.5 juta.
“Dengan peruntukan RM5 juta itu kami bercadang membina sebuah masjid kecil. Tapi, belum sempat projek dimulakan, Covid melanda menyebabkan ia tertangguh,” katanya.
Namun, di sebalik penangguhan itu, ternyata ada hikmah tersembunyi. Apabila gejala Covid sudah berlalu, timbul cadangan dalam kalangan jawatankuasa agar mereka membina masjid yang lebih besar dengan peruntukan RM10 juta.
“Alhamdulillah, cadangan ini diluluskan oleh majlis agama negeri dan kerajaan Pulau Pinang menambah peruntukan sebanyak RM2 juta lagi menjadikan RM3.5 juta.
“Pada masa sama Dana Wakaf Pulau Pinang pula menyumbangkan sebanyak RM600,000 sementara kutipan menerusi anak kariah berjaya mengumpul RM400,000 dan selebihnya RM2 juta disumbangkan oleh seorang individu yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Hamba Allah’
“Kami juga berjaya mengumpul sebanyak RM1 juta menerusi sumbangan orang awam di seluruh Malaysia yang kami manfaatkan untuk pemasangan CCTV (kamera litar tertutup), PA system (sistem siar raya), pagar dan lot parking tambahan,” ujar Rosli.

TABUNG Pembangunan Masjid Bandar Cassia dilancarkan sebagai usaha mencari dana untuk pembinaan Masjid Ar-Rayyan.
Kerja-kerja pembinaan dimulakan pada November 2023 dengan jangkaan siap pada 30 April, 2025 namun ia berjaya disiapkan lebih awal.
Masjid berkenaan yang mampu menampung seramai 2,000 jemaah turut dilengkapi bilik mesyuarat, bilik mandi jenazah, bilik akad nikah, bilik imam dan bilik VIP. Selain itu, ia mempunyai ruang parkir luas.
Dalam keadaan tertentu kawasan masjid juga dimanfaatkan untuk memasang khemah bila berlangsung sesuatu majlis dan dijadikan ruang solat tambahan jika berlaku kehadiran luar jangkaan.
Dengan berdirinya Masjid Ar-Rayyan, pelantikan Surau Al-Falah dan Surau Al-Mustaqeem sebagai surau solat Jumaat dimansuhkan yang mana mulai 28 Mac, 2025, semua jemaah akan bersolat Jumaat di masjid berkenaan.

BARISAN pentadbir Masjid Ar-Rayyan bergambar bersama Mohamad serta tetamu lain.
Rosli berkata, sebagai pengerusi, beliau akan memastikan setiap penduduk mendapat manfaat daripada pembinaan masjid itu.
“Saya mahu jadikan Masjid Ar-Rayyan bukan sekadar tempat untuk menunaikan solat tapi juga sebagai pusat ilmu, tempat berkumpul umat Islam untuk bersilaturahim dan sebagai medan mempertingkatkan amalan.
“Saya berharap seluruh masyarakat terutama ahli kariah untuk terus memanfaatkan masjid ini dengan sebaik-baiknya dengan memakmurkannya menerusi aktiviti keagamaan, pendidikan dan kebajikan yang dapat memberi manfaat kepada semua.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan dan negeri, ahli kariah serta orang ramai yang menjadikan pembinaan masjid ini sebagai realiti. Hanya Allah membalas segala kebaikan mereka,” kata Rosli lagi.

BARISAN pentadbir Masjid Ar-Rayyan.
Namun menurutnya, tabung untuk orang ramai menginfaq terus dibuka bagi tujuan melengkapkan kemudahan asas masjid seperti perabot dan beberapa peralatan serta bagi menjalankan pelbagai aktiviti.
Orang ramai yang mahu memberi sumbangan boleh menyalurkan menerusi nombor akaun Maybank 5572 2312 9910. -KitaReporters

SUMBANGAN boleh disalurkan menerusi sistem kod QR.