Insan & Komuniti 11 Oct, 2025

Video| Lain macam selera! Makan sukun macam aiskrim! Makan aiskrim dengan Ajinomoto! Mana sedap?

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this

Dua trend makanan luar biasa menjadi tular dalam media sosial apabila masing-masing memaparkan cara menikmati makanan yang tidak pernah terlintas dalam fikiran iaitu buah sukun dimakan seperti aiskrim dan aiskrim digandingkan dengan serbuk perasa Ajinomoto.


Dalam satu video yang meraih lebih enam juta tontonan dalam TikTok, seorang lelaki menarik perhatian ramai selepas menikmati buah sukun masak ranum tanpa digoreng, seolah-olah menikmati aiskrim lembut. 

Lazimnya, buah sukun muda digoreng bersama bancuhan tepung seperti pisang goreng, namun lelaki berkenaan memilih untuk menikmatinya begitu sahaja, lembut, manis dan berlemak.

Disebabkan pelbagai perdebatan dalam ruangan komen, lelaki tersebut tampil memberi penjelasan mengenai rasa sebenar buah berkenaan.



“Memang rasa sukun seperti itu. Gara-gara sukun ini, ramai yang berdebat dan memberi pelbagai komen dalam video saya sebelum ini. Jadi, biar saya jelaskan bagaimana rasa sukun sebenarnya.

“Sukun boleh mencapai tahap ranum dan tidak keras. Biasanya yang muda digoreng, tetapi kalau sudah masak ranum, boleh dimakan begitu sahaja. Ya, namanya pun buah, pasti boleh masak.

“Buah yang saya pegang ini sangat lembut. Saya peram hanya satu hari bersama pisang kerana ia mengeluarkan gas etilena yang membantu proses pemeraman. Ini salah satu petua kalau mahu sukun cepat masak.



“Wanginya seakan jambu batu dan sirsak (nangka belanda). Teksturnya pula seperti avocado dan aiskrim. Rasanya manis, lembut dan ada sedikit rasa seperti durian walaupun tiada aroma durian,” jelasnya lagi sambil meminta netizen berhenti bertengkar sama ada sukun boleh dimakan begitu atau tidak.



Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna terkejut dengan cara unik itu. 

“Siapa baru tahu sukun boleh masak macam ni?” tulis seorang netizen.

Namun, ada juga yang menolak idea tersebut. “Tak sedap kalau makan begitu, lebih baik buat kerepek,” kata seorang lagi.



Sementara itu, satu lagi trend makanan pelik turut mencetuskan perbincangan hangat apabila seorang wanita menikmati aiskrim bersama serbuk Ajinomoto.

 Video yang dimuat naik oleh pengguna @nanakoot dengan kapsyen “Es Krim + Micin = Resep Dr. Tirta,” telah meraih lebih 831,800 tontonan.



Tindakan wanita itu menabur Ajinomoto di atas aiskrim menimbulkan pelbagai reaksi.

“Nak cuba tapi takut jadi makin lembab,” tulis seorang netizen secara berseloroh.

“Ajinomoto tu lebih selamat daripada perasa tiruan lain, tapi kalau campur aiskrim, pelik juga,” komen yang lain.  

Namun, beberapa orang netizen mempertahan eksperimen itu dengan alasan bahawa MSG (monosodium glutamat) berfungsi menambah rasa ‘umami’ dan menguatkan cita rasa sesuatu makanan, termasuk pencuci mulut. 



Apapun pandangan orang ramai, dua trend ini membuktikan bahawa selera dan kreativiti manusia dalam dunia makanan sememangnya tiada batasan. 

Sama ada buah sukun yang dinikmati seperti aiskrim atau ais krim berperisa Ajinomoto, kedua-duanya menjadi bukti bahawa orang masa kini semakin berani mencuba gabungan rasa yang tidak dijangka. - KitaReporters



7
8
0
12
0
You will be interested