Insan & Komuniti 14 Nov, 2025

Video| Bangkit Semula! Sejarah perjuangan Yayasan Anda Akademik! Didik anak Melayu jadi manusia!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

"Saya berasal dari Kampung Budu, Kuala Lipis, Pahang dan mempunyai adik beradik yang ramai tapi kesusahan hidup tidak pernah memadamkan cita-cita saya untuk keluar dari kepompong kemiskinan dan mengubah nasib keluarga.



"Kehidupan kanak-kanak dan remaja, saya menghabiskan rutin membantu ibu bapa di sawah padi, menoreh getah, mencari kayu api dan mengangkut air sungai untuk memasak.

"Tapi dalam diam-diam, saya menyimpan impian besar melanjutkan pelajaran ke universiti dan memegang jawatan penting  suatu hari nanti," kata Pengerusi Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM), Datuk Dr Suhaimi Ibrahim ketika ditemui selepas pelancaran buku, "Bangkit Semula" di Universiti Selangor (UNISEL) Shah Alam, Selangor.  

Turut hadir, Editor buku "Bangkit Semula" merangkap Naib Presiden & Timbalan Naib Canselor (Akademik, Penyelidikan dan Jaringan Industri) UNISEL, Prof Dr. Sidin Ahmad Ishak; mantan Pengarah Akademi Pengajian Melayu UM, Prof Emeritus Mokhtar Abu Hassan; dan mantan guru, penyair, pelukis, deklamator puisi dan Penerima SEA Write Award Tahun 2005, Abdul Ghafar Ibrahim (AGI). 



Buku diterbitkan PAYAAM, Yayasan Penataran Ilmu (YPI) dan UNISEL Press itu menghimpunkan kisah perjuangan, pengalaman dan idealisme  

Yayasan Anda Akademik (YAA) yang ditubuhkan pada 1971 oleh tokoh belia dan mahasiswa ketika itu, Anwar Ibrahim (sekarang Perdana Menteri) bersama ahli perniagaan, Daud Seman.

Ia atas keprihatinan terhadap nasib anak bangsa yang tercicir dalam peperiksaan MCE, SPM dan gagal melanjutkan pengajian ke tingkatan enam. 

Beroperasi di Jalan Hamzah dan Jalan Stony, Kampong Bharu, Kuala Lumpur, YAA menonjol sebagai pusat pendidikan bukan berorientasikan keuntungan tapi lebih kepada semangat sukarelawan. 

Hampir tiga dekad operasinya, lebih 100,000 pelajar menuntut di YAA melalui program konvensional dan sistem pembelajaran Gaya Pos, membabitkan pelajar dari seluruh Malaysia. 

Ramai daripada mereka kini menjadi pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan dan profesional berjaya. 


Datuk Suhaimi Ibrahim


Dr Suhaimi berkata, perjalanan ke menara ilmu bermula secara tidak sengaja pada tahun 1976 sewaktu menuntut di Sekolah Menengah Clifford, Kuala Lipis. 

Ketika di perpustakaan sekolah, beliau terbaca kisah pembebasan Anwar Ibrahim dari tahanan Kamunting dalam majalah Mastika. Laporan itu turut menceritakan perjuangan tokoh itu menubuhkan Yayasan Anda Akademik (YAA).

“Ketokohan Cikgu Anwar (Anwar Ibrahim) benar-benar memberi inspirasi kepada saya. Dari saat itu, saya berazam bertemu dan berguru dengan insan hebat itu,” katanya.

Selepas tamat SPM, beliau bekerja sebagai buruh dan caddy di Bukit Fraser. Namun semangat untuk menyambung pelajaran tidak pernah padam. 

Apabila gagal menyambung pengajian ke tingkatan enam di Clifford, beliau teringat kembali kisah YAA yang dibacanya dalam Mastika.


Inilah sebahagian daripada 42 penulis memoir dan enam penulis puisi yang terbabit dalam buku, Bangkit Semula.


Berbekalkan sedikit wang hasil kerja dan bantuan adik-beradik, beliau ke Kuala Lumpur untuk memohon kemasukan ke YAA. Namun, tempat telah penuh. “Saya kecewa, tetapi tidak berputus asa,” katanya.

Suhaimi kemudian mengikuti pengajian jarak jauh Gayapos Yayasan Anda sebelum sekali lagi memohon ke YAA pada tahun berikutnya. Kali ini, takdir mempertemunya dengan insan yang selama ini dikagumi, Anwar Ibrahim!

“Cikgu Anwar menepuk bahu saya dan berjanji akan mempertimbangkan rayuan saya. Tidak lama kemudian, saya menerima berita gembira diterima masuk ke tingkatan enam atas di YAA pada tahun 1978,” katanya kesyukuran.

YAA, menurutnya, bukan sekadar pusat pendidikan akademik tetapi madrasah pembentukan insan. Pelajar lelaki dan perempuan diasingkan, diwajibkan berpakaian menutup aurat serta bergilir mencuci tandas sebagai latihan membentuk disiplin dan kebersihan diri.

“Di YAA, kami bukan sekadar belajar, tetapi dididik menjadi insan berakhlak dan berjiwa dakwah. Nilai Islam menjadi asas dalam setiap perkara,” katanya lagi.


Buku diterbitkan PAYAAM, Yayasan Penataran Ilmu (YPI) dan Unisel Press itu menghimpunkan kisah perjuangan, pengalaman dan idealisme Yayasan Anda Akademik 


Lebih istimewa, kedudukan pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan World Assembly of Muslim Youth (WAMY) di bangunan sama membolehkan mereka berinteraksi dengan tokoh-tokoh Islam antarabangsa seperti Prof Dr Ismail al-Faruqi, Prof Dr Yusof al-Qaradawi dan Prof Dr Syed Hussein al-Attas.

Antara kenangan yang kekal di ingatannya ialah ketika Cikgu Anwar memintanya menyediakan sarapan pagi iaitu susu panas dan telur separuh masak. Ia dilakukan setiap kali sebelum kelas bermula. 

“Saya anggap itu satu penghormatan dan tanda kepercayaan seorang guru kepada anak muridnya,” katanya tersenyum.

Selepas menamatkan pengajian di YAA, Suhaimi diterima masuk ke Universiti Malaya (UM) pada tahun 1979 dalam Fakulti Sastera dan Sains Sosial. 

Di kampus, beliau aktif dalam gerakan mahasiswa, mengetuai Persatuan Mahasiswa Islam, Persatuan Bahasa Melayu, serta Persatuan Antropologi dan Sosiologi.

“Cikgu Anwar banyak memberi bimbingan dan nasihat supaya kami aktif dalam gerakan belia dan masyarakat. Saya selalu merujuk kepadanya sebelum membuat keputusan dalam persatuan,” ujarnya.


Penulis-penulis buku, Bangkit Semula datang daripada pelbagai latar belakang dan negara termasuk Malaysia, Sabah, Brunei dan Indonesia.


Beliau turut mengajar secara sukarela di YAA untuk pelajar tingkatan enam dan menganjurkan pelbagai program ilmiah termasuk Seminar Antarabangsa Islam dan Sains Sosial, yang menghimpunkan tokoh akademik dari dalam dan luar negara. 

Setelah menamatkan pengajian, Suhaimi bekerja di Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) sebelum dipelawa Anwar sebagai Pegawai Kemajuan Masyarakat (KEMAS). 

Dari situ, Anwar melantiknya sebagai Pengarah KEMAS Pulau Pinang dan Pahang, sebelum dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri Benta pada tahun 1995.

"Walaupun sudah berjaya, saya tidak pernah lupa akar perjuangan di Kampung Budu, guru-guru di YAA terutama Cikgu Anwar. 

"Yayasan Anda membentuk akhlak, disiplin dan semangat perjuangan. Saya ingin melihat semangat itu terus hidup dalam jiwa generasi muda,” katanya.


Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Mustaffa Kamil Ayub (kanan) pernah menjadi guru Matematik di YAA, manakala mantan Pengarang Berita, Harian Metro, Adam Salleh (dua dari kiri) pernah belajar di YAA.


Sementara itu, bagi Dr Sidin, buku Bangkit Semula bukan sekadar naskhah memoir, sebaliknya catatan sejarah panjang yang memuatkan kisah perjuangan, pengorbanan dan semangat pelajar-pelajar Yayasan Anda Akademik (YAA) dalam memperjuang pendidikan anak bangsa.

Beliau berkata, penerbitan buku itu merupakan projek panjang yang memakan masa hampir satu tahun tujuh bulan untuk disiapkan, hasil kerjasama erat antaranya dan PAYAAM.

“Dalam perjumpaan dengan AJK PAYAAM, saya mencadangkan buku ini diterbitkan dalam bentuk memoir yang bersifat sejarah dan lebih autentik. 

"Sebelum ini sudah ada penulisan YAA tetapi ditulis orang luar. Kali ini, biarlah mereka yang pernah berada di situ dan merasai sendiri suasana YAA menulis kisah mereka. 

"Walaupun bersifat memoir, buku Bangkit Semula mempunyai nilai sejarah tinggi kerana setiap tulisan berdasarkan pengalaman sebenar dan fakta yang tepat.

“Ia bukan sekadar catatan nostalgia, tetapi dokumentasi sejarah. Ia menjadi rujukan penting untuk generasi akan datang kerana apa yang diceritakan adalah peristiwa benar, bukan tokok tambah,” katanya.


Dr Sidin Ahmad Ishak


Beliau mengakui proses penyuntingan buku tersebut agak mencabar kerana sebahagian besar penulis sudah lama meninggalkan dunia penulisan. 

Namun, katanya, yang lebih utama ialah kejujuran dan keikhlasan setiap penulis dalam berkongsi kisah hidup mereka.

“Buku ini penuh pengajaran dan refleksi. Ia menceritakan perjuangan pelajar dari keluarga miskin yang hampir berputus asa selepas gagal dalam SPM, tetapi YAA memberi mereka peluang kedua untuk bangkit, bukan sekadar akademik malah pembentukan akhlak, agama dan kekeluargaan,” katanya.

"Menariknya, penulis-penulis Bangkit Semula datang daripada pelbagai latar belakang dan negara termasuk Malaysia, Sabah, Brunei dan Indonesia.

“Mereka menulis berdasarkan kaca mata dan pengalaman sendiri. Kami tidak mengarahkan apa yang perlu ditulis. 

"Itulah keindahan buku ini, ia jujur dan asli,” katanya sambil menambah proses pengumpulan bahan turut dibantu AJK PAYAAM termasuk Dzaireen sebagai penyelaras komunikasi dengan penulis.


Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2005, Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) menghasilkan puisi bertajuk "Kepada Anwar Ibrahim".


Sebagai editor berpengalaman, beliau turut meneliti setiap fakta agar tidak berlaku kekeliruan sejarah.

“Ada penulis yang menyebut kononnya YAA ditubuhkan hasil gabungan nama Anwar dan Daud Seman. Itu tidak benar. Perkara ini telah dijelaskan kawan baik Anwar sebelum ini. 

"Saya perlu memastikan fakta sebegitu dibetulkan supaya tidak menjadi kekeliruan kepada generasi akan datang,” katanya.

Berkongsi kenangan peribadi, Dr Sidin mengakui hubungannya dengan YAA bermula sejak tahun 1982 ketika masih mahasiswa tahun dua Universiti Malaya. 

Beliau menjalani latihan amali di YAA kerana yayasan itu menerbitkan majalah seperti Diskusi dan Panji Masyarakat.

Selepas menamatkan pengajian di Amerika Syarikat dalam bidang kewartawanan, beliau terus aktif dalam dunia akademik dan pernah kembali mengajar di YAA walaupun ketika itu sudah berkhidmat di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya (UM).

"Pengalaman di YAA bukan saja dalam penulisan, malah memperkukuh kefahaman perjuangan Islam dan ukhuwah sesama pelajar. 

"Suasana ukhuwah di YAA amat baik, kami berpeluang mengenali ramai tokoh dunia Islam seperti Prof Dr Yusuf al-Qaradawi dan pemimpin gerakan Islam dari pelbagai negara. Itu pengalaman berharga yang tidak mungkin saya lupakan,” katanya.

"Saya berharap buku Bangkit Semula dijadikan bahan bacaan generasi muda agar memahami nilai perjuangan, pengorbanan dan semangat kebangkitan pendidikan bangsa.

“Generasi hari ini perlu tahu bahawa pendidikan Melayu yang mereka nikmati hari ini dibina dengan air mata, kesungguhan dan cita-cita besar mereka yang pernah berada di Yayasan Anda,” katanya lagi. - KitaReporters

12
12
0
7
0
You will be interested