Insan & Komuniti 03 Aug, 2025

Jual kuih! Jual burger! Modal 20 sen juga bawa tuah! Kini Zolkifly ada 5 Dewan Bersalin Muslimah!

@nazar hashim
Emel: nazarhashim10@gmail.com

Share this

Bak kata pepatah, tuah ayam nampak pada kaki, tapi tuah manusia siapa yang tahu? Begìtu jualah dengan nasib Presiden Dewan Bersalin Muslimah (DBM) Medical Group, Zolkifly Md Lazim, yang terpaksa menempuh pelbagai kesulitan, kesukaran, kepayahan sejak zaman kanak- kanak sebelum beroleh kejayaan kini. Hari ini, beliau mempunyai 5 cawangan hospital bersalin itu. - KitaReporters



Zolkifly Md Lazim.

Bak kata pepatah, tuah ayam nampak pada kaki, tapi tuah manusia siapa yang tahu?

Begìtu jualah dengan nasib Presiden Dewan Bersalin Muslimah (DBM) Medical Group, Zolkifly Md Lazim, yang terpaksa menempuh pelbagai kesulitan, kesukaran, kepayahan sejak zaman kanak- kanak sebelum beroleh kejayaan kini.

"Dulu kita didodoikan dengan kisah filem Labu-Labi, Ahmad Albab, Indiana Jones, National Treasure juga filem Indonesia dan Hollywood dengan cerita magik dan angan-angan terjumpa harta karun.

"Semasa zaman kanak-kanak sehinggalah remaja saya didendangkan dengan kisah kejayaan dan jadi kaya-raya yang tidak realistik, ajaib, dongeng, khurafat, ibu duit, suku duit (25 sen), seringgit suku, lima ringgit suku, sepuluh ringgit suku dan semua ini tidak boleh dibundarkan jadi genap.

"Kita dipertonton dengan ritual 'menurun' mencari 'ibu duit' untuk berjaya, 'telaga emas' di Pulau Aman yang dipercayai ada tempayan emas bersama upacara ritual dan mentera tertentu sebagai cara untuk mendapat kekayaan," cerita Zolkifly mengenang zaman silam sebelum berjaya.

Katanya lagi, akan ada pula orang yang menyusun atur kehendak ritual seperti garam, kain putih, ayam golek, wang syiling lama dan pengeras.


Memori nostalgia Zolkifly semasa remaja tanpa mengenal penat dan lelah.

Zolkifly tetap berusaha sehingga berjaya mempunyai 5 cawangan burger semasa usianya remaja.

Realitinya ujar beliau, ia terdedah dengan cerita kekayaan dan kejayaan sejak zaman sekolah rendah lagi dan ini semua berkait rapat dalam kehidupan yang putarannya sama. Saling memerlukan bagi mencapai niat dan hasrat yang dicitakan.

Zaman kecil beliau juga penuh dengan kesusahan dan kesulitan. Setiap pagi selepas subuh, akan membawa raga yang penuh dengan kuih karipap, onde-onde (ada yang panggil buah peluru) yang dibuat oleh ibunya dibawa ke sekolah untuk dijual.

"Jarak sekolah dengan rumah di Pulau Betong, Balik Pulau, sejauh 5 kilometer dan terpaksa tukar 2 kali bas ke sekolah dan setiap hari dapat jimat 20 sen yang disimpan di pejabat pos.

"Dulu untuk simpan duit kena beli setem di pejabat pos dan tampal di atas buku yang diberikan oleh pejabat pos. Bila dah penuh dengan setem boleh tukar dengan wang tunai (dari syiling ke wang kertas).

"Terpaksa berdikari awal usia kerana kematian bapa. Pada tahun 1982 pula saya mula cuba berjinak dengan perniagaan dan menjual burger.

"Alhamdulillah perlahan-lahan telah berjaya mempunyai 5 gerai burger bersama 10 pekerja," terang beliau yang juga merupakan Pengasas NGO, Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful (IKUT).


Zolkifly di premis milik beliau, Hospital DBM di Permatang Pauh, Pulau Pinang. 


Dr Rosnah Abu Hassan yang juga isteri kepada Zolkifly senantiasa mendokong patuh syariah dalam setiap rawatan terhadap pesakit dan pelanggan di semua cawangan Hospital DBM.


Menceritakan pengalaman mula beliau pada usia awal 20-an, ialah berniaga kertas kerja dan menjadi juruperunding kepada peniaga kecil yang ingin mendapatkan modal bank.

Usaha bersungguh-sungguh beliau terbukti berhasil setelah berjaya mendapat 4 klien dengan caj RM250 seorang. 

Bermula setapak demi setapak, beliau berusaha lagi termasuklah cuba menjadi pemaju atas sebidang tanah di Kedah. Namun tidak dapat diteruskan  kerana kesukaran modal.

"Kemudian dalam keadaan tidak ada modal tetapi mempunyai idea dan perancangan, berusaha lagi walaupun hanya mempunyai kertas kerja membuka hospital bersalin.

"Saya seluk poket seluar, Allah cuma ada syiling 20 sen sahaja pada ketika itu. Oleh kerana semangat yang berkobar-kobar saya tekad niat dan ke pondok telefon di kampung saya di Pulau Betong. 

"Tanpa segan silu saya cuba menelefon seorang Dato CEO bank yang diperkenal oleh seorang guru pencen serta ustaz sekolah sebelum ini.

"Alhamdulillah saya dengan ustaz sekolah dapat temu janji untuk bertemu dengan CEO bank dan berjaya serahkan kepada beliau kertas kerja setebal 30 helai bertajuk 'Hospital Bersalin Muslimah' dan merayu bersungguh-sungguh untuk mulakan hospital bersalin ini," ujar Zolkifly semasa ditemui.


Telefon awam sebegini memang meninggalkan nostalgia lebih-lebih lagi di kampung-kampung.

Tidak lama selepas itu tambah beliau, pihak bank cawangan Bayan Baru ingin melawat tapak hospital yang dicadangkan dan akhirnya berjaya mendapat pinjaman sehinggalah wujudnya 5 cawangan hospital bersalin yang dikenali sebagai 'Dewan Bersalin Muslimah' kini.

Bermula dari situlah kata beliau, 3 generasi pelanggan terdiri dari nenek, anak dan cucu masih lagi setia bersalin di DBM. 

Setakat ini, tegas Zolkifly hampir 90 ribu pelanggan yang terdiri dari ibu mengandung telah mendapat khidmat bersalin di DBM sejak beroperasi pada tahun 1996 hingga kini.

Mengakhiri pertemuan Zolkifly berharap dapat membuka lebih banyak cawangan DBM di samping memberi khidmat patuh syariah kepada semua umat Islam, ibu mengandung dan para pelanggan. - KitaReporters


Zolkifly bersama isteri, Dr Rosnah (tiga dari kiri) dan anak-anak.

Pengurusan dan staf DBM Medical Group bergambar beramai-ramai.

18
8
0
8
0
You will be interested