Insan & Komuniti 23 Sep, 2025

Nak gi noreh atau pasar sehari! Nat Pokok Getah memang unik, menarik! Jual beli dalam ladang getah!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

PASAR sehari dalam kebun getah? Macam hendak pergi menoreh pula untuk ke pasar. Memang unik kerana biasanya pasar atau pekan sehari diadakan dalam kawasan kampung atau pekan.


Orang ramai berpusu memenuhi 'Nat Pokok Getah', pasar pagi dalam kebun getah di Arau, Perlis.


Sebahagian pengunjung 'Nat Pokok Getah' menghidupkan  suasana pasar tersebut setiap Jumaat dan Ahad.


Pasar di dalam kebun getah ini hanya ada di Arau, Perlis, dikenali sebagai ‘Nat Pokok Getah’. Nat dalam loghat Perlis dan Kedah bermaksud pasar sehari. Jadi maksud keseluruhan ialah 'Pasar Sehari Pokok Getah'.

Pasar ini beroperasi pada setiap hari Jumaat dan Ahad mulai pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari. 

Pada hari Ahad susana lebih meriah. Maklum cuti hari minggu lebih ramai bertumpu mencari barang keperluan.

Mengunjung pasar ini membolehkan pengunjung merasai suasana nyaman dengan aura tradisional, menonjolkan keunikan budaya tempatan. Dipayungi pula oleh pokok getah menahan terjahan panas matahari.

‘Nat Pokok Getah’ bukan sahaja terkenal dalam kalangan penduduk Perlis, tetapi juga sering jadi tumpuan pelancong luar. Mereka ingin lihat sendiri operasi pasar ini dalam lambaian pokok getah yang menghijau.


Pakaian dan aksesori seperti kasut dan selipar ada dijual di 'Nat Pokok Getah'.


Enaknnya pisang beerangan! Pisang antara buah-buahan dijual di 'Nat Pokot Getah'. Tidak ketinggalan petai, ulam kegemaran ramai.


Pelbagai barang dijual di pasar ini, merangkumi produk hasil pertanian seperti buah-buahan tempatan dan sayur-sayuran, makanan tradisional yang sukar dijumpai di tempat lain, pakaian, barangan antik, hasil laut, barang keperluan harian serta barang permainan kanak-kanak.

Kenapa pasar ini menarik dan dikunjungi ramai? Ini kerana ia memberi peluang kepada pengunjung menikmati suasana kampung yang nyaman dan santai sambil membeli belah dalam persekitaran kebun getah.


Sayur-sayuran segar sedia menanti pengunjung 'Nat Pokok Getah'.


Walaupun beroperasi dalam kebun getah, ‘Nat Pokok Getah’ tidak terlalu jauh ke kawasan pedalaman kebun getah. Lokasinya berhampiran jalan di kawasan Pauh, Kampung Hutan, Arau, Perlis.

Mengalamai suasana pasar dalam kebun getah menjanjikan pengalaman berbeza. Tiupan bayu pagi serta pokok getah memayungi pengunjung dan daunnya melambai-lambai menyajikan kedamaian. Juga pengunjung tidak berasa panas ketika membeli belah.

Disebabkan keunikan lokasi dan produk ditawarkan menjadikan ‘Nat Pokok Getah’ tarikan pelancong. Pelancong luar yang datang ke Perlis biasanya tidak melepaskan peluang ke pasar ini untuk melawat dan membeli barang keperluan.  


Kuih talam pelbagai jenis dan citarasa antara kuih tradisional didapati di 'Nat Pokok Getah'. Pilih mana yang berkenan dengan selera.


Barang permainan kanak-kanak turut dijual di 'Nat Pokok Getah' sebegai pilihan kanak-kanak yang datang bersama ibu bapa.


Di pasar ini, makanan tempatan seperti kuih muih tradisional, laksa Perlis, nasi lemak dan pelbagai jenis makanan goreng banyak didapati memenuhi cita rasa penunjung.  Memang sesuai untuk sarapan pagi yang enak.

Jika mencari hasil pertanian, ada banyak boleh dipilih. Antaranya pelbagai jenis buah-buahan tempatan, sayur-sayuran dan pokok bunga. Peminat makanan laut juga tidak dilupa, ada ikan, ketam, udang dan sebagainya.

Kepada yang mencari pakaian dewasa lelaki dan perempuan, atau untuk kanak-kanak, pakaian baharu dan terpakai ada untuk pilihan. Yang minat berkebun, keperluan berkebun semua ada  seperti benih, baja dan peralatan berkebun.


Pakaian seperti seluar dan baju terpakai atau baharu untuk lelaki dan perempuan serta kanak-kanak banyak dijual di 'Nat Pokok Getah'.


Peminat barang antik pasti seronok jika berkunjung ke ‘Nat Pokok Getah’. Pelbagai jenis barangan lama ada dijual di bahagian ‘pasar karat’ sepeti senjata lama, periuk belanga lama dan sebagainya. Memang sesuai untuk pengumpul barang lama dan bersejarah.

Pendek kata pelbagai barang yang memenuhi citarasa pengunjung ada di ‘Nat Pokok Getah’. 

Oleh itu jika berkunjung ke Perlis jadikan pasar tersebut lokasi mesti lawat. Rasailah keseronokan membeli belah dalam suasana kampung sambil menghayati budaya pasar tradisional.

Waktu terbaik dicadang untuk berkunjung ke pasar ialah antara pukul 7 pagi hingga 9 pagi. Ini kerana ketika itu cuaca belum panas sangat.

Tempat letak kereta ada disediakan. Tetapi lebih baik datang awal untuk elak kesesakan serta memastikan memperoleh pilihan barang terbaik. - KitaReporters


Periuk belanga dan senjata lama antara barang antik yang dijual di 'Nat Pokok Getah'.

 

 

 

 

 

7
15
0
8
0
You will be interested