PASTI ramai antara kita yang pernah berkunjung ke Zoo Negara, Hulu Klang, Selangor,
untuk bersantai bersama keluarga terutama pada hujung minggu dan hari cuti.
Tetapi mungkin ramai pula antara pengunjung merungut harga tiket mahal. Tentu lebih terasa jika ramai yang datang bersama.

Zoo Negara di Hulu Klang, Selanor beroperasi sejak 1963. Jumlah pengunjung kini dianggar satu juta setahun.
Rungutan seperti ini tidak harus terdetik dalam hati. Atau cuba membandingkan dengan harga tiket beberapa dekad lalu.
Masa
berubah, kos kehidupan meningkat, nilai mata wang juga berubah. Justeru harga tiket
pun berubah. Harga pada tahun 60-an tidak boleh dibandingkan dengan sekarang.
Harga tiket
Zoo Negara kini dalam lingkungan RM48 bagi rakyat Malaysia dewasa (13 tahun
dan ke atas), RM21 untuk kanak-kanak dan RM23 untuk warga emas (60 tahun dan
ke atas).
Untuk warga asing, tiket dewasa ialah RM93 dan RM48 untuk kanak-kanak.
Zoo Negara menerima kunjungan kira-kira sejuta pelawat setiap tahun.

'Pak Belang' berehat dalam kandang zoo. Memberi makan harimau dan haiwan lain di Zoo Negara menelan kos tinggi.
Menjaga dan mengurus haiwan bukan murah, bukan mudah. Zoo Negara perlu banyak wang bagi menampung kos operasi seperti membayar gaji, serta kos makanan untuk haiwan saban hari.
Mungkin ramai tidak tahu memberi makan haiwan seperti harimau, singa, zirafah dan gajah serta semua haiwan lain di dalam zoo menelan kos antara RM1.3 juta hingga RM1.5 juta setahun. Jangan lupa bil perubatan!
Zoo Negara
melalui saat getir ketika pandemik Covid-19 melanda negara pada 2020. Dengan
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), zoo tidak memperoleh sebarang
hasil.
Ini detik yang
sangat mencabar. Bagaimana hendak memperoleh wang untuk mengurus dan memastikan
haiwan tetap mendapat makanan. Ketika itu Zoo Negara hanya ada RM1 juta dalam
simpanan.
Haiwan tidak tahu dan tidak memahami masalah ini. Apa yang mereka tahu ialah makanan diberi pada waktunya dan perut sentiasa kenyang. Gaji pekerja juga perlu dibayar.

Zirafah antara tarikan haiwan di Zoo Negara. Jaga jarak. Leher panjangnya boleh sampai kepada pelawat jika terlalu rapat.
Dalam keadaan sukar begini, pihak zoo terpaksa menjual sebahagian tanah miliknya. Tanah berbukit ini terletak bersebalahan zoo, telah berada di situ sejak 1963 ketika Zoo Negara mula dibuka.
Pihak pengurusan
zoo berpendirian kerana tanah tersebut tidak digunakan, baik ia dijual. Dengan
itu dapat membantu masalah kewangan yang dihadapi.
Sekalipun
ada bantahan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk sekitar, Zoo
Negara merasakan tanah tersebut wajar dijual.
Pertama,
kerana tanah itu kawasan berbukit, tidak sesuai untuk kegunaan zoo.
Kedua, hasil jualan boleh dimanfaat untuk kegunaan zoo. Hasil disimpan dalam simpanan tetap, cukup untuk memenuhi keperluan asas dan perbelanjaan harian.

Untuk peminat spesis burung pelbagai jenis burung ada di Zoo Negara.
Untuk tujuan lain seperti pambangunan dan menambah baik kemudahan zoo, ia bergantung kepada sumber lain seperti sumbangan awam, khususnya melalui program ‘anak angkat’ haiwan.
Zoo Negara juga
menerima sumbangan kerajaan. Antaranya dibelanja untuk memperbaiki ruang
pameran dan kurungan haiwan. Juga diguna untuk menambah baik kemudahan untuk
pengunjung seperti jalan di dalam zoo.
Jumlah pengunjung Zoo Negara kini memberangsangkan. Pada musim cuti sekolah, hujung minggu dan hari cuti lain, ramai berkunjung bersama keluarga dan rakan-rakan. Ini membantu kewangan zoo.
Oleh itu apabila berkunjung ke Zoo Negara, usah merungut, usah berkira harga tiket mahal. Sebaliknya fikir secara positif bahawa anda memberi sumbangan besar kepada zoo. Ini dapat memastikan zoo kebanggaan negara itu terus beroperasi. - KitaReporters

Berkunjunglah ke Zoo Negara. Sambil menyaksikan pelbagai jenis haiwan, anda juga menyumbang kepada zoo tersebut.
##ends