Pengalaman seorang pelancong asing yang dikenali dalam TikTok sebagai @exploella atau ella’s travels mencuri perhatian warga maya apabila videonya yang menceritakan detik cemas selepas tertidur di dalam bas malam menuju ke Kuala Lumpur menjadi tular.
Dalam hantaran yang dimuat naik (15 Oktober 2025), Ella meluahkan rasa kecewa bercampur lucu apabila dia mendapati dirinya ditinggalkan di kawasan terpencil selepas semua penumpang lain sudah turun dan pemandu bas beredar tanpa menyedari masih ada seorang penumpang yang tertidur di dalam kenderaan tersebut.
“Ia berlaku kepada saya dua kali. Saya suka segalanya tentang negara ini, tapi kisah macam ini buat saya sedih.
"Sekarang saya berada di tengah-tengah ‘entah di mana’ menunggu bas ke Kuala Lumpur dan akan ambil masa tiga jam untuk ke pusat bandar. Takkan guna bas malam lagi,” katanya dalam kapsyen video tersebut.

Ella menjelaskan, dia menaiki bas malam dan merancang untuk berehat sementara menunggu sampai ke destinasi terakhir.
Namun, disebabkan terlalu letih, dia tertidur nyenyak hingga tidak sedar ketika semua penumpang turun.
Menurutnya, ketika tersedar, bas sudah berhenti di
kawasan gelap dan sunyi yang bukan stesen sebenar, menyebabkan dia kebingungan
dan tidak tahu arah untuk kembali ke pusat bandar.
“Kuala Lumpur adalah hentian terakhir. Tapi bas berhenti di tempat parkir, bukan di stesen sebenar. Pemandu sepatutnya periksa dulu (bas) sebelum tinggalkan bas,” jelasnya dalam ruang komen.

Video tersebut yang kini meraih lebih 5,000 tanda
suka dan hampir 900 komen, mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna TikTok
di Malaysia yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib pelancong itu, di samping
memberi pelbagai nasihat dan cadangan.
Seorang netizen menulis:

Sementara itu, netizen lain pula memberi tip agar Ella memilih tempat duduk berhampiran pemandu supaya mudah diperhatikan jika situasi sama berulang.
“Kalau boleh, pilih tempat duduk depan atau berdekatan pemandu. Jadi dia boleh nampak dan sedarkan awak nanti. Apa pun, selamat menikmati masa di Malaysia,” tulisnya.

Dalam reaksinya, Ella mengakui insiden sama pernah berlaku kepadanya sebelum ini dan menganggap ia berpunca daripada ‘mindset’ sendiri.
“Kali pertama saya fikir itu kesalahan pemandu, tapi kali ini saya sedar, ia disebabkan cara saya berfikir. Saya memang tidur terlalu nyenyak,” ujarnya sambil menambah emoji ketawa.

Tambah menarik, Ella turut berkongsi bahawa selepas ditinggalkan, dia terpaksa berjalan sejauh lima kilometer untuk mencari jalan keluar sebelum dibantu oleh seorang wanita tempatan yang baik hati dan membawanya ke hotel berhampiran.
“Saya dah jalan 5 km sebelum seorang wanita baik hati bantu saya dan hantar ke hotel. Tapi hari ini di Kuala Lumpur, tambang Grab sangat mahal, sekitar RM60 hingga RM70. Jadi saya ambil keputusan naik bas dan MRT saja,” katanya.

Namun, beberapa pengguna tempatan mempersoal harga tambang yang dinyatakan, dengan mengatakan bahawa harga dalam Kuala Lumpur biasanya lebih rendah. Walau begitu, ramai tetap menyanjung ketabahan Ella menghadapi situasi tersebut dengan positif.
Seorang lagi netizen pula berseloroh: “Haiyaa! Dah kali kedua terjadi. Tak belajar daripada pengalaman pertama ke?
"Tapi baguslah kalau dah sedar. Ingat perkara ni apabila melancong ke negara lain juga ya.”

Rata-rata netizen berharap kejadian itu tidak
menjejaskan pandangan pelancong asing terhadap Malaysia, sebaliknya menjadi
pengajaran dan pengalaman menarik untuk dikongsikan.
Ada juga yang mengambil kesempatan memohon maaf bagi
pihak rakyat Malaysia atas kesulitan yang dihadapi pelancong berkenaan.
“Kami minta maaf atas kesulitan ni. Semoga pengalaman ini tak buat awak serik datang ke Malaysia,” tulis netizen tersebut.

Walaupun insiden itu kedengaran mencabar, ramai yang memuji keberanian Ella yang tetap bersikap tenang, sopan dan positif ketika menceritakan pengalaman tersebut.
Sikapnya yang tidak menyalahkan pihak lain secara melulu turut dipuji sebagai contoh pelancong yang matang dan berhemah.
Kisah ini turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial mengenai keselamatan dan kebajikan penumpang bas malam di Malaysia.
Ada yang berpendapat syarikat pengangkutan perlu memastikan setiap penumpang turun sebelum meninggalkan lokasi terakhir, terutama bagi perjalanan jarak jauh.
Video tular Ella bukan sahaja menjadi pengajaran kepada pelancong asing, malah membuka mata banyak pihak tentang kepentingan komunikasi antara pemandu dan penumpang bagi mengelakkan insiden serupa berulang. - KitaReporters
