Insan & Komuniti 13 Aug, 2025

Siapa Pemenang? Persatuan Melayu Pulau Pinang! Terus melangkah maju demi agama, bangsa, negara!

@nazar hashim
Emel: nazarhashim10@gmail.com

Share this

Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) yang kini berusia 98 tahun ditubuhkan demi membela nasib agama, bangsa dan negara. Pemenang yang ditubuhkan pada tahun 1927 dengan objektif untuk menyatupadukan orang Melayu di Pulau Pinang, bantu-membantu sesama ahli khususnya, dan orang Melayu, amnya. - KitaReporters


Bangunan Persatuan Melayu Pulau Pinang tersergam megah di Jalan Pemenang, Georgetown.
Logo keramat Pemenang.

Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) yang kini berusia 98 tahun sudah memperjuang banyak pembelaan demi membela nasib bangsa, agama dan negara.

Pemenang yang ditubuhkan pada tahun 1927 dengan objektif untuk menyatupadukan orang Melayu di Pulau Pinang, bantu-membantu sesama ahli, khususnya dan orang Melayu, amnya yang merangkumi soal kehidupan, agama, adat istiadat, bahasa, pelajaran, budaya, ekonomi dan sukan.

Selain itu ia juga bermotifkan berbaik-baik dengan semua kaum seluruh Pulau Pinang dan juga negara serta mengekalkan tradisi Bahasa Melayu.

Mewujudkan hubungan dengan Persatuan-persatuan Melayu di negeri lain dan melabur secara mana yang sesuai melalui wang mahupun aset yang dianggap wajar. 


Kunjungan hormat pegawai kanan Pemenang bergambar bersama semasa menemui Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib baru-baru ini.

Bekas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Puzi Abdul Razak turut melawat Galeri Pemenang pada April 2025.

Sejak penubuhan Pemenang seramai 15 Yang Dipertua (YDP) telah menerajui organisasi ini. Kini Pemenang diterajui Tan Sri Mohd Yussof Latiff sejak 1985 sehinggalah sekarang.

Pemenang terbukti telah berjaya memperjuang pelbagai isu termasuklah mewujudkan Tanah Simpanan Melayu di Kampung Melayu, Air Itam semasa zaman penjajah pada tahun 1928.

Selain itu Pemenang turut berjaya sebagai salah sebuah pertubuhan yang turut sama mengasas dan menubuhkan UMNO pada tahun 1946.

"Pemenang telah dapat menubuhkan Koperasi Perumahan Orang-Orang Melayu Berhad pada tahun 1964 dengan jayanya serta berjaya memiliki dan mendirikan bangunan Pemenang di Jalan Macalister pada tahun 1979.

"Syarikat PIEMPIPI (Pemenang) Berhad telah berjaya ditubuhkan untuk pembangunan ekonomi orang Melayu Pulau Pinang serta menambah pemilikan hartanah.

"Sebuah bangunan banglo di Jalan Cantonment berjaya dimiliki dan dijadikan pusat pentadbiran Pemenang serta nama jalan ditukar kepada Jalan Pemenang kini," jelas beliau ketika ditemui.


Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, hadiri sesi ramah mesra bersama Persatuan Muhibbah yang diadakan di bangunan Pemenang.

Malaysia Industry Award turut menganugerahkan 'Anugerah Sepanjang Hayat' kepada Presiden Pemenang, Mohd Yussof Latiff (empat dari kiri).

Menurut Mohd Yussof lagi, kejayaan lain ialah menubuhkan Gabungan Persatuan-persatuan Kebudayaan dan Kesenian Melayu Pulau Pinang, Ikatan Kelab-kelab Melayu Pulau Pinang serta Majlis Perundingan Muhibbah Pulau Pinang.

Malah jelasnya, Pemenang juga berjaya mempelopori penubuhan Muzium Khazanah Melayu/Jawi Peranakan yang kini dikenali sebagai Pusat Tamadun Melayu Pulau Pinang.

"Menerusi syarikat PIEMPIPI (Pemenang) Berhad, Pemenang telah berjaya membeli serta merancang mendirikan Wisma PMPP, bangunan 8 tingkat di Jalan Argyll dengan kerjasama Rakan Pintar Amanah Raya Berhad mulai tahun 2010.

"Kejayaan lain ialah Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa, Pulau  Pinang telah berjaya dinamakan sebagai Sekolah Kebangsaan Tan Sri P. Ramlee dan penubuhan Kelab Peminat P. Ramlee Pulau Pinang pada tahun 2011.

"Pemenang  dengan kerjasama ahli sejarah serta profesional Melayu turut berjaya menubuhkan Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris) bagi memulihara warisan dan sejarah Melayu pada tahun 2012," jelas beliau yang juga merupakan mantan Setiausaha Politik kepada bekas Ketua Menteri Pertama Pulau Pinang, Tan Sri Wong Pow Nee.

Antara kejayaan lain yang diperjuang oleh Pemenang ialah cadangan nama Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah kepada kerajaan pada tahun 2014.


Program meraikan anak yatim di Pulau Pinang oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang ( Pemenang).

Kunjungan hormat dan program CSR Persatuan Pelajar Indonesia di Malaysia pada 2 Ogos 2025 di Wisma Yatim Perempuan yang turut diterajui Mohd Yussof sebagai Yang Dipertua Persekutuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Pulau Pinang.

Pemenang juga berjaya mewujudkan program CSR Recsam 2014 yang merupakan bantuan tuisyen subjek Sains dan Matematik kepada pelajar SPM dengan biaya daripada dana kebajikan Pemenang dan tenaga pengajar dari Seameo, Recsam.

Mohd Yussof, yang juga Timbalan Presiden Pertubuhan Anak-Anak Yatim Malaysia (Peyatim) dan Timbalan Pengerusi Yayasan Wakaf Pendidikan Anak-Anak Yatim dan Miskin ASEAN (Yatim ASEAN) berkata, banyak program telah, sedang dan akan dilaksanakan demi membela nasib anak-anak yatim dan miskin di Pulau Pinang.

"Sebagai Presiden Pemenang sejak 1984 sehingga sekarang banyak cubaan dan dugaan dapat diatasi demi membela nasib orang-orang Melayu dalam segala aspek.

"Alhamdulillah, dengan sokongan barisan kepimpinan serta ahli-ahli Pemenang dan juga famili termasuk isteri Puan Sri Suziwati Baidawi semuanya sukses dan berjalan lancar," tambah beliau yang juga penerima anugerah Tokoh Kemerdekaan Malaysia pada tahun 2011 sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-54. - KitaReporters


Siapa Pemenang? Persatuan Melayu Pulau Pinang! Terus melangkah maju demi bangsa, agama, negara!

Suziwati Baidawi (kanan) menjadi pendorong semangat kepada Mohd Yussof Latiff.

21
15
0
9
0
You will be interested