Insan & Komuniti 04 Nov, 2024

Selepas hampir 160 tahun! Misteri pemilik tengkorak ditemukan tertanam dalam dinding rumah terungkai!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

Wajah Esther Granger menurut lakaran pelukis berdasar profil DNA. 


MEMANG hebat kemajuan sains forensik dan kemajuan teknologi DNA sehingga mampu mengesan dan mengenali pemilik rangka manusia walaupun setelah hampir 160 tahun meninggal dunia.

Kisah ini berlaku di Illinois, Amerika. Baru-baru ini pihak berkuasa berjaya merungkai misteri identiti tengkorak manusia yang dijumpai pada tahun 1978 di Batavia, Illinois. 

Ia disahkan milik seorang wanita, Esther Granger. Pengesahan ini diumumkan oleh Koroner Kane County, Robert Russel, pada sidang media 25 Oktober 2024 lalu. 


Robert Russell pada sidang media mengesahkan identiti Esther Granger di Kane County, Illinois pada 25 Oktober 2024.


Menurut Russell, Esther lahir di Indiana pada Oktober 1848. Dia meninggal pada 1866 dalam usia 18 tahun, dipercayai kerana komplikasi sewaktu melahirkan anak pertama.   

Esther dikebumikan di Merrillville, Indiana. Tetapi beberapa tahun tahun kemudian tengkoraknya dijumpai 128 kilometer ke barat laut Batavia, sebuah bandar kecil ke barat Chicago, Illinois. 

Dipercayai ia perbuatan perompak kubur yang menjual tengkorak untuk pengajian perubatan.

Tengkorak dijumpai sewaktu kerja ubah suai rumah. Pemilik rumah, yang namanya tidak dinyatakan, menjumpai tengkorak tersebut tertanam dalam dinding rumah. 

Menurut Russell, penduduk kemudian membuat laporan polis.


Tengkorak milik Esther Granger ditemui ketika kerja ubah suai rumah di Batavia, Chicago, Illinois.


Berikutan itu siasatan dijalankan untuk memastikan siapa pemilik tengkorak berkenaan dan tentunya ini tugas sukar.

Siasatan dan ujian DNA hanya memberi keputusan umum iaitu tengkorak itu milik seorang perempuan dipercayai berusia 20-an dan hidup sebelum 1900.

Kes itu kemudian dipendam dan dilupakan. Tengkorak itu pula disimpan Muzium Depot, Batavia. 

Ketika sedang membersihkan muzim pada Mac 2021, seorang pekerja terjumpa tengkorak tersebut. Ia diserahkan semula kepada polis. Bertindak atas laporan 1978, polis melancarkan siasatan semula. 


Rumah di Batavia, Illinois, tempat di mana tengkorak Esther Granger ditemui tertanam pada dinding.


Pada 2023, polis meminta bantuan sebuah syarikat, Othram, yang mempunyai kepakaran menyelesaikan kes lama, untuk membantu menjalankan sekali lagi ujian DNA. 

Para pegawai Othram mengumpul data profil tengkorak tersebut, termasuk mengesan susur galur keluarga.

Hasil usaha tidak mengenal jemu, saudara mara yang masih hidup berjaya dijejaki berdasar profil dikumpul. 

Melalui carta rumpun keluarga, para pegawai berjaya menghubungi piut Esther, Wayne Svilar, 69, yang kemudian menghantar DNA miliknya untuk dibuat ujian. 

Didapati DNA miliknya sepadan dengan DNA Esther.


Ujian DNA ke atas Wayne Svilar, piut Esther Granger, mengesahkan rangka tengkorak milik buyutnya.


Svilar pada mulanya tidak percaya apabila pertama kali dihubungi pihak berkuasa pada April 2024 lalu mengenai identiti buyutnya. Tetapi akhirya dia akur dan menerima kenyataan.

Pesara polis dari Portland, Oregon, itu memberitahu keluarga sangat terkejut dengan pengesahan identiti berkenaan tetapi sangat gembira. Rangka Esther kemudian disemadikan semula di kawasan Batavia Barat.

Begitu hebat kemajuan dan peranan sains forensik dan DNA masa kini. Dengan penggunaan siasatan forensik genetik, identiti dan usia tengkorak berusia melebihi satu setengah kurun dapat dikenal pasti. - KitaReporters

 

 

11
17
0
13
0
You will be interested