Insan & Komuniti 08 Sep, 2024

Azam WajaClub Malaysia! Beri impak positif dalam dunia permotoran! Perangi pelbagai gejala negatif!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

SEBAHAGIAN ahli WajaClub Malaysia yang menyertai acara Proton Day 2023.



Kepelbagaian jenama kenderaan yang terdapat di Malaysia sememangnya membuatkan jalanan sentiasa meriah. Sama ada di lebuh raya, jalan-jalan di bandar mahu pun di desa, setiap kereta yang dipandu mempunyai keistimewaan tersendiri.

Justeru, tidak hairanlah jika ramai individu yang berminat menyertai kelab-kelab permotoran yang ditubuhkan dengan misi dan visi masing-masing. 

Tidak terkecuali WajaClub Malaysia, satu pertubuhan yang diasaskan pada tahun 2005 dengan visi mempertahan keharmonian dan keamanan kelab serta menjaga nama baik di persada dunia permotoran tanah air.


KERETA Waja keluaran Proton antara jenama kenderaan yang terkenal di Malaysia.

Presiden WajaClub Malaysia, Hasnol Hafiz Marzuki berkata, sehingga kini kelab itu telah memiliki lebih kurang 1,500 ahli. 

"Pada tahun 2017, kelab ini telah dinaik taraf kepada kebangsaan selepas mempunyai keahlian di seluruh Malaysia. Kami mempunyai misi untuk memartabatkan dunia permotoran negara ke tahap global.

"Selain itu, kami berazam untuk menjadikan WajaClub Malaysia sebuah entiti yang dapat memberi impak positif dalam membangunkan negara dari aspek permotoran.

"Malah, kami juga bertekad memerangi segala gejala negatif dengan menjadikan aktiviti berkelab sebagai satu institusi yang menguntungkan agama, bangsa dan negara di samping melahirkan generasi pelapis yang berguna untuk masyarakat,” ujar Hasnol kepada KitaReporters.


AKTIVITI menampal pelekat kelab untuk ahli yang baru mendaftar biasanya diadakan 2 ke 3 kali sebulan.


Menurut Hasnol atau lebih popular dengan gelaran Manol Suzuka dalam kalangan ahli kelab, pihaknya telah menganjurkan pelbagai aktiviti dalam usaha mengeratkan silaturahim antara ahli.

Antaranya penganjuran program Jalinan Kasih di Melaka dan Kuala Lumpur yang memberi bantuan dari segi kewangan kepada ahli-ahli kelab yang memerlukan. 


KERATAN akhbar yang memuatkan aktiviti yang dijalankan ahli WajaClub Malaysia.


BARISAN kepimpinan tertinggi WajaClub Malaysia yang sentiasa komited memberikan yang terbaik buat semua ahli kelab.


"Sumber kewangan tersebut kami peroleh daripada sumbangan ahli dan juga pihak luar. Kemudian kami adakan juga program Memasak Bubur Lambuk di Melaka anjuran ahli dari wilayah Selatan, majlis berbuka puasa pada setiap tahun serta mengadakan acara santai, Tea Time sebanyak dua atau tiga kali sebulan iaitu menyambut kedatangan ahli baru dengan menampal pelekat kereta.

"Tidak ketinggalan, kami turut menjalin hubungan dengan menyertai acara besar seperti Proton Day yang diadakan setiap tahun, Waja Day di Johor dan gabungan kereta Waja untuk merapatkan silaturahim bersama pemilik semua jenis kenderaan jenama Proton,” jelas beliau lagi.  

Tahun lalu (2024), WajaClub Malaysia turut mengadakan acara Mini Fun Drive bersama keluarga di Melaka dan Baling, Kedah. 


SETIAP program yang dianjurkan bertujuan mengeratkan silaturahim di antara ahli kelab.


Sementara itu, Timbalan Presiden WajaClub Malaysia, Nizam Hamzah memberitahu, pihaknya berharap mereka dapat menjadikan WajaClub Malaysia lebih gemilang, terbilang dan cemerlang pada masa akan datang.

"Kami akan sentiasa berusaha untuk menarik minat anak-anak muda untuk mengetahui keunikan kelab ini, sekali gus memberi pemahaman kepada mereka tentang erti sebuah keluarga besar, meskipun tanpa hubungan darah.

"Dan pastinya harapan kami agar masyarakat tidak melupakan Waja sebagai salah satu jenama kenderaan buatan Malaysia agar ia tidak luput ditelan zaman yang semakin canggih dengan teknologi permotoran tanpa batasan," ungkap Nizam merupakan salah seorang individu penting dalam penubuhan kelab ini. – KitaReporters


MELALUI WajaClub Malaysia, setiap ahli belajar tentang kepentingan sebuah keluarga besar walaupun bukan sedarah.

28
10
0
12
0
You will be interested