Insan & Komuniti 02 Apr, 2023

2 April Hari Kesedaran Autisme Sedunia! Luahan bapa, anak hidap ASD! Mula-mula sedih tapi kini reda!

@amil abdullah saiby
Berkhidmat di Utusan Melayu(M)Berhad selama 35 tahun,Jawatan terakhir disandang ialah Pegawai Penyelidik Kanan Jabatan Editorial Utusan. Pengalaman: Wartawan sambilan di Mingguan Timur,Utusan Malaysia dan Kosmo. Penulis buku "coffeetable" Transformasi

Share this


Setiap pasangan suami isteri inginkan sebuah kehidupan keluarga yang bahagia serta ceria. Tambahan pula tidak lama kemudian mereka (suami isteri) dikurniakan rezeki mempunyai anak yang selama ini menjadi idaman setiap pasangan berkahwin yang dibina bersama atas dasar kasih sayang. 

Sebuah bingkisan atau catatan dimuat naik dalam Facebook Firdauz Abdullah yang berkongsi cerita dan pengalaman  beliau mempunyai anak autisme.

“Waktu lahir dulu, dia nampak normal. Tiada tanda-tanda ketara atau petanda buat kami.

“Masuk umur dua tahun, barulah tanda-tanda itu muncul. Memang dah mula struggle kami ketika itu.. Sungguh weh! pernah juga membanding anak sendiri dengan anak orang lain”, kongsi Firdauz.


Adik Matin - Sumber Facebook Firdauz Abdullah.


Sememangnya peringkat awal, anak lelakinya yang dipangil Matin tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda atau petanda yang agak aneh atau pelik.

Setelah anak beliau menginjak usia dua tahun baharulah sikap atau perwatakan seperti menghantukkan kepala ke dinding (meltdown), bersikap ganas, marah dan mudah kecewa. Dia (Matin) juga akan membaling iPad jika segala keinginan atau kehendaknya tidak ditunaikan. 

Matin juga sukar untuk tidur sehingga dia sanggup bersengkang mata sehingga jam 2 hingga 3 pagi; malah masih aktif. Jika menyentuh soal komunikasi ianya sangat lemah dan jika memanggil namanya 4 atau 5 kali barulah hendak menyahut. Kelihatannya dia seperti hilang fokus dalam dirinya. 

“Anak saya ni tak normal ke?” soal Firdauz kepada seorang pakar perubatan kanak-kanak.

 “Anak puan dan tuan nampaknya ada ciri-ciri ketara ASD.

Autism Spectrum Disorder?

“Ya, setelah sejam kita buat pemerhatian ni.. rasanya Encik pun boleh bandingkan dengan adiknya yang baharu enam bulan tu dari segi fokus, dan saya akan rujukkan pada pakar perkembangan kanak-kanak,” jelas doktor.

Firdauz terdiam dan pegun sebentar, barangkali memikirkan sesuatu tentang nasibnya apabila doktor telah mengesahkan anaknya benar-benar menghidap Autism Spectrum Disorder (ASD).

“Uishhh remuk hati waktu tu.. sedihlah aku sebagai bapak.. dan mulalah terfikir kenapalah Tuhan menghukum aku sebegini..”, bicara hatinya.



Walaupun pada mulanya, Firdauz  paling berat hendak mengakui hakikat yang bakal dihadapi kelak, namun beliau tetap berasa bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang sangat tabah dan kuat semangat.

Dialah yang memberikan sokongan untuk kami anak beranak agar tidak melarat (berlarutan) dan hanyut dalam kesedihan serta kekecewaan.

Firdauz dan isteri sebenarnya sudah berada di landasan yang betul. Apabila melihat anak mereka sudah mula menunjukkan ciri-ciri ASD seawal usia dua tahun.

Selanjutnya mereka perlu bangkit dengan mengambil langkah-langkah proaktif dan positif dengan melakukan perkara-perkara seperti di bawah ini:

1. Kami bandingkan perkembangan Matin berpandukan carta perbatuan kanak-kanak yang ada di dalam Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-kanak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

2. Setiap kali membawa anak untuk melakukan pemeriksaan kesihatan, kami akan bertanya kepada doktor dan jururawat dengan meminta pendapat serta pandangan mereka untuk menangani masalah anak mereka.

3. Untuk mendapatkan pandangan kedua, kami juga membawa Matin berjumpa doktor Pakar Kanak-kanak, sebelum merujuk kepada Pakar Perkembangan Kanak-kanak dan juga pegawai terapi cara kerja untuk membuat penilaian ke atas Matin.

Kemudian beberapa ujian pengesahan dari segi perkembangan fizikal, mental dan banyak lagi seperti sensory profiling  termasuk juga ujian kecerdasan (IQ test) dilakukan.

4. Kami gigih ke sana ke mari mengikuti bengkel yang dianjurkan pihak KKM melalui hospital, NGO dan juga pusat terapi swasta. Dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur adalah perkara biasa; dan di dalam alam mayalah paling banyak kami mendapatkan ilmu. 

5. Mulakan intervensi di rumah. Ini yang paling penting, sebab masa mereka (anak-anak) dengan kitalah yang paling berharga. Jangan risau dengan pandangan orang lain terhadap pada anak kita. Kita bukan hidup dengan duit mereka pun. Kuatkan semangat dan teruskan merangsang anak kita dirumah dengan pelbagai aktiviti.

6. Selalulah bermain dengan anak-anak. Bermain adalah perkara paling berkesan untuk melatih fokus, komunikasi dan sensori mereka. Ya, bawa anak-anak keluar ke taman permainan selalu, kerana di sana ada pelbagai benda yang boleh membantu anak-anak kita. 

Jangan segan dan takut nak bawa anak keluar, mereka perlu diberi stimulasi atau ransangan dari dunia sebenar. Sedih kalau melihat ada ibu bapa yang mengurung anak mereka di rumah dan memisahkan mereka dari realiti kehidupan. 

7. Kalau ada rezeki, bawalah anak-anak untuk mengikuti terapi pertuturan dan cara kerja. Ini sangat membantu perkembangan anak-anak kita, bahkan kita juga beroleh manfaat yang sama.

Ibu bapa akan lebih memahami cara melaksanakan intervensi di rumah nanti dan tahu kenapa kita lakukannya.

Di sini juga boleh kita nyatakan objektif yang perlu dicapai oleh anak untuk satu tempoh tertentu. Yang pasti adalah sasaran kita tidaklah terlalu tinggi. Maklumlah budak baru hendak menyebut satu dua patah perkataan hari ni. Penghujung minggu nanti kita sudah hendak dia buat ayat lengkap. Mana boleh macam itu? 

8. Sertai sokong kumpulan yang ada dalam media sosial atau kawasan kita berada. Ini sangat penting untuk kesihatan mental kita dan anak.

Mempunyai anak istimewa memang memenatkan; setiap hari pasti diuji. Sekurang-kurangnya kita adalah tempat meluah dan meminta pandangan.

Anda jangan bersedih. Tuhan menduga kita dengan kelahiran yang berbeza tetapi hidup bersama,

Sedar tak kita? Kita berada di bawah langit dan memijak bumi yang sama. Kerana apa?

Sebab Tuhan hendak kita supaya dekat dengan-Nya, saling menyintai, menyayangi dan menjaga antara satu sama lain hingga ke akhir waktu dan bertemu kembali di sana nanti sebagai keluarga yang sempurna.




Menjengah Facebook Firdauz Abddullah sebanyak 28 komen telah diberikan oleh netizen, selain mendapat 228 tanda suka dan 12 perkongsian .

Hari Kesedaran Autisme Sedunia disambut pada 2 April setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar lebih peka terhadap individu yang menghidap autisme.

Menurut statistik sehingga 30 Jun 2022, sebanyak 36,601 individu disahkan menghidap austisme di Malaysia dan daripada jumlah itu didapati 24,748 individu terdiri daripada golongan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun (lapor Astro Awani 10 September 2022).

Selamat menyambut Hari Kesedaran Autisme Sedunia 2023. - KitaReporters


Sumber:

Facebook Firdauz Abdullah

https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kerajaan-berhasrat-tubuh-lebih-banyak-ppdk-hfa-fokus-anak-autisme-rina-380365

10
9
0
12
0
You will be interested