Insan & Komuniti 01 Jun, 2023

Video| Terima kasih PM10! Bantu wartawan veteran, sakit! Peruntukan RM1j untuk Tabung Kasih @ Hawana!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this


WARTAWAN ibarat lilin yang membakar diri menerangi masyarakat sebagai penggagas dan pemberita. 

Jasa mereka sejak sebelum merdeka lagi, sebagai ejen penggerak kemerdekaan dan sekarang mereka perlu berdepan pula dengan cabaran untuk bersaing dengan media sosial yang kini mengambil tempat media tradisional bagi melaporkan berita beretika dan berwibawa lagi bertanggungjawab.

Ketika berkhidmat sebagai wartawan, ada yang tidak bekerja secara tetap (sambilan) dengan mendapat upah yang 'cukup makan' hasil jualan berita dan rencana, Malah kebanyakannya tidak mempunyai pencen. 

Akhirnya ada yang pada hari tua mereka, jatuh sakit dan sangat-sangat memerlukan bantuan khususnya kewangan.



Sejajar untuk membantu golongan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan RM1 juta yang akan disalurkan kepada Tabung Kasih @ HAWANA, yang dikendalikan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) untuk membantu golongan itu terutama membiayai rawatan perubatan jangka panjang dan bantuan kebajikan. Bertepatan dengan aspirasi Malaysia Madani yang digagaskan oleh Anwar.

Perdana Menteri menyumbangkan peruntukan permulaan kepada tabung berkenaan sempena meraikan majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) di Ipoh pada 28 Mei 2023. 




Pengerusi Kelab Alumni Riong (KARIB), Datuk Abd Karim Mustafa (gambar atas) ketika menyambut langkah berkata, pihaknya sudah lama  mengemukakan cadangan nama tabung itu sebelum sambutan HAWANA berlangsung.

"Cadangan nama itu kita hantar beberapa bulan lalu selepas perbincangan bersama wakil BERNAMA. Kami sepakat mencalonkan ahli KARIB yang uzur, kurang berkemampuan dan memerlukan untuk dibantu menerusi tabung ini.

"Sebagai mewakili KARIB dan bekas petugas jabatan editorial akhbar Berita Harian dan Harian Metro, saya mengalu alukan dan menyambut baik pengumuman Perdana Menteri itu. 

"Ini menunjukkan keprihatinan Perdana Menteri khasnya dan kerajaan Malaysia Madani, ke atas nasib bekas pengamal media yang memerlukan bantuan." katanya.

KARIB turut mengemukakan nama wartawan yang sememangnya perlukan bantuan jangka panjang. Terutama belanja perubatan yang memerlukan belanja yang tinggi 

Abdul Karim berkata, sebelum ini, Anwar telah memberi komitmen bantuan terus kepada KARIB, selain pengumuman di HAWANA berkenaan. 

HAWANA diraikan pada 29 Mei setiap tahun dan kali ini acara bermula sejak 27 Mei 2023 dengan dimeriahkan pertandingan harta karun dan boling yang disertai lebih ramai pengamal media di Ipoh Bowl. Pameran mengenai sejarah kewartawanan turut diadakan di Mydin dan Pusat Konvensyen, Casuarina Hotel. 


Anwar turun dari pentas utama untuk menyampaikan sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA kepada Ou So Ha @ Ou Kok Meng (kanan) pada majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023. Hadir sama Timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Fahmi Fadzil. - BERNAMA 


Sumbangan Tabung Kasih @ HAWANA kepada Haron Shafei (empat dari kiri)


Sementara itu, selepas merasmikan majlis kemuncak Hawana itu, Anwar kemudian turun dari pentas utama untuk menyampaikan sumbangan kepada tiga wartawan veteran Perak. 

Mereka ialah bekas pemberita bebas Ou So Ha @ Ou Kok Meng, 74; pemberita sambilan akhbar Tamil Malar V. Maniam, 76; dan editor portal berita Independent.my yang juga bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad, Haron Shafei, 65.

Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil berkata, Tabung Kasih @ HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan dilaksanakan oleh Bernama sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan kesukaran dan cabaran hidup.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil telah menyampaikan sumbangan kepada bekas jurufoto Utusan Melayu, Muhammad Basir Abu Bakar yang menghidap penyakit jantung dan wartawan veteran Utusan Melayu, Mohd Sidek Salleh yang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani pembedahan akibat kanser usus.

Sumbangan turut diberikan kepada Haslinda Ahmad iaitu balu jurukamera TV3 Perak, Allahyarham Rosli Abu Bakar yang meninggal dunia pada 9 Mei 2023 lepas akibat komplikasi kencing manis, darah tinggi, buah pinggang dan jantung.

Bantuan disumbangkan oleh KKD, Bank Rakyat Malaysia Berhad, Pusat Pakaian Hari-Hari, Mydin, Aeon Big dan MSM Malaysia Holdings Berhad. - KitaReporters


Fahmi menyerahkan sumbangan kepada Mohd Sidek Salleh

9
8
0
14
0
You will be interested