AMIR KHAN, bintang popular Bollywood. - Kredit foto: Wikipedia
AMIR KHAN peninju Britain diarah turun daripada kapal terbang kerana pelitup muka dipakai rakannya tidak menepati piawaian. - Kredit foto: AFP
KECOH baru-baru ini apabila Amir Khan diarah turun daripada sebuah pesawat di Amerika Syarikat kerana gagal mematuhi peraturan memakai pelitup muka seperti yang ditetapkan berdasarkan operasi prosedur standard (SOP).
Memetik laporan BBC News, Amir diarah turun oleh polis daripada pesawat American Airlines bersama rakannya. Ini berikutan aduan anak kapal yang mendakwa pelitup muka yang dipakai oleh rakannya ‘tidak cukup tinggi’ dan tidak menepati keperluan SOP.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Amir Khan
GAMBAR fail... Aksi Amir Khan selepas memenangi satu pertandingan tinju yang disertainya. - Kredit foto:f ightnights.com
Tetapi sebelum para peminat bintang Bollywood Amir Khan terkejut atau marah kerana pelakon pujaan mereka diarah turun daripada kapal terbang, Amir Khan yang terlibat bukanlah bintang filem box-office Mann, bergandingan dengan Manisha Koraila.
Amir Khan yang terlibat dalam peristiwa tersebut ialah petinju dari Bolton, Britain.
Kejadian berlaku akhir minggu lalu ketika dia dan rakannya dalam penerbangan dari lapangan terbang Newark, New Jersey ke Dallas-Forth Worth, Texas.
Ketika dalam penerbangan, dua orang penumpang dikatakan enggan mematuhi permintaan anak kapal yang bekali-kali meminta mereka menyimpan bagasi, meletakkan telefon bimbit dalam mod penerbangan dan mematuhi peraturan memakai pelitup muka dengan betul.
Kedua-dua mereka ialah Amir dan rakannya, yang tidak disebut namanya.
Apabila kedua-dua mereka enggan mematuhi permintaan anak kapal, pesawat American Airlines itu berpatah balik ke pintu pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty. Amir dan rakannya kemudian diarah turun.
Melalui video yang diciap dalam Twitternya, bekas juara tinju light-welterweight dunia itu memberitahu, semasa kejadian dia dalam perjalanan ke kem latihan di Colorado Springs, Colorado. Dia sebelum itu berada di New York.
Menurutnya, ada anak kapal yang tidak puas hati dengan pemakaian pelitup rakannya kerana dikatakan ‘tidak cukup tinggi’. Dia mendakwa, dia dan rakannya kemudiannya diarahkan turun oleh polis daripada pesawat.
Bagaimanapun American Airlines dalam kenyataan balasnya menafikan terdapat campur tangan polis dalam kejadian tersebut. Kehadiran polis selepas pesawat berpatah balik ke pintu pelepasan adalah prosedur biasa sebagai langkah berjaga-jaga.
Amir Khan yang sangat kecewa dengan kejadian menimpanya memberitahu, dia terpaksa menyusun semula jadual penerbangan untuk membolehkannya kembali ke kem latihan. Dia kesal dengan tindakan American Airlines yang tidak membenarkannya meneruskan perjalanan.
Syarikat penerbangan itu pula menegaskan, apa yang mereka lakukan ialah mematuhi polisi yang ditetapkan demi keselamatan penumpang dan anak kapal.
Menurut syarikat tersebut, Amir Khan dan rakannya tidak disenarai hitam. Mereka masih boleh menaiki pesawat syarikat berkenaan pada masa hadapan. - KitaReporters