BILA ada peminat yang fanatik mahu memiliki apa saja barangan peninggalan penyanyi yang disukai, maka akan ada yang sanggup membayar dengan harga yang 'tidak masuk akal'. Begitu yang berlaku bila sebotol potongan rambut milik penyanyi legenda, Elvis Presley dikatakan mencecah harga RM300,000 (USD$72,000).
Jurucakap rumah lelongan barang milik artis, Kruse GWS Auction dalam satu kenyataan memberitahu, harga itu terjual dalam satu lelongan pada 10 September 2021 lalu. Koleksi rambut itu menjadi rebutan peminat fanatik artis itu kerana ia dijamin memang asli, dan yang terbanyak disimpan.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan barangan lama
Barangan peninggalan Elvis Presley.
Wikipedia mencatatkan Elvis Aaron Presley atau Elvis Presley meninggal dunia pada 16 Ogos 1977 digelar sebagai (Raja Rock and Roll) "King of Rock and Roll" dan menjadi ikon budaya yang paling berpengaruh pada abad ke-20.
Malah potongan rambut itu datang sekali dengan dokumen sahih dan sudah lama ditulis tentang rambut tersebut serta mengandungi fakta lengkap daripada pengumpul bertauliah dan resit rasmi sebagai bukti bagaimana rambut itu diperolehi.
Jurucakap itu memberitahu sebab utama rambut dalam jumlah terbanyak milik Elvis Presley itu kerana penyanyi itu sendiri memberikan rambutnya itu kepada tukang gunting peribadinya dan ia didokumen sejak lebih 20 tahun lalu.
"Ini bukan setakat cebisan rambut tetapi sebesar saiz boleh bola basebol yang disimpan dan tidak pernah dijual. Rambut ini didokumenkan dengan sahih dan mencatatkan sejarah apabila pertama kali dijual pada 2002 dengan harga RM480,000 (USD$115,000) dan kekal direkodkan," katanya.
Dokumen mengenai pertikaian keaslian rambut itu timbul apabila rambut penyanyi Jail House Rock itu terkumpul dalam jumlah yang banyak. Bagaimanapun dengan adanya surat termasuk daripada John Reznikoff (pakar yang sangat dipercayai dan bertauliah dalam bidang pengumpulan rambut) dan John Heath (seorang pengumpul bahan seni Elvis yang terkenal di dunia) mengesahkan kesahihannya.
Dokumen itu juga turut menampilkan resit tiket kapal terbang bernombor 117, yang dibeli oleh Elvis untuk 'menerbangkan' Gilleland untuk memotong rambut penyanyi berkenaan.
Elvis Presley.. Legenda rock and roll ini 'hidup' sampai saat ini.
Selain itu, sehelai pakaian 'cape dan jumpsuit' yang dipakai oleh Elvis ketika membuat persembahan kali pertama di Madison Square Garden, New York pada 1972 yang turut mencatatkan harga mahal pada majlis lelongan Artifat Hollywood & Muzik pada 4 September 2021.
Pakaian itu mencatatkan rekod jualan USD$1,012,500 (RM4,191,993), demikian diumumkan oleh Agensi Lelongan Kruse GWS. Pakaian tersebut direka oleh Bill Belew. Ia dijadikan koleksi simpanan sejak 30 tahun sebelum dilelong.
Pengasas dan Ketua Jurulelong Kruse GWS Auctions, Brigitte Kruse berkata, "kami sangat teruja untuk mengadakan majlis sebegini meriah dikelilingi peminta-peminat koleksi dari seluruh dunia untuk cuba menawarkan harga yang mahal bagi memiliki barangan kenangan sepanjang hayat kerja Elvis Presley."
Lelongan itu juga termasuk topi keledar yang dipakai oleh Elvis dalam filem “Viva Las Vegas” mencatatkan harga USD$23,750 (RM98,329), Tuksedo “Frankie & Johnny” USD$75,000 (RM310,509), boot USD$28,750 (RM119,028), sekeping nota muzik dari 'Comeback Special' pada 1968 dilelong dengan harga USD$15,000 (RM62,101), serta tali pinggang berbentuk helang, tempahan khas yang mencapai USD$25,000 (RM103,503). - KitaReporters
penyanyi Jailhouse Rock...... Jadi kegilaan gadis pada zaman 60-an.