Perahu yang menunggu masa untuk diturunkan ke laut
SUDAH seminggu Mohd Zailan Ismail, tidak dapat turun ke ke laut gara-gara angin kuat dan laut bergelora kerana bimbang perahunya tidak mampu menahan pukulan ombak tinggi. Bukan dia saja, malah hampir 50 orang nelayan di kampungnya, di Kampung Pelindung, Beserah dekat Kuantan, Pahang mengalami nasib yang sama.
Zailan yang ditemui ketika sedang membaiki pukatnya (jala) yang rosak, berkata sejak akhir Januari 2022 keadaan ombak yang tidak menentu kerana masih dalam tempoh musim tengkujuh, membuatkan diri dia kena 'berehat' seketika dengan menghabiskan masa membuat kerja-kerja kampung sahaja.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan golongan nelayan
MOHD ZAILAN ISMAIL
Sejak menjadi nelayan hampir 20 tahun lalu, Zailan, 50, yang masih bujang berkata jika nelayan termasuk dirinya tidak dapat turun ke laut, bermakna sebahagian besar masa sepanjang bulan itu mereka akan membuat ikan masin, mengambil upah menjahit pukat atau membuat kerja-kerja kampung.
Zailan anak sulung daripada 12 adik-beradik memilih kekal bujang untuk menjaga ibunya yang berumur 70 tahun yang sudah uzur. Sebelum menjadi nelayan, Zailan bekerja sebagai pemandu teksi (kereta sewa) sejak usianya 25 tahun sehinggalah dia menukar kerja pada tahun 2000 kerana tidak mampu mengharungi persaingan sengit dengan perkhidmatan Grab.
"Jika dulu pelanggan suka menaiki teksi kerana kami ada di mana-mana saja. Sekarang orang muda memilih Grab kerana senang dihubungi dan dengan pendapatan saya yang semakin kurang, manakala kerja pula sampai jauh malam. Rasanya cukuplah bawa teksi," katanya yang reda kerana melihat keadaan sudah jauh berubah.
Cuma bila sudah menjadi nelayan hampir 20 tahun, lain pula kisahnya apabila dia agak kesal dan terkilan sepanjang tempoh itu tiada pihak yang datang melihat kebajikan nelayan di pantai Kampung Pelindung berbanding nelayan-nelayan sekitarnya yang dikatakan mendapat pelbagai kemudahan dan bantuan.
"Kami di sini kerja sangat serius kerana menjadi nelayan punca pendapatan. Nelayan di sini mahukan subsidi minyak dan peralatan seperti pukat, enjin dan pinjaman membeli perahu. Tapi kami terasa tersisih daripada bantuan," katanya sedikit terkilan dengan sikap berpuak-puak atau kroni dalam pemberian bantuan.
Katanya, sebaik saja mencuba nasib menjadi nelayan hasil pendapatannya jauh lebih baik daripada memandu teksi dan kerja pun tidak perlu lama. Dia ke laut pada jam 7 pagi dan pulang pada jam 12 tengah hari atau kadangkala berlarutan hingga 6 petang. Di hentian nelayan, pemborong ikan sudah menunggu hasil tangkapan dan harga yang ditawarkan oleh pemborong sangat berpatutan.
Peralatan nelayan ke laut.
"Sebagai contoh ikan senangin dijual dengan harga RM25 sekilo, ikan kembng ikut saiznya RM15 sekilo dan sotong berdasarkan saiznya dijual RM20 sekilo. Alhamdulillah, walaupun berbahaya di laut tetapi yang pentingnya, kerja nelayan ini memberi saya banyak mempelajari kemahiran menjahit pukat, membuat ikan masin dan sambil-sambil menguruskan ibu saya," katanya.
Seutas pukat yang baik kualitinya berharga RM1,500 dan jika Zailan mengambil upah membaiki pukat itu dia mengenakan caj antara RM500 hingga RM1000 kerana jahitan yang dibuatnya seperti pukat baru. Masa dia menjahit pukat itu memakan masa yang lama.
Zailan berkata dia ada minat untuk membawa pelancong ke laut yang mahu mencandat sotong atau sekadar menghabiskan masa memancing di laut. Tetapi disebabkan ketiadaan peralatan keselamatan yang cukup dan perahunya juga sudah agak usang, dia bimbang keselamatan penumpangnya tidak terjamin.
Hasil laut yang dibawa naik oleh nelayan untuk dihidangkan kepada pelancong tempatan dan luar negara.
Bagaimanapun dengan keadaan ekonomi sekarang kebanyakan pukat yang rosak itu dijahit sendiri oleh pemilikinya bagi mengawal kewangan dan Zailan sudah ketiadaan pelanggan lagi. Lebih-lebih lagi apabila musim tengkujuh ini, dia menggunakan simpanannya sementara menunggu masa yang baik untuk turut ke laut.
Setakat ini, Zailan belum dilanda kesulitan ketika berada di laut dan kadangkala dia bermalam di lautan itu untuk mencandat sotong bagi memenuhi permintaan peraih dan peniaga makanan laut di kawasan tepian pantai berkenaan untuk mendapatkan bekalan hasil laut yang segar.
"Saya berharaplah kerajaan atau pihak berkuasa nelayan dapat membantu nelayan di sini. Kami sangat-sangat menghargai bantuan kerana sudah lama menunggu," katanya yang mahu mengumpul duit bagi menghantar ibunya ke Mekah. Jika dapat ke laut, pendapatan Zailan boleh menjangkau RM1,000 sebulan.
Zailan tinggal di alamat No 2/123, Kampung Pelindung, Beserah dekat Kuantan sejak berpindah mengikut ibu bapanya yang berasal dari Bachok untuk berniaga di Pahang. - KitaReporters
Hasil nelayan pantai... siput di tepi laut yang boleh dinikmati di kedai ikan bakar Tanjung Lumpur, Pahang.
Sotong segar celup tepong.
Ikan dibakar dengan petai di Tanjung Lumpur, Pahang.