Tokoh amal Ustaz Ebit Lew dalam misi kemanusiaan ke Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna pada Khamis dan Jumaat, 29 dan 30 Januari 2021 lalu mengunjungi Felda Sahabat, Lahad Datu.
Di salah sebuah kampung iaitu Kampung Tanjung Labian, Ebit Lew menghadiahkan 12 tangki air septik kepada penduduk untuk mendapat air bersih. Terdapat 350 rumah di kampung itu.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Ustaz Ebit Lew:
https://kitareporters.com/search?search=ebit+lew
Mendengar keluhan penduduk mengenai masalah bekalan air bersih, tanpa membuang waktu Ebit mencari kedai yang menjual tangki air septik untuk diletak di kawasan-kawasan strategik di kampung itu.
Dia berasa sayu melihat penduduk kampung itu hanya mengharapkan air hujan dan tiada bekas simpanan air.
Ebit juga melanggan dan menghadiahkan perkhidmatan WiFi untuk Internet bagi penduduk di Kampung Bangingod.
Ini kerana isyarat (signal) di kampung itu selama ini kurang baik. Ia menyukarkan para pelajar untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara online.
Untuk mendapat signal lebih baik, pelajar terpaksa pergi ke kawasan atau berada di tepi pantai.
Ebit meluahkan rasa terharu terhadap penduduk kawasan pedalaman Sabah yang kurang mendapat kemudahan asas dan memberi bantuan seadanya.
Baginya perkhidmatan WiFi Internet perlu digunakan sebaiknya oleh pelajar bagi mendapat pengajaran dan pembelajaran terbaik.
Dia menjelaskan bayaran kepada perkhidmatan Internet untuk penduduk di kampung itu setiap bulan.
Ebit turut menyampaikan 10 peranti tablet jenama Samsung dan 10 basikal kepada pelajar terpilih yang benar-benar susah.
Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana, PdP di Rumah (PdPR) diperkenal.
Namun kerana sejumlah tempat sukar mendapat akses Internet dan tiada peranti menyebabkan guru-guru terpaksa menghantar tugasan ke rumah pelajar-pelajar.
Ebit turun membeli barangan untuk membaiki beberapa rumah yang uzur. - Kredit foto: Ebie Lew Channel
Penduduk kampung memberi hadiah lukisan wajah Ebit Lew. Kredit foto: Ebit Lew Channel
Berikut adalah posting lengkap Ebit Lew dalam Instagramnya:
“Sayu rasa hati bila sampai kampung Tanjung Labian. Mereka tiada bekalan air. Cuma harapkan air hujan. Ada 350 buah rumah di sini. Saya belikan dan hadiahkan 12 tangki air diberikan pada mereka.
"Tak terbayang rasa bagaimana selama ini tadah air hujan. Dengan tong-tong. Banyak rumah tiada tangki air. Saya tanya beberapa kali sebab macam tak percaya. Kasihan mereka.
"Beberapa rumah mereka hari tu meletup musnah masa serangan Tandou 2013. Rasa bersalah. Sedang kita menikmati air. Mereka tidak pernah ada bekalan air. Cuma tadah air hujan. Semoga dimudahkan buat semuanya.”
“Pagi tadi ke kg bangingod Felda Sahabat Lahad Datu. Tak sangka dapat lihat rumah yang kecil sangat. Nak internet kena pergi tepi pantai dan atas titi.
"Kawasan ini ramai yang susah. Cikgu Yandy dan guru besar sk bangingod Tungku sendiri dapatkan nama yang memerlukan. Cikgu kata cikgu siap hantar kerja sekolah ke rumah pelajar.
"Nak pastikan semua belajar. Saya dapatkan internet dengan pasang di sebuah kedai. Kami akan bayar bulan-bulan until kegunaan anak di sini dan yang memerlukan. Di sebelah kedai sebelum jambatan."