YAYASAN Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) sentiasa menyantuni anak-anak seni tempatan terutama mereka yang sudah berusia. Pada Jumaat, 10 Julai 2020 lalu, Pengerusi YKAT, Datuk D.J Dave, telah menziarahi pelakon dan penyanyi veteran, Mimi Loma yang kini terlantar sakit selepas terjatuh di kediamannya. : KitaReporters
D.J Dave melawat Mimi Loma di kediamannya baru-baru ini. - Kredit foto: YKAT
Kehadiran D.J Dave ke situ adalah untuk menghulur sumbangan sebanyak RM1,000 bagi pihak YKAT dengan harapan dapat meringankan bebanan artis tersebut.
Mimi Loma atau Aminah Ismail, 74, terjatuh kerana tersadung kain dan akibat daripada itu tulang pinggulnya patah.
Beliau yang mengalami kecederaan itu sehari sebelum sambutan Aidilfitri bagaimanapun tidak segera mendapatkan rawatan.
Menurut anaknya, Sherina Othman, sehari selepas raya barulah penyanyi tersebut terasa sakit dan beliau kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Sehari sebelum raya hari mami jatuh, tersandung kain dan patah tulang pinggul.
"Dia ingatkan tak bahaya, tapi sehari selepas raya dia dah sakit dan saya hantar mami ke HKL. Doktor cakap ada keretakan pada tulang dan kena masuk hospital.
“Seminggu
selepas tu doktor buat pembedahan dan alhamdulillah okey tapi keadaannya agak
lemah sebab dia ada lung problem, jadi susah untuk dia telan makanan,” cerita
Sherina tentang keadaan ibunya.
Menurut
Sherina, keadaan Mimi Loma yang sukar bergerak itu menyebabkan beliau terpaksa
menggunakan lampin pakai buang.
Mimi Loma tidak dapat bergerak, hanya mampu baring selepas terjatuh sebelum hari raya Aidilfitri tempoh hari.
“Kalau nak
kira kos yang perlu saya keluarkan dalam sebulan tak dapat nak dijangka. Pernah
sekali, dalam satu hari sampai 10 kali tukar pampers sebab hari tu, mami ada
masalah perut.
“Boleh dikatakan dalam sebulan, sekurang-kurangnya empat pek. Selalunya saya akan topup kalau nampak dah kurang sebab kita tak tahu, kalau tiba-tiba perutnya meragam.
"Selain pampers, saya juga perlu tisu basah,” katanya tentang keperluan asas yang diperlukan sewaktu menjaga Mimi Loma.
Tambah
Sherina, ibunya itu bukan setakat tidak boleh bergerak, malah paru-parunya
juga bermasalah dan mata pula semakin kabur.
Jelasnya,
selain membeli lampin pakai buang, beliau juga perlu memperuntukkan kos untuk
membeli susu, di samping protein tambahan.
“Sepanjang mami sakit, ada juga rakan-rakan artis yang datang melawat selain saudara mara dan kawan-kawan,” katanya tenang.
Mimi Loma popular dengan lagu Bawah Rumpun Bambu, gubahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Sementara itu, D.J Dave berkata, pihak YKAT tidak akan berhenti memberi bantuan kepada ahli-ahlinya selagi termampu.
Beliau yang pernah mengadakan persembahan sama pentas dengan Mimi Loma berharap adik kepada Allahyarham Puan Sri Saloma itu akan cepat sembuh. - KitaReporters