PADA kala media melaporkan kes perceraian dan masalah rumah tangga makin menjadi-jadi ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemelesetan ekonomi ini, pujian harus diberikan kepada sebuah media berbayar tanah air yang tampil menonjolkan sisi baik sesebuah hubungan rumah tangga.
Baru-baru ini Astro Ria telah menerbitkan rancangan khas Borak Kelamin dengan topik menarik dan positif iaitu "Cinta Luar Biasa". Ia bagi menghuraikan tip-tip bagaimana mereka yang berpengalaman mengurus hubungan rumah tangga supaya terus kekal akrab serta bahagia dalam apa jua situasi mendatang.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan pengorbanan
Kredit foto: Facebook Edika Yusof
Bagi membicarakan topik itu, pihak penerbit telah menjemput seorang pelakon lama Edika Yusof ke studio.
Mungkin ramai yang tahu dan akui, Edika terkenal sebagai seorang suami yang setia dan penyabar dalam menjaga isterinya Norhidayah Yusri, yang lumpuh sejak 16 tahun lalu.
Edika yang telah menjangkau usia 54 tahun itu ditanya apakah tip atau keazaman dalam dirinya sehingga mendorong untuk beliau kekal setia terhadap isterinya, walaupun keadaan isterinya sebegitu rupa.
Beliau menjawab dengan tenang dan bersahaja, jika seseorang menjaga isteri dengan baik, maka kehidupan mereka keseluruhannya akan bertambah baik.
“Kita jangan hanya berserah kepada Allah tanpa lakukan sesuatu. Berusahalah untuk bantu isteri jadi lebih baik. Jangan pernah putus asa dan lari daripada masalah kerana ia tak membantu.
“Jaga isteri baik-baik, Insya-Allah rezeki kita pun akan dimurahkan. Ini yang saya nampak dalam hidup saya sendiri. Alhamdulillah, anak-anak pun baik, isteri makin berdikari. Syukur,” katanya dalam segmen tersebut.
Beliau turut ditanya soalan cemu emas, tentang keinginan untuk mendirikan rumah tangga baharu, memandang keadaan isterinya yang mungkin tiada harapan sembuh tersebut.
Menariknya, Edika mengakui bahawa ramai pihak yang cuba bertanya dan mahu beliau berkahwin lagi, termasuklah ibunya sendiri.
“Soal mahu kahwin lagi ni, bukan hanya orang luar yang tanya. Malah, ibu saya sendiri pernah mengutarakannya memikirkan hal anak-anak yang masih kecil dan keadaan isteri yang mungkin selamanya begitu,” katanya.
Namun pengalaman kehidupan lampaunya telah mendorong untuk beliau enggan berbuat demikian.
Menurutnya, beliau membesar dalam keluarga yang bapanya berpoligami sebelum ini. Justeru, beliau menyaksikan sendiri bagaimana ibunya bersusah payah berusaha membesarkan mereka adik beradik kerana tanggungjawab bapanya yang terpaksa dibahagi-bahagikan kepada keluarga lain.
Situasi itu telah mendorong dirinya untuk tidak berbuat demikian terhadap isterinya sekarang.
“Saya lihat kesusahan ibu membesarkan anak-anaknya. Seorang ibu sanggup berkorban apa saja untuk anak-anaknya. Jadi, saya lihat kenapa saya ingin melukakan hati isteri saya sebegitu..” katanya.
Kisah Edika ini mungkin jarang sekali kita jumpa dalam kalangan masyarakat kebanyakan. Namun, sudah pasti masih ramai suami atau lelaki yang memiliki sifat tanggungjawab dan setia terhadap isterinya seorang.
Walaupun begitu, ia tidak bermakna memilih untuk melakukan poligami itu suatu perkara yang sukar atau salah. Apatah lagi Nabi Muhammad SAW sendiri menggalakkan kita untuk berpoligami sekiranya suami tersebut memiliki kemampuan dari pelbagai segi, bukan sahaja kemampuan wang ringgit dan harta benda.
Semoga kisah ini menjadi inspirasi kepada kita semua dalam menelusuri kehidupan yang penuh pancaroba. - KitaReporter