
Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Masjid dan Bina Baharu Dewan Serbaguna Masjid Jamek Tuan Samad (MJTS) Permatang Sungai Dua, Kepala Batas, daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang berlangsung pada 15 April 2025 lalu.
Sehubungan itu, satu majlis penyerahan replika cek berjumlah RM2.1 juta bagi menjayakan pembinaannya dilakukan oleh Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato' Dr Mohamad Abdul Hamid merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) kepada Pengerusi MJTS Permatang Sungai Dua, Zakaria Mat Zain diadakan di tapak Dewan Serba Guna MJTS di Kepala Batas.
Terdahulu itu, Pihak MJTS telah mengemukakan permohonan bagi mendapat peruntukan daripada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim melalui surat bertarikh 13 Julai 2023.

Dr Mohamad Abdul Hamid (dua dari kanan) menyerah replika cek kepada Zakaria Mat Zain.
Berdasarkan lawatan penilaian tapak oleh Seksyen Projek Khas dan Seksyen Teknikal, Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang anggaran kos bagi Kerja-Kerja Membaik Pulih dan Menaik Taraf MJTS adalah berjumlah RM2,100,000.
Ia melibatkan skop kerja naik taraf bumbung, kerja-kerja elektrik, siling, cat, waterproofing, gutter dan pagar dengan jumlah kos sebanyak RM900,000 dan membina baharu dewan serba guna dengan jumlah kos RM1,200,000.
Selaras dengan Garis Panduan Permohonan Peruntukan Kerajaan Persekutuan Bagi Projek Bina Baharu, Naik Taraf Serta Baik Pulih Masjid dan Surau Di Seluruh Negara Bil. 1/2024, komitmen yang diperlukan bagi pelaksanaan projek ini adalah seperti berikut:
Kerajaan Persekutuan (60%) atau RM1,260,000; Kerajaan Negeri (30%) atau RM630,000; dan Kariah (10%) atau RM210,000.
Bagaimanapun, berdasarkan Mesyuarat Penyelarasan Bagi Projek Menaik Taraf MJTS Permatang Sungai Dua, Pulau Pinang pada 19 Mac 2025 lalu, pihak Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PPNPP) memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM810,000.00 sahaja berbanding komitmen Kerajaan Persekutuan yang diperlukan berjumlah RM1,260,000. Peruntukan daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM630,000.00 telah diluluskan bagi tahun 2025.
Pihak kariah juga telah memberikan komitmen untuk menyedia peruntukan berjumlah RM210,000.00.
Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang bertarikh 22 Mac 2025 telah meluluskan Permohonan Peruntukan Tambahan Berjumlah RM450,000.00 Bagi Kerja-Kerja Membaik Pulih Dan Menaik Taraf MJTS Permatang Sungai Dua.

Timbalan Pengerusi MJTS Permatang Sungai Dua, Mohamad Ibrahim Zainuddin mengucapkan terima kasih kepada kepada semua pihak, termasuk Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dr Mohamad melalui kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), kerajaan persekutuan kerana telah membantu bagi menjayakan projek itu dan dijangka dijalankan pada awal bulan Julai 2025 depan yang menelan kos belanja RM2.1 juta.
Katanya, semua anak kariah berasa bangga dan gembira sekali dengan peruntukan daripada kerajaan yang pertama kali dengan jumlah yang amat besar.
"Bila masjid telah mempunyai sebuah dewan yang besar berada di kariah ini, ia banyak memberi manafaat kepada anak kariah," katanya lagi.
Turut hadir di majlis itu, Pengarah Pembangunan Negeri Jabatan Perdana Menteri (ICU), Zairi Mat Ali; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Marzuki Hassan; Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato' Rosidi Hussin; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JHEAINPP, Norzli Mat; dan Pegawai Agama Daerah Butterworth daerah Seberang Perai Utara, Zulkhairy Ramli. - KitaReporters
Tags:
#masjid
#baik pulih
#pembaikan
#Seberang Perai Utara (SPU)
#Kepala Batas
#naik taraf
#bina baharu
#Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP)
#penaiktarafan
#Dr Mohamad Abdul Hamid
#Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang
#pembaikpulihan
#Masjid Jamek Tuan Samad
#dewan serba guna
#Permatang Sungai Dua
#Zakaria Mat Zain
#Pejabat Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PPNPP)
#Mohamad Ibrahim Zainuddin