Insan & Komuniti 02 Jul, 2025

Syabas masjid Al-Hasanah BB Bangi! Ulang tahun ke-25! Sasar jadi masjid terbaik Malaysia, ASEAN!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this


MASJID Al-Hasanah (MAH), Seksyen 9 Bandar Baru Bangi, Selangor dibina pada 1997 dan dirasmikan oleh Pemangku Sultan Selangor, Tengku Idris Shah Ibn Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 10 Mac 2000.

Dari sebuah pusat ibadat yang kecil, MAH mengorak langkah mendaki anak tangga sehingga dinobatkan masjid terbaik di Selangor pada tahun 2024, mengalah 440 masjid lain yang lebih popular dan hebat.

Apa rahsia MAH dapat memacu kejayaan gemilang itu? 

Wartawan Kitareporters (KR) Roslan Ibrahim menemu bual Nazir masjid berkenaan, Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman (NAZIR) untuk mendapatkan cerita sebenar sempena ulang tahun ke-25 Masjid Al-Hasanah. 

Ikuti temu bual eksklusif tersebut:


Reka bentuk MAH menggabungkan seni bina moden, dilengkapi kubah hijau yang menjadi mercu tanda utama Masjid Al-Hasanah.


KR: Boleh ceritakan serba ringkas mengenai Masjid Al-Hasanah, sejarah dan pembinaannya?

NAZIR: Masjid Al-Hasanah Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, Selangor dibina pada tahun 1990-an untuk memenuhi keperluan ibadah penduduk tempatan. Pembinaan dimulakan pada awal 1997 dan siap akhir 1997. Ia dibina di atas tapak seluas 2.2 hektar dengan kos  sekitar RM2 juta dan boleh memuatkan 3,000 jemaah.

Reka bentuknya menggabungkan elemen seni bina moden, menggunakan batu bata konkrit dan atap genting, serta dilengkapi dengan kubah hijau yang menjadi mercu tanda utama kawasan tersebut.

Solat pertama dilakukan pada waktu asar, yang diimamkan Allahyarham Prof Dr Haron Din. 

MAH dirasmikan pada 10 Mac 2000 oleh Pemangku Sultan Selangor, Tengku Idris Shah Ibn Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.


Ustaz Mohd Safian Abdul Rahman


KR: Apa keistimewaan MAH kepada jemaah, maklum balas masyarakat mengenai MAH?

NAZIR: MAH dikenali "Masjid Hijau" kerana kubah berwarna hijau dan reka bentuk yang mengutamakan pengudaraan semula jadi melalui sisipan angin pada dinding sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penghawa dingin.

Ia dilengkapi ruang solat dua tingkat, bilik wuduk, bilik kuliah, perpustakaan, kedai buku, kafe, Anjung Nikah, bilik menyusu untuk ibu dan bayi, dewan seminar, pusat tahfiz, taman permainan kanak-kanak, bilik pengurusan jenazah dan koperasi dan kedai gunting rambut, cuci kereta.

MAH sering menganjurkan pelbagai program seperti kuliah agama, kelas mengaji, gotong-royong, program bantuan asnaf, derma darah, dan kerjasama dengan pertubuhan Islam seperti MAPIM, contohnya program "Bangi Berselawat" yang menggabungkan persembahan qasidah, silat, dan tausiyah dari tokoh agama terkenal.

Ia turut mengadakan kelas agama untuk warga emas, tahfiz dan seramai 150 pelajar KAFA yang dinobatkan KAFA terbaik daerah Hulu Langat.


MAH dinobat masjid terbaik di Selangor.    


MAH turut terpilih satu daripada 11 rumah ibadat di Malaysia untuk program "Rumah Ibadat Hijau".


KR: Bagaimana MAH boleh dinobatkan masjid terbaik di Selangor?

NAZIR: Masjid Al-Hasanah pernah menerima pengiktirafan "Masjid Terbaik" di Selangor pada 5 Disember 2024 atas usaha dan pencapaiannya mengimarahkan masjid serta menyumbang kepada masyarakat. Ia memenuhi empat kategori utama iaitu pusat ibadah, pusat ilmu, pusat dakwah dan pusat keprihatinan setempat.

Masjid itu turut terpilih satu daripada 11 rumah ibadat di Malaysia untuk program "Rumah Ibadat Hijau", yang mempromosikan amalan mesra alam. Ia mendapat pensijilan ISO 9001:2015

Kami juga mengamalkan program kitar semula barangan buruk dan menggalakkan orang ramai dan restoran sekitar MAH menghantar minyak terpakai untuk diproses semula. 

Bagi menyokong isu pemanasan global, masjid ini menggunakan lampu LED dan tenaga solar.    

Di belakang masjid, kami menanam tanaman menggunakan kaedah hidroponik dan menjual jus pegaga untuk membantu asnaf. Kami turut menanam anggur, manggis selain membela ikan koi. Saya difahamkan ikan koi bagus untuk rawatan anxiety, healing, menghilang kesedihan dan kemurungan.

Alhamdulillah, ketika mengunjungi Singapura, saya mendapat banyak idea dari masjid di negara jiran itu untuk digunakan di MAH. Apa yang penting jika kita mahu "menjaga" masjid, mesti ada jiwa masjid, paling penting boleh tidur di masjid.


Program Bangi Berselawat yang diadakan di MAH pada 2024.


KR: Program ulang tahun ke-25 MAH, boleh ustaz ceritakan mengenai sambutan itu, apa aktiviti yang dirancang?

NAZIR: Program ulang tahun ke-25 MAH (Karnival Jubli Perak) bermula dari 24-27 Julai 2025. Ia juga bagi mengeratkan ukhuwah selain menggalakkan lebih ramai umat Islam mengimarahkan MAH.

Antara aktiviti diadakan ialah Forum Perdana, Kuliah Dhuha, Ceramah Kesihatan dan Qiamullail. Ada juga pertandingan anyam ketupat, origami, silat, azan, nasyid, hafazan, khutbah, mewarna, dai cilik, e-sukan, pertunjukan silap mata dan bazar jualan makanan. Beberapa artis terkenal akan mengambill bahagian di Booth Selebriti.

Usrah Seni akan menampilkan artis, antaranya Zizi Kirana, Ustazah Nur Farhatul Fairuzzah dan Black Hanifah. MAH juga mengadakan Pameran Artifak Rasulullah SAW, Bangi Berselawat, Perkahwinan Perdana, Haflah al-Quran, Kuliah Dhuha bersama Ustazah Asma Harun dan Bicara Mufti. 

Penutup akan diadakan acara cabutan bertuah dan majlis penghargaan.

Karnival Jubli Perak MAH akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi. Pada malam itu juga kita menjemput semua umat Islam dalam program, "Bangi Berselawat".


Setiap program keagamaan di MAH sentiasa menerima sambutan baik masyarakat Islam sekitar Bangi dan kawasan Lembah Klang.


KR: Apa harapan, perancangan masa depan dan ke arah mana mahu di bawa MAH dalam tempoh 10 atau 20 tahun lagi?

NAZIR: Insya-Allah untuk tempoh 10 hingga 20 tahun lagi, MAH akan terus memenuhi peranan sebagai "Masjid Pusat Komuniti Unggul". Kami akan memperkasa pengurusan masjid berteraskan profesionalisme dan pensijilan ISO. Infrastruktur dan fasiliti moden yang mesra alam akan dipertingkat.

Fokus juga akan diberi kepada pembangunan generasi muda dan pendidikan sepanjang hayat. Insya-Allah MAH akan menjadi peneraju masjid hijau dan digital. Malah, kami mempunyai harapan meletakkan masjid ini sebagai masjid contoh di Malaysia dan Asia Tenggara.

Dalam fasa kedua pembangunan MAH, kami membina pagar, bumbung untuk solat, pemulihan mihrab dan kerja pemulihan dewan seminar, bilik sumber, dataran kafa, ruang serba guna dan bilik-bilik tutorial selain wakaf bagi jemaah berehat.

Fasa 2 projek Masjid Al‑Hasanah di Bandar Baru Bangi memerlukan kos RM7.5 juta dan Tabung Wakaf Pemulihan Masjid dibuka sejak 8 November 2024 untuk memastikan usaha baik pulih dan penambahbaikan berjalan mengikut perancangan.

Sesiapa yang mahu memberi sumbangan boleh disalurkan ke RHB Islamic Bank (21245760013108). - KitaReporters

24
10
0
10
0
You will be interested