
Kita sering baca daslam media sosial pelbagai masalah yang dihadapi wanita Melayu. Mereka jadi mangsa penderaan, ditinggal suami dengan anak-anak yang ramai, didera mental dan fizikal dan macam-macam lagi.
Ramai antara mereka sangat penat dan burnt out (keletihan melampau) lebih-lebih lagi jika ada segelintir lelaki yang masih mengamalkan dasar "budaya patriarki" di mana wanita mesti menjadi isteri yang sempurna dan taat pada suami walau wanita juga pencari nafkah dalam rumah tangga.
Dalam ketaatan mereka, ramai yang sedang berperang dalam sunyi. Wanita ditekan untuk jadi isteri sempurna, ibu mithali, pekerja berdedikasi. Mereka bertahan sambil menelan luka yang tidak terlihat.
Budaya patriarki yang mengangkat lelaki sebagai raja mutlak dalam rumah tangga telah menjadikan wanita sebagai mangsa sistem, bukan pasangan setara.
Masih ada dalam budaya Masyarakat Melayu masa kini wanita diajar untuk taat tanpa suara. Isteri dipaksa sabar walau dipukul, dihina, dikhianati demi mendapat ganjaran dan "pahala".
Masyarakat pula banyak memihak pada suami walau isteri didera secara fizikal dan emosi. Ramai wanita tak tahu hak mereka dalam Islam, sebab lebih banyak diajar "derhaka itu neraka", daripada "adil itu wajib".
Bayangkan contoh ini, seorang ibu di dapur, letih dan penat selepas kerja. Terpaksa, berkejar ambil anak dari sekolah, ada yang menjaga mak ayah yang uzur dan sakit, dan dalam masa sama kena urus segala bil dan perbelanjaan kerana bekerja.
Semua nampak “normal” kan? Tapi dalam senyap, ramai wanita Melayu kita sebenarnya bergelut dengan tekanan, depresi, dan kebimbangan hingga menjejaskan kesihatan mental mereka.

Di Malaysia, wanita terutamanya Melayu, sering memikul tanggungjawab berganda sebagai pekerja, ibu, isteri dan anak. Tekanan budaya, stigma masyarakat dan cabaran ekonomi menjadikan mereka lebih mudah terdedah kepada masalah mental.
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM): 18.3% wanita alami gejala kemurungan, berbanding lelaki (10.4%). Dalam kalangan remaja, perempuan pula lebih ramai menunjukkan pemikirandan niat untuk membunuh diri.
Sementara itu dalam tahun 2023 pula, NHMS melaporkan 5.4% wanita di Malaysia mengalami depresi berbanding 3.9% lelaki. 36.1% remaja perempuan pula dilaporkan mengalami simptom depresi dan kecelaruan emosi, berbanding 17.7% remaja lelaki.
Malah Kajian tempatan juga mendapati 34.5% wanita Melayu dalam masyarakat kita pernah mengalami gejala depresi dan 27.5% daripadanya pernah didiagnosis secara klinikal.

Mengapa wanita Melayu paling rapuh dan sensitif serta mudah mendapat sakit mental. Antara faktor yang dapat penulis kumpulkan ialah beban budaya dan tanggungjawab berganda.
Mereka terlalu banyak tanggungjawab dan harus nampak kuat dan sempurna sebagai ibu, isteri, anak dan pekerja. Mereka harus taat pada suami dalam apa juga situasi. Tekanan kewangan, terutama di bandar dan hidup dalam kategori B40, di mana kos hidup makin meningkat.
Stigma masyarakat , di mana masalah mental sering dilabel sebagai “lemah iman” atau “meroyan,”. Ini menjadikan mereka malu untuk minta tolong kerana stigma sakit mental yang dipandang negatif oleh masyarakat.
Kajian sebuah NGO kesihatan mental mendapati hanya sekitar 20% sahaja golongan wanita yang berani mendapatkan rawatan sebenar; selebihnya pendam sendiri dan menjadi tekanan dalam diri mereka.
Bila tekanan ini berlarutan, ramai wanita alami kemurungan terpendam (silent depression). Mereka tidak dapat sokongan emosi, malah disalahkan bila "tak cukup sabar" dan tidak tahan dengan penderitaan yang mereka lalui.
Trauma berpanjangan ini boleh membawa kepada penyakit mental serius seperti anxiety disorder, skizofrenia, Bipolar Disorder, PTSD dan psikosis.

Jadi sebagai masyarakat dan ahli keluarga apa yang boleh kita bantu wanita wanita ini. Pertama kuatkan sistem sokongan (support syatem) kita terhadap mereka.
Keluarga dan komuniti mestilah membantu wanita wanita ini dan jangan biarkan wanita yang ada masalah, berjuang seorang diri. Ambil peduli jika ada yang meluah dalam media sosial dan jangan kecam mereka dengan melemparkan kata kata yang menambah penderitaan mereka.
Selain itu, wanita itu sendiri mesti kuat, jangan terlalu menekan diri sendiri dengan bersabar sehingga memudaratkan diri.
Ingat ini: "Sabar bukan alasan untuk berdiam diri, reda bukan alasan untuk dibiar. Wanita Melayu harus bangkit bukan derhaka, tetapi untuk menyelamatkan jiwa sendiri."
Justeru dalam hal ini, masyarakat mesti diberi pendidikan dan maklumat mengenai kesihatan mental di sekolah dan tempat kerja. Hapuskan stigma pesakit mental dan kemurungan.
Mungkin jika media sosial yang terbuka tak sesuai untuk mereka luahkan apa yang mereka rasa, wujudkan ruang selamat untuk mereka meluahkan apa yang terpendam melalui kaunseling dan luahan secara tertutup. Bantuan semangat dan emosi secara berterusan mesti diberikan kepada mereka.

Mungkin sudah tiba masanya kita semua, sebagai anak, kawan, jiran, dan masyarakat, perlu lebih peka dan prihatin terhadap masalah mental. Wanita sebenarnya terlalu berharga untuk dibiarkan menderita dan berjuang seorang diri.
Sumbangan wanita mungkin nampak kecil di mata masyarakat, namun hakikatnya mereka adalah nadi yang menghidupkan keluarga, komuniti dan negara.
Tanpa mereka, banyak perkara tidak akan berjalan seindah dan seharmoni seperti sekarang. Jadi jagalah kesihatan mental wanita agar kehidupan kita lebih harmoni, sejahtera dan penuh makna. - KitaReporters