Menumpang tidur di masjid mungkin bukan perkara luar biasa bagi sesetengah pengembara, namun cara seorang lelaki Rusia melakukannya di Masjid Jamek Larkin, Johor, telah membuka mata ramai tentang nilai adab dan rasa hormat terhadap rumah ibadah.
Kisah ini dikongsikan oleh pengguna media sosial @ijadjohorian pada 8 Disember 2025 lalu, yang terserempak dengan pelancong tersebut dikenali sebagai Peter ketika mahu menunaikan solat asar.
Berkain pelikat dan duduk bersendirian di satu sudut masjid, Peter kelihatan tidak mengganggu sesiapa, namun jelas menanti sesuatu.
Menurut Ijad, Peter dilihat masih di lokasi sama ketika masuk waktu maghrib. Perkara itu menimbulkan rasa curiga yang akhirnya mendorongnya menyapa.

Apabila dihampiri, barulah Peter menjelaskan bahawa dia sedang mengembara dari Vietnam, Thailand dan kini Malaysia.
Masjid baginya sebuah tempat yang aman, namun dia tidak mahu tidur tanpa izin kerana bimbang dianggap menceroboh.
“Saya mahu minta izin. Saya tidak mahu mendatangkan
masalah,” katanya ringkas.
Walaupun bukan Muslim, Peter tetap memilih untuk menghormati peraturan setempat. Sikap itu membuatkan Ijad nekad membantunya bertemu imam.

Setelah memaklumkan kepada Imam Faiq, imam menjelaskan bahawa tidur di koridor masjid dibenarkan, namun ruang utama solat tetap tidak boleh digunakan untuk bermalam.
Imam dan bilal turut turun menemui Peter bagi menyampaikan sendiri kebenaran itu agar dia berasa tenang.
Peter yang sejak awal kelihatan gelisah, akhirnya
menarik nafas lega sebaik mendengar penjelasan imam.
“Terima kasih. Ia sangat bermakna,” katanya dalam nada yang lebih tenang.

Ijad menyifatkan tindakan Peter itu sebagai sesuatu
yang jarang dilihat daripada pelancong luar, menghormati budaya setempat dan
meminta izin secara formal sebelum melakukan sesuatu.
“Masuk kandang lembu menguak, masuk kandang kambing mengembek. Dia faham adab tu,” tulisnya.

Walaupun sudah dibenarkan tidur di koridor, Peter pada awalnya masih kelihatan berat hati apabila dimaklumkan khemahnya tidak boleh dipasang di ruang utama masjid.
Namun apabila diberitahu bahawa soket elektrik juga terdapat di koridor, wajahnya kembali bersinar.

Baginya, soket itu bukan sekadar untuk telefon, ia adalah nadi seluruh pengembaraannya, peta, tempahan hotel, tiket penerbangan dan segala bentuk komunikasi.
Setelah ditunjukkan lokasi yang sesuai, Peter akhirnya kelihatan benar-benar selesa.
Ketika subuh keesokan hari, Peter sudah tiada di kawasan masjid. Seperti angin pengembara, dia kembali meneruskan perjalanan tanpa meninggalkan jejak kecuali cerita baik yang singkat.

Menurut Ijad lagi, Peter memaklumkan bahawa dia akan berada di Johor Bahru selama beberapa hari sebelum bergerak ke Kuala Lumpur, kemudian mengambil penerbangan ke Bali, destinasi seterusnya.
Walaupun pertemuan itu hanya sementara, ia meninggalkan kesan mendalam kepada jemaah serta sesiapa yang membaca kisah tersebut.
Masjid bukan hanya tempat ibadah, tetapi ruang selamat yang mampu menenangkan sesiapa sahaja yang datang dengan niat baik.
“Sekurang-kurangnya dia tahu masjid tempat selamat dan kita tidak boleh sesuka hati menghalau orang,” tulis Ijad mengakhiri catatan. - KitaReporters
