Insan & Komuniti 18 Oct, 2025

Sistem Giliran Pintar di hospital diperluas! Johor pastikan khidmat kesihatan lebih cekap, mesra!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Kerajaan Johor terus melangkah ke hadapan dalam usaha menjadikan sistem kesihatan negeri itu lebih cepat, cekap dan mesra rakyat melalui pelaksanaan Smart Queue System (Sistem Giliran Pintar atau SQS) di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.


 

Ling Tian Soon melihat cara pelanggan membuat janji temu hospital melalui sistem SQS ketika membuat tinjauan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru pada 16 Oktober 2025.


Inisiatif digital ini dilihat sebagai satu transformasi penting untuk pesakit berurusan di hospital kerajaan, khususnya di klinik pakar yang sering menjadi tumpuan ramai setiap hari.

SQS membolehkan pesakit mendapatkan nombor giliran dan membuat janji temu secara dalam talian tanpa perlu beratur panjang atau berulang kali ke kaunter pendaftaran. Ia sekali gus mengurangkan kesesakan serta mempercepat proses rawatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, sistem itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Katanya, dana itu disalurkan bagi memastikan rakyat mendapat manfaat langsung daripada kemudahan digital yang lebih berkesan dan mudah diakses.

“Sistem ini mula digunakan secara berperingkat-peringkat sejak 19 September 2025 lalu. 

"Setakat ini, sebanyak 17 daripada 33 klinik pakar telah menggunakannya, dengan hampir 30,000 pesakit telah memuat turun dan menggunakan sistem tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada 16 Oktober 2025 lalu.



Ling Tian Soon menghubungi terus pihak pembekal perkhidmatan SQS bagi mendapatkan penjelasan berhubung gangguan yang berlaku.


Namun, pelaksanaan awal SQS tidak terlepas daripada cabaran teknikal memandangkan pada minggu lalu, berlaku kelewatan selepas pembekal sistem mengaktifkan SQS secara serentak di 10 klinik pakar.

Langkah itu menyebabkan sistem menjadi perlahan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pesakit yang hadir untuk mendapatkan rawatan.

“Saya turun sendiri ke Poliklinik HSA untuk meninjau keadaan di lapangan dan terus menghubungi pembekal bagi memastikan isu teknikal ini diselesaikan pada minggu ini juga,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan pantas diambil bagi mengelak gangguan yang lebih serius kepada perkhidmatan rawatan di hospital utama negeri itu.

“Saya juga akan datang semula pada minggu hadapan untuk pemantauan susulan bagi memastikan sistem berjalan lancar seperti dirancang,” tambahnya.


Penyediaan kod QR bagi klinik yang mempunyai ramai pesakit warga emas juga turut diteliti cadangannya.


Ling berkata, sasaran kerajaan Johor adalah untuk memastikan semua 33 klinik pakar di bawah HSA menggunakan SQS sepenuhnya sebelum hujung tahun 2025.

Sebagai tambahan, beliau mencadangkan supaya hospital menyediakan pilihan mencetak kod QR bagi klinik yang mempunyai ramai pesakit warga emas.

Langkah itu, jelasnya, penting agar pesakit berusia tidak perlu bergantung sepenuhnya pada penggunaan telefon pintar.

“Transformasi digital ini bukan sekadar soal teknologi, tetapi juga soal keselesaan dan maruah pesakit. Kita mahu setiap lapisan masyarakat mendapat manfaat tanpa sebarang kesulitan,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan Johor akan terus bekerjasama rapat dengan pihak hospital dan Kementerian Kesihatan bagi memperluas pelaksanaan sistem digital di hospital awam lain di negeri ini.

“Matlamat kita jelas, iaitu memastikan rakyat Johor mendapat akses rawatan yang lebih cekap dan mesra pengguna, selaras dengan visi menjadikan negeri ini peneraju sistem kesihatan moden di Malaysia,” tegasnya. - KitaReporters


Ling Tian Soon mendengar maklum balas petugas HSA  dalam usaha menyediakan perkhidmatan  kesihatan terbaik kepada pelanggan.

15
14
0
8
0
You will be interested