Insan & Komuniti 26 Aug, 2025

Kalau pasang Jalur Gemilang, pasang dengan betul! Tanda kedaulatan, penghormatan! Jangan perlekeh!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this


Semangat cintakan negara hendaklah diterapkan melalui pemasangan bendera  Jalur Gemilang menjelang sambutan kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini.

Sehubungan itu, mereka yang menaikkan bendera negara Malaysia itu diingatkan agar memasangnya dengan betul sebagai tanda kedaulatan dan pengormatan.

Seorang suri rumah Zaiton Ahmad berkata, dia sentiasa memasang bendera Jalur Gemilang setiap kali sambutan kemerdekaan negara.

"Bendera adalah lambang kepada kedaulatan negara yang perlu dihormati dan tidak memperlekehkannya.

"Perbuatan memasang bendera terbalik adalah sikap tidak menghormati dan patut diambil tindakan," katanya.


Mohammed Azraf Abdul Razal (kiri) bersama mengedarkan Jalur Gemilang kepada seorang peniaga di Taman Kaya.


Peniaga Shafie Hamid pula berkata, mereka yang memasang Jalur Gemilang secara tidak betul apatah lagi terbalik jelas mempersenda bendera negara.

"Saya harap tindakan perlu diambil kepada mana-mana rakyat yang tidak peka dan tidak menghargai perjuangan orang dahulu dalam memerdekakan negara," katanya.

Beliau sedar sikap toleransi hendaklah dipupuk, namun rakyat perlu  menjaga sensitiviti sesama mereka khususnya dengan menghormati bendera negara.


Sebahagian ahli jawatankuasa Rukun Tetangga Taman Kaya sedang mengedarkan Jalur Gemilang kepada seorang penduduk di taman itu.

Sementara itu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Kaya, Taiping mengambil inisiatif dengan mengedarkan bendera Jalur Gemilang kepada penduduk dan peniaga sebagai galakan untuk memeriahkan bulan kemerdekaan ini.

Pengerusi RT Taman Kaya, Mohammed Azraf Abdul Razak berkata, pengedaran Jalur Gemilang itu dibuat bagi memastikan setiap rumah penduduk dipasang dengan Jalur Gemilang.

“Kita mahukan penduduk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kesetiaan dan perpaduan kita kepada negara,” katanya.

Beliau berharap penduduk di Taiping memasang Jalur Gemilang dengan betul demi memastikan keharmonian masyarakat. - KitaReporters

14
13
0
10
0
You will be interested