"Kemerdekaan bukan sekadar mengibar bendera tapi membebaskan diri daripada menjadi hamba dunia, penghambaan nafsu, bisikan syaitan dan sistem yang masih mengikat kita. Namun, Malaysia yang akan menyambut 68 tahun kemerdekaan, tapi adakah kita benar-benar memiliki jiwa merdeka?" - KitaReporters

"Kemerdekaan bukan sekadar mengibar bendera tapi membebaskan diri daripada menjadi hamba dunia, penghambaan nafsu, bisikan syaitan dan sistem yang masih mengikat kita.
"Merdeka bukan hanya diukur melalui pembebasan daripada penjajahan, tetapi membebaskan minda dan jiwa daripada belenggu kejahilan, ketakutan, dan pemikiran sempit. Lebih penting tunduk kepada Allah.
"Namun, Malaysia yang akan menyambut 68 tahun kemerdekaan, tapi adakah kita benar-benar memiliki jiwa merdeka? Apakah kita bersedia mengeluarkan diri dan minda kita daripada semua bentuk penjajahan atau belenggu?," kata Pof Madya Dr Syarul Azman Shaharuddin, pensyarah Jabatan Dakwah dan Usuluddin, Universiti Islam Selangor (UIS).

Effandi Nazila Abdullah (kanan) memberi cenderahati kepada Dr Syarul Azman Shaharuddin.
Beliau menyampaikan ceramah bertajuk, Jiwa Merdeka, Cabaran Umat Akhir Zaman sempena Kuliah Ambang Merdeka di Surau Ar-Raudhah (SAR), Seksyen 3, Bandar Baru Bangi. Turut hadir, Timbalan Nazir Masjid Al-Umm, Effandi Nazila Abdullah dan Pengerusi SAR, Kamarol Zaman Saban.
Program itu anjuran bersama Surau Ar-Raudhah, Koperasi Helwa, Pertubuhan Helwa dan Ikram Bandar Baru Bangi. Pelbagai aktiviti diadakan, antaranya Ceramah Kesihatan, Gerai Jualan Merdeka dan Saringan Kesihatan.
Katanya, kemerdekaan adalah anugerah tidak ternilai, hasil perjuangan generasi terdahulu yang berkorban nyawa dan tenaga demi membebaskan tanah air daripada penjajahan. Namun, kemerdekaan fizikal semata-mata tidak menjamin kebebasan yang hakiki.

Sebahagian ahli jawatankuasa bergambar kenangan selepas program Kuliah Ambang Merdeka: Jiwa Merdeka, Cabaran Akhir Zaman.
"Kemerdekaan sebenar tidak terbatas pada kebebasan negara, tetapi pembebasan jiwa daripada menjadi hamba dunia kepada hamba Allah. Dalam dunia moden penuh dengan godaan material dan krisis nilai, cabaran akhir zaman menuntut ketahanan jiwa tinggi agar tidak terperangkap dalam dunia yang melalaikan.
"Dalam Islam, kebebasan sejati bukanlah apabila seseorang itu bebas melakukan apa yang diingini tanpa batasan, tetapi apabila jiwanya tunduk dan patuh kepada perintah Allah. Justeru, generasi muda perlu mempunyai jiwa yang besar, bukan hanya menjadi pengikut atau "yes man" tapi berdisiplin dan mempunyai prinsip.
"Seorang Muslim yang merdeka, jiwanya tidak tunduk kepada tekanan materialistik, tidak menjadi hamba kepada populariti, kekayaan, hawa nafsu atau "bag kuning" tetapi keredaan Allah sebagai matlamat utama kehidupan," katanya.

Ada Jualan Merdeka sempena program Kuliah Ambang Merdeka di Surau Ar-Raudhah, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Kita kini, katanya lagi, pada era sangat mencabar, penuh ujian atau disebut fitnah akhir zaman seperti penyebaran maklumat palsu dan budaya kebencian dalam media sosial, krisis identiti remaja Muslim, keruntuhan akhlak, mengabaikan al-Quran dan ibadah asas seperti solat dan penyebaran ideologi songsang dan liberal.
"Cabaran-cabaran ini menjadikan ramai dalam kalangan umat Islam terperangkap dalam penjajahan minda dan spiritual. Tanpa iman dan ilmu yang kukuh, seseorang mudah hanyut dalam dunia moden yang memuja kebendaan dan keseronokan sementara.
"Generasi muda berperanan penting sebagai pemimpin masa depan dan ejen pembaharuan dalam masyarakat. Maka, mereka bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, tetapi membina kekuatan rohani dan akhlak.
"Jiwa merdeka dalam kalangan generasi muda Muslim bermaksud berani menyuarakan kebenaran dan menentang kezaliman, ada prinsip hidup berlandaskan syariat Islam, tidak terpedaya dengan budaya hidup mewah dan hedonisme selain rajin mendekati al-Quran, bersolat, dan memperkukuh hubungan dengan Allah," tanbah beliau.

Penerbit dan usahawan, Nor Hairulnizam Wahid menjual buku tulisannya sempena Program Kuliah Ambang Merdeka.
Dr Syarul Azman berkata, kehidupan tidak boleh lari daripada masalah tapi tanpa persiapan dan bekalan akhirat, kematian pun belum tentu menyelesaikan masalah.
"Kewujudan telefon bimbit pun pasti ada masalah jika kita tidak tahu cara menanganinya. Usah jadi hamba gajet itu sebaliknya kita memiliki kekuatan diri untuk menggunakan mengikut suruhan agama.
"Gunakan telefon bimbit untuk mendekatkan diri kepada Allah, hati pasti tenang bukan menelan semula maklumat di dalamnya sehingga ustaz Google pun kita jadikan guru, fahaman liberal jadi panduan dan "bag kuning" jadi pengikut setia.
"Cari ustaz yang betul di surau atau masjid, guru ada tauliah agama selain kita mengawal nafsu dan mengelak menjadi mangsa penipuan media. Lebih penting jiwa merdeka ialah kita bebas daripada penghambaan dunia," katanya. - KitaReporters

Usahawan muslimah mengambil peluang program Kuliah Ambang Merdeka untuk menjual pelbagai produk barangan dengan harga berpatutan.