Insan & Komuniti 28 Oct, 2024

Pupuk pekerti mulia! 50 pelajar Sekolah Islam Adni sertai program Ramah Mesra warga emas di Mahmudah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sebahagian pelajar mendengar ucapan perasmian program berkenaan.


IBARAT peribahasa ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ justeru ia menjadi titik tolak kepada program Ramah Mesra bersama penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor dengan Sekolah Islam Adni, Ampang, Selangor pada 21 Oktober 2024.

Disertai 40 pelajar sekolah rendah, 10 pelajar menengah dan tujuh guru pengiring mereka hadir ke PJMM untuk melahirkan generasi muda yang mampu merealisasikan tanggungjawab sosial dengan nilai murni bagi menyantuni warga emas di pusat berkenaan. 

Guru Bimbingan dan Kaunseling sekolah berkenaan, Nurdiyana Najwa Kashim, berkata program itu juga salah satu usaha sekolah berkenaan menyokong Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dengan menghargai dalam kalangan warga tua meneruskan kelangsungan hidup.


Azman Rasman memberi penerangan kepada pelajar mengenai sejarah penubuhan PJMM.


Menurutnya, program itu dirancang rapi beberapa bulan kerana ia amat bersesuaian serta bertepatan dalam melakukan terapi jiwa dan minda pelajar supaya berubah menjadi insan yang menghormati warga emas termasuk ibu bapa.

Tambahnya, jika sebelumnya pelajar sudah dipupuk dengan nilai akhlak mulia hasil didikan ibu bapa di rumah namun keadaan itu berbeza apabila seseorang membesar dan berada dalam kelompok komuniti kerana mereka perlu memahami masalah yang berlaku kerana ada warga emas kurang bernasib baik.

“Apabila diberi penerangan dan taklimat ringkas oleh pengurusan PJMM pelajar ini memahami kenapa warga emas berkenaan berlindung di pusat jagaan dan mereka berasa seronok apabila dapat menggembirakan hati penghuni yang disantuni,” katanya dalam ucapan pada program berkenaan. 

Ketibaan guru dan pelajar sekolah itu disambut oleh pengurusan PJMM yang diketuai Pengerusinya, Azman Rasman. Sebelum mendengar taklimat mengenai penubuhan PJMM dan menziarahi warga emas terlantar sekolah berkenaan menghulurkan sumbangan dana serta pelbagai barangan keperluan harian.


Nurdiyana Najwa Kashim (kanan) bersama-sama rakan guru Sekolah Islam Adni menyerahkan sumbangan kepada Azman dan Sazali Mohiden (dua dari kiri).


Nurdiyana Najwa juga mengingatkan pelajarnya supaya sentiasa berhati mulia, bersopan santun dengan orang lebih tua kerana walaupun berada dalam zon selesai sebagai komuniti masih ada tanggungjawab sosial seperti membantu mereka ditimba musibah.

Menurutnya, jika bukan sekarang, apabila sudah besar nanti, berjawatan penting dan ada tanggungjawab untuk dilaksanakan jangan sekali-kali meminggirkan warga emas kerana mereka juga aset penting negara sebelum tersisih.

“Paling penting dan berasa bertuah apabila program ini mendapat sokongan dan kerjasaama daripada ibu bapa apabila terpanggil membantu pihak sekolah menjayakan program kemasyarakatan yang memberi infak berguna kepada anak mereka.

“Saya juga amat kagum dengan pihak pengurusan PJMM yang begitu komited menjaga serta mengurus warga emas dengan kemudahan asas sempurna dan persekitaran bersih yang memberikan keadaan selesa kepada penghuni walaupun terpaksa bergantung kepada infak dan sumbangan daripada orang ramai, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan,” ujarnya lagi.


Para pelajar mendengar penerangan Azman mengenai warga emas yang uzur dan terlantar di atas katil.


Sementara itu seorang pelajar yang ditemui, Abdul Warith Azlan, berkata ini kali pertama dia mengunjungi pusat jagaan seperti PJMM berkenaan dan berasa agak keliru apabila melihat ramai warga emas disisihkan oleh ahli keluarga khusus anak-anak.

“Lidah saya kelu tidak dapat berkata apa-apa melihat warga emas ini terutama yang uzur duduk di atas katil sendirian tanpa belaian orang tersayang namun disantuni dengan baik oleh petugas PJMM,” katanya.

Rakan beliau, Ain Farisya Khairul Anuar, pula berkata dia berasa sedih melihat warga emas kerana ada sesetengahnya terpaksa bergerak menggunakan kerusi atau bertongkat selain terpaksa mengagahi tangan untuk menyuapkan makanan ke mulut.

“Dalam keadaan sedemikian seharusnya ada anak atau saudara mara terdekat untuk membantu mereka meneruskan kehidupan kerana jika seorang bapa atau ibu jasa serta pengorbanan mereka sudah tentu besar dan tidak ternilai,” ujarnya.


 

Pelajaar-pelajar Sekolah Islam Adni merakamkan kenangan dengan seorang warga emas, Pakcik Ariffin selepas beliau menyampaikan sebuah lagu bagi menghiburkan pelajar-pelajar itu.


Sementara itu, Azman berkata, PJMM amat berbesar hati menerima kunjungan pelajar untuk membuat program khidmat sosial kerana ia mampu membentuk keperibadian mulia serta menanam sikap bertanggungjawab terhadap ibu bapa.

“Di pusat jagaan ini mereka boleh melihat dengan mata sendiri penderitaan warga emas apabila usia sudah lanjut dengan menghidap pelbagai penyakit yang tidak sanggup diuruskan keluarga sendiri dan dibiarkan sendirian di PJMM,” jelas beliau.

Kepada orang ramai atau pelbagai pihak yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai PJMM atau menyumbangkan bantuan dana kewangan seperti wang zakat dan sebagainya boleh menghubungi Azman menerusi nombor telefon 019-977 7419, Muhammad Syafiq (017-378 6804) dan Sazali Mohiden (019-368 8142). - KitaReporters


Pelajar Sekolah Islam Adni menyampaikan lagu 'Maafkan Kami' untuk menghiburkan warga emas.

21
9
0
13
0
You will be interested