Insan & Komuniti 26 Oct, 2024

Diari Mama Masscom| Profesion kewartawanan tercemar! Banyak tak bertauliah! Ramai citizen journalist!

@hariyati ariffin
Mantan Pensyarah Kanan , dalam bidang Kewartawanan, Penyiaran dan Komunikasi di UiTM Shah Alam.

Share this


Suatu ketika dulu, pada era media konvensional, profesion kewartawanan sangat dipandang tinggi sebagai kerjaya yang boleh dibanggakan dan dipercayai sumber beritanya. 

Tugas wartawan pada masa itu bukan sahaja sebagai pencari berita, menyampaikan berita yang sahih yang ada news value (nilai berita), tetapi juga menjadi lidah rakyat, serta sebuah saluran dan perantara yang menyambungkan rakyat dan kerajaan.

Berita-berita yang disampaikan cukup memberi kesan di jiwa masyarakat masa dulu serta mendapat tindak balas yang segera daripada pihak pihak tertentu. 

Sebab itu zaman dulu kalau ada isu-isu tertentu dan sukar nak menembusi pihak-pihak berwajib ada yang beri saranan "panggil wartawan buat berita masuk akhbar masuk TV, baru dia orang bertindak." 

Bila zaman berubah, dunia kewartawanan menjadi semakin canggih. Surat khabar, televisyen dan radio sudah dipandang sepi oleh masyarakat. Dunia media baharu mula bertapak dan mengambil tempat dalam penyaluran berita yang pantas dan sangat mudah dengan hanya di hujung jari. 



Kini, portal-portal online wujud bagai cendawan tumbuh selepas hujan lebat. Ledakan berita dan lambakan maklumat sentiasa penuh dalam media sosial. 

Yang jadi penulis dan wartawan juga admin pelbagai online portal,  tidak perlu dapat pendidikan formal atau latihan dalam dunia kewartawanan. 

Maka lahirlah ramai wartawan tak bertauliah, wartawan bidan terjun/segera, netizen dan wartawan warga atau citizen journalist yang kadangkala menulis perkara merapu dan tidak beretika sehingga profesion kewartawanan mula dikecam oleh mereka yang tidak tahu mengenai dunia kewartawanan ini. 

Masyarakat mula mempertikai kerjaya wartawan dan menuduh, wartawan penyebar fitnah, wartawan suka membuka aib orang, wartawan ahli neraka dan pelbagai lagi tohmahan.

Penulis pernah ditanya oleh seorang rakan mengenai mutu pelaporan berita yang sangat tidak berkualiti dalam media sosial pada masa ini, terutama dalam portal portal yang memaparkan isu-isu sensasi, yang memfinah dan mengaibkan seseorang. 

Paling menyedihkan bila ada yang kata universiti yang menjadi tempat mendidik wartawan tidak peka pada dunia kewartawanan masa kini dan mereka melahirkan wartawan yang tidak berkualiti. Pensyarah pula tidak berpengalaman, cuma ikut buku dan sebagainya. 


Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam.


Untuk menerangkan mengenai sistem dalam dunia kewartawanan ini, seorang pensyarah kanan dalam bidang kewartawanan di Universiti Teknologi MARA UiTM Shah Alam menjelaskan mengenai salah faham masyarakat yang mengatakan semua yang menulis dalam portal adalah wartawan.  

Menurut Mohd Amirul Akhbar Mohd Zulkifli, pensyarah Kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM,  isu yang berkaitan dengan corak pelaporan berita  perlu mendapat penjelasan supaya masyarakat lebih faham dan kenal siapa wartawan bertauliah, netizen dan wartawan warga. 

Pada pandangan saya apabila melibatkan soal berita, setiap organisasi media tu ada polisi mereka yang tersendiri. Media konvensional adalah media arus perdana yang dimilik negara seperti RTM, Bernama  dan lain-lain, mereka sudah lama established (mapan) dan mempunyai standard mereka sendiri dalam pelaporan berita. 

Mereka mempunyai " gatekeepers" ataupun pengawas/pemantau untuk pastikan kesahihan berita.

"Gatekeepers" ini adalah mereka yang telahpun terlibat dalam dunia pemberitaan ni untuk tempoh waktu yang tertentu. Mereka ini terdiri dari wartawan yang senior.  

Jadi apabila ada berita-berita yang ditulis oleh wartawan-wartawan junior ataupun wartawan-wartawan baharu, inilah peringkat di mana "gatekeepers" memainkan peranan mereka iaitu dari segi "facts checking" atau pemeriksaan fakta, kesahihan berita, gaya bahasa yang digunakan, house style organisasi media dan pendulu yang boleh menjadi tarikan pembaca." 

Selain itu, aspek etika kewartawanan da undang-undang melibatkan kewartawanan juga akan diambil kira dan dimasukkan dalam setiap laporan atau berita.

Menurut Amirul Akhbar tugas gatekeeper perlu sangat teliti kerana mereka akan pastikan dari segi dapatan faktanya betul atau tidak, dan dari segi pelaporannya itu menempati gaya ataupun polisi penyiaran mereka. 

Maka itu, kita dapat lihat perbezaan berita yang dihasilkan oleh media arus perdana berbanding dengan media sosial ataupun media atas talian (online portal). 

Wartawan-wartawan yang dilatih oleh universiti tempatan atau luar negara dengan pendidikan formal telah didedahkan dengan pelbagai teknik menulis, cara mewawancara, etika dan latihan amali yang merangkumi banyak aspek sebelum mereka bertugas di lapangan.



Bagi portal media yang ditulis oleh netizen dan wartawan warga yang tidak bertauliah ini, mereka menulis berita-berita sensasi yang mengejar ramai pembaca dan capaian tertinggi. Mereka tidak memperdulikan etika dalam kewartawanan atau sensitiviti agama, kaum dan adab dalam penulisan. 

Adakalanya fakta tidak tepat, ejaan pun salah, ayat dalam penulisan juga tak betul. Lain tajuk lain isi beritanya. Penulisan berunsur fitnah dan mengaibkan adalah antara target mereka. 

Walaupun adakalanya berita-berita itu tidak ada nilai beritanya, tetapi pembaca dalam media sosial lebih gemarkan berita sensasi dan remeh kerana ramai yang tidak suka membaca berita panjang lebar tetapi terikut berita tak berfaedah seperti gosip dan berita mengaibkan.

Adalah tidak adil jika masyarakat merendahkan kerjaya kewartawanan dan menyalahkan tenaga pengajar serta universiti yang telah terlibat dalam aspek pengajaran dan pembelajaran, khususnya yang melibatkan mereka yang diberi ilmu dalam bidang kewartawanan yang akhirnya menjadi wartawan.

Kerana pada peringkat akhir, apabila mereka telah bekerja, kelompok graduan ini yang menceburi bidang kewartawanan ada elemen-elemen lain yang mempengaruhi atau yang menyebabkan mereka menulis tidak mengikut acuan dalam pembelajaran di universiti. 

Umpamanya dari segi polisi dan organisasi yang mereka berkhidmat, juga dari segi pengalaman dan struktur newsroom mereka. 

Kadang tu walaupun mereka diajar di universiti dengan segala etika dan cara penulisan yang betul dan baik, bila mereka bekerja dengan organisasi media atau portal portal online, mereka tertakluk pada polisi tempat mereka bekerja. 

Jika portal online mereka mahukan hanya berita sensasi, maka mereka mesti mengikut kehendak portal berkenaan. Jadi walaupun pada peringkat universiti dan pendidikan formal mereka telah diberikan pengajaran dan pembelajaran dalam bidang ini,  tetapi itu bukanlah satu kepastian bahawa tidak akan ada berlakunya "discrepancies" (percanggahan) kan?  

Wartawan juga perlu survive dalam dunia pelaporan yang semakin canggih dan kreatif. - KitaReporters


6
4
0
6
0
You will be interested