Raikan kemenangan... Aksi Johnny Depp. Gambar AFP ini dirakam pada 27 Mei 2022, ketika dia tiba di mahkamah di Amerika Syarikat dan melambaikan tangan kepada peminatnya.
"JURI telah memberi semula kehidupan saya," demikian kata Johnny Depp dalam satu kenyataan tidak sampai sejam selepas dia diumumkan menang saman fitnah ke atas bekas isterinya, model dan pelakon Aquaman, Amber Heard, pada Rabu 2 Jun 2022 lalu selepas juri sepakat memberi kemenangan kepadanya.
Perbicaraan selama tujuh minggu itu menjadi kes mahkamah yang memalukan apabila rahsia bilik tidur, penderaan seksual dan fizikal dan skandal menjadi tontonan dunia.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan dunia Hollywood
Semua bukti kes memihak kepada Depp. - Kredit gambar: Reuters
Ini termasuk Heard yang dikatakan melemparkan botol arak menyebabkan jari Depp cedera, melambatkan pengambaran filem Pirate of Carribean itu yang menggunakan lokasi di Australia.
NBC News melaporkan Depp menerima pampasan RM65 juta (AS$15j ) berserta tambahan lagi RM21 juta (AS$5j) akibat kerosakan punitif saman fitnah itu.
Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Fairfax County Circuit Court, Penney Azcarate kemudian dilaporkan mengurangkan jumlah pampasan kerugian punitif kepada Depp berjumlah RM1.5 juta (AS$350,000) menjadikan keseluruhan pampasan RM43 juta (AS$10.4 juta).
Sebelum itu, Depp menyaman bekas isterinya RM219 juta (AS$50 juta) selepas wanita itu membuat kenyataan yang disiarkan oleh akhbar The Washington Post pada 2018, menggelarkan dirinya sebagai 'tokoh masyarakat yang mewakili mangsa dera rumah tangga'.
Heard turut menunjukkan pipinya yang cedera sebagai bukti dan meletakkan dirinya dalam ketakutan dengan kelakuan Depp.
Heard turut menyaman balas Depp menuntut pampasan RM439 juta (AS$100 juta). Dalam perbicaraan ini Heard dapat pampasan RM8.79 juta (AS$2juta).
Tujuh juri yang bersidang di Mahkamah Fairfax, Virginia, Amerika Syarikat memberi kata sepakat itu pada 2 Jun 2022 menyokong Depp. Heard dilaporkan akan membuat rayuan.
Depp berada di United Kingdom (UK) ketika pengumuman dibuat kerana pada tahun 2020, Depp kalah ketika menyaman fitnah akhbar The Sun di UK. Kali ini dia menang kes yang hampir sama ketika dibicarakan di mahkamah Amerika Syarikat.
Pasukan peguam yang mewakili Depp diketuai Camilee Vasque yang pembentangan terakhir di depan juri itu menceritakan bagaimana Heard membuat laporan palsu untuk menghancurkan hidup pelakon itu ketika dia mengemukakan permohonan penahanan ex-parte daripada suaminya dengan alasan dia mangsa keganasan rumah tangga.
"Hari ini selepas genap enam tahun pada 27 Mei 2022, kami memohon supaya mahkamah mengembalikan semula kehidupan seorang lelaki dengan memberitahu dia bukanlah seorang pendera.
"Kembalikan semula hidup yang dia hilang ketika digambarkan sebagai lelaki penjahat oleh tertuduh dalam laporan akhbar walaupun tidak menyebut namanya tetapi memberitahu tarikh, dua tahun lalu yang merujuk kepada Depp sebagai pendera.
Depp sebagai jack Sparrow dalam rantaian filem Pirates of the Caribbean
Sudah 2.5 juta petisyen mahu Heard dikeluarkan dari Aquaman 2. - Kredit gambar TheDirect.com
"Daripada kesimpulan kes, bukannya Depp yang mendera kerana semua perbuatan tertuduh termasuk 'menunjukkan mukanya yang lebam' adalah palsu. Ia bertindak memaparkan mukanya yang 'cedera' dalam posisi yang paparazi dapat merakam gambar," katanya.
Menurut Camilee lagi, semua saksi sudah memberi keterangan masing-masing dengan nyata dan akhirnya kekerasan itu sebenarnya dillakukan oleh tertuduh dan Depp yang sebenarnya mangsa penderaan.
Berita kemenangan Depp disambut meriah di seluruh dunia, sekali gus menjadikan pelakon itu macam 'duta' yang mewakili lelaki mangsa penderaan rumah tangga yang jarang dibangkitkan.
Bagaimanapun, pakar perhubungan awam pula masih serba salah sama ada keputusan itu akan menjadi penantu kepada kejayaannya kembali semula beraksi di layar filem.
Dalam satu temu ramah dengan NBC News itu, tiga pakar media berpendapat Depp mampu kembali semua ke layar filem. Manakala dua lagi meluahkan rasa sangsinya kerana ada sesetengah pihak yang masih terpengaruh sejak awal perbicaraan lagi bahawa dia memang mendera Heard sejak bertahun-tahun, walaupun juri tidak bersetuju.
Howard Breuer yang juga Ketua Eksekutif di Newsroom Public Relations, firma yang beroperasi di Los Angeles, berkata, pihak industri akan lebih berhati-hati ketika bekerjasama dengan pelakon itu kerana khabar angin tetap bertebaran dan masih ada yang percaya Heard mungkin bercakap 'jujur'. - KitaReporters
Kisah cinta Johnny Depp dan Amber Heard.